CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 15 Julai 2010

Tersujud di Pelantar RahmatNya

Buat renungan diri sendiri, dalam perjalanan menuju ke alam baqa'. Penawar hati yang sedar duka lara menerima ujian.


Apakah maksud sebenar ujian?

atau, Apakah kita hanya faham bahawa hanya kesakitan, kesulitan, keberatan, kegagalan dan perkara yang mengguris hati adalah sebenar-benar ujian?


atau, kita benar-benar faham bahawa ujian itu datang dalam pelbagai bentuk termasuklah kesenangan, kemewahan, kejayaan, kegembiraan dan perolehan?


Firman Allah SWT:

”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ”kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”. Al-Ankabut : 2-3


Ujian Allah sememangnya adalah suatu kemestian dan menjadi lumrah dengan kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Hal ini boleh dilihat dan diteladani melalui kisah nabi Adam AS melalui kejadiannya.


Ketika baginda diciptakan di syurga baginda dilarang untuk memakan buah khuldi, namun kerana terpengaruh dengan hasutan iblis telah membuatkan Adam AS telah melanggar arahan dan dicampakkan ke bumi. Lihatlah bahawa awal kejadian khalifah sekalipun Allah telah menguji hambaNya. Maka apakah kita ingin berkata bahawa ”aku tidak patut diuji”?


Lalu apabila kita ditimpa dengan pelbagai ujian maka terdapat segelintir dikalangan kita yang cuba mempersoal akan keadilan Allah SWT dalam memberi dan mengagih ujian kepada hamba-hambaNya.


Akibat daripada itu maka ramai yang akan mula mengeluh dan mengalah dari rasa untuk berusaha dan terus berdoa kepada Allah SWT untuk diberi kekuatan ke atas ujian yang ditimpakan ke atas mereka.


Firman Allah SWT:

”Allah tidak memberati (diberi ujian kepada) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”… Al-Baqarah : 286


Sebagai satu motivasi diri untuk menempuh ujian Allah kita perlu sedar bahawa setiap ujian yang menimpa kita adalah berada di dalam kemampuan kita, hanya kita yang masih tidak berfikir akan hikmah disebalik ujian yang Allah berikan dan yakinlah bahawa janji Allah untuk mereka yang diuji adalah benar akan balasan dan timbal baliknya.


Dalam kehidupan kita pada hari ini kita bersangkakan bahawa ujian yang berat hanya pada kesusahan seperti kemiskinan dan kesakitan seperti ditimpa penyakit kronik, lumpuh, barah dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak bahawa kesenangan juga merupakan satu ujian seperti kekayaan harta dan kegembiraan. Ini jelas seperti maksud hadis baginda SAW:


“Apabila Kamu Melihat Bahawa Allah SWT Memberikan Nikmat Kepada HambaNya Yang Selalu Membuat Maksiat (dosa) Ketahuilah Bahawa Orang Itu Telah Diistidrajkan Oleh Allah SWT”. [Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi]


Apabila orang-orang yang selalu melakukan maksiat tetapi dalam masa yang sama dia dikurniakan oleh Allah SWT akan kesenangan dan kegembiraan maka itulah Istidraj. Ujian ini merupakan ujian yang paling berat kerana ia seolah-olah menempah tempat di neraka.


Kesenangan akan membuatkan mereka sombong dan angkuh dengan kekayaan dan kesenangan mereka bahkan kepandaian dan kecerdikan juga akan membuatkan mereka berasa hebat dan bongkak dengan kecerdikan mereka, dan semua ini juga merupakan ujian untuk Allah memperlihatkan kepada hambaNya adakah mereka ini akan bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Bahkan jika dilihat mereka inilah yang tidak mampu untuk membeli pakaian bagi menutupi aurat mereka.


Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui akan segalanya daripada kita selaku hambaNya, dan ingatlah bahawa ujian Allah membuktikan bahawa kita disayangi olehNya berikutan setiap ujian akan dibalas dengan pahala yang sangat banyak apabila bersabar. Oleh itu bersabarlah kita apabila diuji.


Oleh yang demikian ujian yang tertimpa ke atas seorang hamba adalah untuk:

1. Mengangkat darjat seseorang di dunia dan akhirat. Ini kerana mereka yang apabila di ujian bersabar maka darjatnya adalah lebih tinggi untuk selamanya.

2. Mendidik hati untuk menjadi lebih bersih dan lebih ikhlas kepada Allah SWT.

3. Membuktikan sifat kehambaan kepada Allah yang mana Allah ingin melihat sama ada ujian akan membuatkan hambaNya akan terus beriman atau pun berpaling dari Allah akibat daripada kelemahan untuk menghadapi ujian tersebut.

4. Memperoleh pahala dari Allah kerana hanya Allah yang menjadi tempat bersandar bagi kita di saat tempat bersandar yang lain telah mengkhianati kita.


Kini kita perlu terima dengan hati yang terbuka bahawa apa yang berlaku adalah ujian dari Allah SWT, kita harus sengaja untuk sujud di naungan rahmat dan nikmat yang dicucurkan kepada kita kerana apa jua perkara yang berlaku samada positif mahupun negatif itu adalah ujian dariNya.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap ujian ada hikmahnya, setiap yang baik ada buruknya, setiap yang buruk ada baiknya dan ini semua adalah sifat molekul positif dan negatif yang merupakan hakikat kepada keduniaan.

Renungilah firman Allah SWT ini:

”… dan boleh jadi kamu benci (tidak suka) kepada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) buruk bagi kamu, dan ingatlah Allah jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.Al-Baqarah : 21


Perkongsian,
Kembara Samudera Qaseh dan Fitrah Power

0 ulasan: