CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 28 September 2010

Memilih Antara Dua


“ Ya Allah, hanya kepadaMu aku mengadu betapa lemah kekuatanku, betapa sempit usahaku dan betapa rendah diriku menghadapi manusia , Ya Tuhan Yang Maha Pengasih di antara mereka yang belas kasihan"


Aku ini lemah antara memilih. Aku mengadu padaMU,aku bersimpuh pada MU, merayu dan manakah jalan terbaik   buatku memilih.


Apa yang aku lakukan dua-dua kerana MU. Antara melaksanakan amanah untuk kemaslahatan umat sejagat dan mendidik secara halus melalui kasih sayang keranaMU juga.


Ya Allah, aku tidak berupaya untuk memilih dan aku serahkan urusan ini kepadaMU untuk menentukan jalan yang mudah buat ku. Jalan yang mudah agar aku selalu mengingati kematian.


Bantulah hamba MU yang lemah ini. Cenderungkan hatiku antara dua pilihan ini wahai Tuhanku Yang Maha Adil,  Maha Pengasih dan Maha Belas Kasihan.


Ya Allah,kurniakan aku kesabaran,ketabahan dan keimanan yang mantap di dalam beribadah kepada MU yang Allah. Kedua-dua pilihan ini merupakan ibadah, dan aku pohon Ya Allah, kesabaran ku didalam usaha mendidik penuh kasih sayang ini dipandang oleh MU di akhirat nanti. Jangan ENGKAU biarkan aku tersasar Ya Allah. Luruskan hatiku,Suci dan Bersihkan niat hatiku.


Amin...


Embunku, mak memilih mu , itu rasa yang cenderung digerakkan Allah di dalam hati ini.




Titipan kasih,
Kembara Samudera Qaseh

Rabu, 22 September 2010

Doa, Ikhtiar Dan Taqdir

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Tanpa di duga, segala yang berlaku pada perjalanan hidup dan kehidupan setiap manusia  adalah atas qudrat dan iradat Allah. Yang hambanya mampu lakukan hanyalah doa. Tetapi bukan lah doa seorang hamba itu mampu mengubah takdir hidupnya.


Begitu juga  dengan rasa kasih, sayang dan cinta sesama manusia. Berlakunya rasa kasih itu, bukan atas kehendak hati manusia, melainkan dengan qudrat dan iradat Allah jua yang menghendaki perkara itu berlaku.  Dengan adap  dan akhlak pula, manusia wajib menjaga hati agar rasa kasih,  sayang dan cinta  itu tidak tersasar dari landasan iman.

Embun  mak,
Begitulah apa yang mak rasa di dalam hati ini. Mak jaga dan pupuk agar rasa itu berjalan di landasan yang Allah redha. Tidak mak tolak rasa kasih dan sayang pada embun mak, kerana  kasih dan sayang itu subur di hati mak adalah  atas  qudrat dan iradat Allah  SWT.




Petikan dari Laman MurahRezeki.com, DOA DAN IKHTIAR TIDAK BOLEH MENGUBAH TAQDIR! telah membuka minda dan hati agar pegangan akidah kita tidak tersasar. Mari kita baca apa yang saudara baik saya tulis berkaitan dengan doa dan iktiar.



Pada zaman ini terjadi banyak kekeliruan terhadap doa, usaha ikhtiar dan Taqdir. Banyak pihak memuatkan pelbagai artikel menyatakan "doa boleh mengubah taqdir" atau "usaha ikhtiar boleh mengubah Qadha dan Qadar Allah" dan sebagainya tanpa penjelasan yang sempurna sehingga orang2 yang membaca tentu akan faham sememangnya "doa mempunyai kuasa untuk mengubah taqdir". Atau "seseorang boleh mengubah nasibnya menurut kemahuannya".

Mereka sering utarakan contoh2 seperti berikut :

Umpamanya seorang yang ditaqdirkan miskin. Lalu dia berusaha siang malam sehingga dia dapat menjadi kaya raya.

Contoh lain seorang yang di taqdirkan umurnya 40 tahun. Lalu dia pun membuat kebajikan dan doa panjang umur sehingga umurnya dipanjangkan.

Mengikut dakwaan mereka inilah contoh2 bagaimana doa mengubah Taqdir seseorang.

Kita katakan : Kesemua fahaman ini sangat besar bahayanya kepada Aqidah dan Tauhid seseorang.


Sila baca penjelasan berikut baik-baik. Ianya bukan menafikan kelebihan doa dan kewajipan berdoa kepada Allah. Tidak juga melemahkan seseorang daripada berdoa. Tetapi hujjah2 berikut adalah membetulkan I'tiqad pegangan hati ketika kita berdoa dan selepas berhasil doa dan usaha ikhtiar.


Penjelasan :

1. Kita sudah pun bicarakan bahawa Taqdir atau Qadha dan Qadar adalah segala ketentuan Allah ke atas makhluqnya pada Azali. Rujuk Taqdir,Usaha dan Ikhtiar.

Ketentuan atau ketetapan ini adalah menurut ukuran KehendakNya yang mutlak mengikut ketetapanNya pada Azali. Tiada makhluk bersekutu didalam ketetapan ini. Bukan juga sebab sesuatu yang akan dijadikanNya pada zaman kemudiannya. Tetapi semata2 KemahuanNya, kerana Allah Ta'ala bersifat dengan Sifat Maha Berkehendak.


2. Ahlus-Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa : Manusia diberikan 'usaha ikhtiar' tetapi usaha ikhtiarnya tidak memberi bekas. Hanya Allah yang menentukan segala sesuatu mengikut kemahuannya. Doa merupakan salah satu usaha ikhtiar manusia. Dengan demikian bukanlah doa itu memberi bekas, tetapi Allah yang menentukan apa2 mengikut kemahuanNya.


3. Doa, usaha ikhtiar atau apa saja yang datang dari manusia TIDAK berkuasa untuk mengubah Taqdir. Didalam perkataan lain bukanlah Allah Ta'ala mengikut kehendak permintaan atau usaha hambaNya. Jika demikian maka jadilah Allah bersifat lemah kerana Dia boleh digagahi....MAHA SUCI ALLAH DARIPADA DI GAGAHI OEH SESUATU. SEBALIKNYA DIA YANG MAHA GAGAH DAN BERKUASA DI ATAS SEGALA SESUATU.


4. Ketika Allah berkehendak menjadikan sesuatu kebaikan pada seseorang atau menolak keburukan darinya, maka Allah Ta'ala mendatangkan atau mengilhamkan pelbagai asbab seperti doa dan usaha keatas seseorang yang sememangnya sudah ada didalam ketetapan Allah pada Azali.


Ini bermakna sudah termaktub didalam ketetapan Azali bahawa orang tersebut akan berdoa atau berusaha kepada apa yang ditentukan oleh Allah pada Taqdir Azali. Bukanlah ketentuan itu berubah disebabkan permintaan atau harapan atau usaha manusia....TIDAK!


Dengan demikian perkataan : "Doa dan usaha boleh mengubah Taqdir" tanpa penjelasan yang sempurna adalah perkataan yang WAJIB dijauhi.


5. Allah Ta'ala bersifat dengan sifat Maha Mengetahui, yakni mengetahui zahir dan batin, mengetahui segala sesuatu dari awal hingga akhir kesudahan alam maya ini. Bagaimana mungkin Allah Ta'ala tidak mengetahui bahawa hambaNya akan memohon kepadanya dan bagaimana mungkin Allah tidak mengetahui bahawa Dia akan memberikan sesuatu kepada hambaNya bersesuaian dengan permintaan hambaNya itu?


Jika anda bersetuju bahawa Allah Maha mengetahui akan hal ini, maka bukanlah doa hamba itu yang mengubah taqdir Ilahi. Sebaliknya permintaan hambaNya dan kabulnya permintaan tersebut dan Pemberian Allah kepada hamba tersebut bersesuaian dengan Taqdir Azali.


6. Jika anda bertanya : "Bagaimana firman Allah : "Allah tidak mengubah nasib satu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya".


Maksud ayat ini adalah : Allah Ta'ala telah menentukan pada Azali seseorang atau suatu kaum berubah kepada kebaikan berserta asbab2 yang terlihat pada pandangan mata. Maka terlihatlah seolah2 mereka yang mengubah nasib mereka dengan usaha mereka. Padahal hakikatnya "perbuatan mereka berubah" telah pun ditetapkan pada Azali oleh Allah Ta'ala


7. Jika anda bertanya lagi : "Bagaimana hadis Nabi : "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa."


Pengertian hadis ini : "Iaitu apabila Allah menerima dan maqbulkan permintaan seseorang, bukanlah maqbulnya doa tersebut disebabkan doanya dan bukan juga bererti Allah telah mengubah TaqdirNya yang azali disebabkan doa tersebut. Tetapi perubahan Taqdir itu pun telah di tentukan oleh Allah ke atas hamba tersebut. Hanya sanya terlihat pada zahir pandangan, Allah mengubah nasib/ketentuan/qadha yang ada pada seseorang disebabkan doanya. Pada hakikanya semua itu adalah Taqdir Azali.


8. Kita melihat beberapa contoh dalam kehidupan manusia:


Contoh 1 :
Menurut hadis Nabi yang sahih jodoh seseorang telah ditetapkan dari Azali lagi. Jika si Hassan yang lahir di Malaysia di taqdirkan berkahwin dengan pasangannya yang lahir di Rusia, maka akan berlaku jalan2 untuk mereka bertemu dan berkahwin. Walaupun mungkin sekali Hassan ingin berkahwin dengan wanita Hindustan yang cantik dan berdoa siang malam untuk mendapatkan cita2nya, tetapi jodohnya ada di Rusia. Maka akan berlaku berbagai jalan seperti dia berhijrah ke Rusia atau jalan2 lain sehingga mereka bertemu jodoh.


Contoh 2:
Umur setiap seorang manusia yang lahir telah tertulis pada Azali. Jika hamba Allah bernama Zulkarnain di taqdirkan menmui ajalnya ketika usianya 50 tahun di sebuah Masjid pada tanggal 1 Januari 2011, jam 00:09 , dia pasti akan menemui ajalnya tepat pada waktunya tidak terdahulu sesaat dan terkemudian sesaat walaupun mungkin sekali dia orang alim yang banyak kebajikan dia. Walaupun dia sering berdoa panjang umur.


Maksud hadis Nabi tentang panjang umur dengan melakukan kebajikan bermaksud, "Allah Ta'ala mentaqdirkan seseorang beramal kebajikan yang banyak sehingga dia menemui ajalnya menurut ketetapan Allah pada Azali juga." Bukan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan umum bahawa dia berjaya panjangkan umurnya dengan doa dan kebajikan. Fahaman ini berlawanan dengan sifat Allah Yang Maha Suci yang bersifat dengan Maha Mngetahui, Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak.




9. Sebagai i'tibar dan renungan : Jika benar lah doa seseorang berkuasa mengubah taqdir nya, memanjangkan umur dengan kebajikan, maka orang yang paling layak mendapat kelebihan tersebut adalah Nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم kerana Baginda adalah orang yang paling maqbul doanya dan paling banyak kebajikannya atas muka bumi. Tetapi mengapa umur Baginda hanya sampai 63 tahun? Renung-renungkanlah.




Berikut adalah beberapa keterangan Ayat2 Allah, Hadis Nabi dan kata Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang terkemuka!


Keterangan 1 :

Firman Allah Ta’ala :
إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : 3 ]

Keterangan ke 2:

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”
Maksudnya: “Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].


Keterangan ke 3:
وَإِذَآ أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلاَ مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ


"......apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra'd 13: 11)


Keterangan ke 4
Tiada makhluk berkongi kuasa didalam apa jua yang Allah Ta'ala jadikan, apa saja yang Dia perbuat kerana KalimatNya ketika menjadikan sesuatu adalah seperti KalamNya yang Agung....

بَدِيعُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَإِذَا قَضَى أَمْرًا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka dia hanya berfirman kepadanya: jadilah engkau. Lalu menjadilah ia. (Al-Baqarah 2:117)


Keterangan ke 5 :
Dari Imran bin Husain Radhiyallahu’anhu, ia berkata:
Rasulullah صلى الله عليه وسلم . ditanya: Wahai Rasulullah! Apakah sudah diketahui orang yang akan menjadi penghuni syurga dan orang yang akan menjadi penghuni neraka? Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. menjawab: Ya. Kemudian Baginda ditanya lagi: Jadi untuk apa orang-orang harus beramal? Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab: Setiap orang akan dimudahkan untuk melakukan apa yang telah menjadi taqdirnya. (Shahih Muslim )



Keterangan ke 6:
Berkata Shaikh Ibnu Atho'Illah didalam Kitab Hikam : " Maha Besar hukum Azali itu, dia tidak bersandar pada berbagai sebab"


Syarahnya : Sesuatu yang ditetapkan pada zaman Azali tidaklah memerlukan berbagai sebab contohnya seperti sebuah permohonan anda, permohonan anda bukan sebagai sebab adanya pemberian Allah Ta'ala.


Keterangan ke 7:
Berkata Shaikh Ibnu Atha'Illah didalam Hikamnya : " Bagaimana mungkin terjadi permohonan anda yang terwujud pada waktu berikutnya adalah menjadi sebab adanya pemberian Allah yang terwujud lebih dahulu?"

Syarah : Bagaimana mungkin pemintaan doa anda menjadi sebab Allah menentukan sesuatu pada anda padahal ketentuan Allah telah pun ditetapkan oleh Allah pada Azali?


Keterangan ke 8
Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Radhiallahu Anh berkata :
" Apabila Allah mengabulkan apa yang diminta hambaNya, dan mengabulkan permintaannya, maka IradahNya tidak akan terkoyak, tidak pula akan membuat kering catatan, akan tetapi permohonan itu sesuai dengan kehendak Tuhan pada waktunya. Sehingga sesuai itu menghasilkan pengabulan dan memenuhi kemahuannya pada waktu yang ditentukanNya., untuk menyampaikan taqdir itu pada waktunya. Seperti yang diakatakan Ahlul Ilmi mengenai Firman Allah : :Setiap waktu Dia didalam kesibukan "(QS 55: 29) iaitu mengiring taqdir sampai waktunya.

Allah Ta'ala tidak memberi sesuatu kepada siapa pun di dunia ini kerana doanya. Begitu juga Allah tidak memalingkan kejelekan dari sesiapa pun semata-mata kerana doanya.

Adapun apa yang diriwayatkan didalam hadis Nabi, "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa." (Tirmizi) adalah dikatakan yang dimaksud dengan hadis ini : "Tidak ada yang dapat menolak qadha kecuali doa yang telah ditetapkan (pada Taqdir Azali) dapat menolak qadha." [Ertinya doa yang menolak qadha tersebut telah pun ditetapkan oleh Allah didalam Taqdir Azali, bukanlah sebab doa seseorang itu - pent]

Begitu juga seseorang tidak akan masuk syurga diakhirat nanti dengan amalnya, tetapi dengan Rahmat Allah. Namun Allah memberikan darjat kepada hambaNya di syurga berdasarkan amal perbuatan mereka.

Itu semua kerana Allah Ta'ala tidak dituntut hak oleh siapa pun, tiada yang dapat mengharuskan-Nya menunaikan janjiNya, akan tetapi Dia melakukan apa yang dikehendakiNya, menyiksa, mengampuni, memberikan Ni'mat, menyayangi siapa pun di KehendakiNya. Tidak ada yang berhak meminta Allah bertanggungjwab atas apa yang diperbuatNya, tetapi manusia di minta dan di soal akan pertangungjawabannya. Dia memberi rezeki tanpa batas dengan RahmatNya dan menolak siapa pun yang diKehendakiNya. [Tiada siapa pun layak menyoal perbuatan Allah ini - pent]


Bagaimana tidak demikian, sementara makhluk langit dan bumi dari Arsy yang tinggi hingga tanah yang rendah, Dia yang Memiliki dan MenciptakanNya. Tidak ada pemilik dan pencipta lain kecuali Dia Yang Maha perkasa lagi Maha Mulia.
(tamat petikan syarahan Imam Jailani Radhiallahu Anh)



RUMUSAN PENTING :


1. Doa adalah lambang pengabdian diri dan perhambaan manusia di hadapan Allah. Doa adalah senjata Mu'min . Doa adalah Ibadah. Maka jadikan lah doa sebagaimana perintah Allah dan ubudiyyah kepada Allah Ta'ala.


2. Allah Ta'ala memerintahkan hamba2Nya supaya berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh mencapai jalan keselamatan dunia akhirat. Maka berusaha sungguh2 atas jalan kebenaran serta menyerahkan diri kepada Allah adalah tuntutan atas setiap Muslim.


3. Segala perbincangan diatas adalah bertujuan memberikan kefahaman yang benar berkenaan adab dan i'tiqad seseorang ketika berdoa dan sesudah berhasil doanya. Dia perlu membetulkan i'tiqad serta menginsafi ketika berdoa dan sesudah berdoa ; samada maqbul doanya atau di tolak doanya atau di tangguh doanya semua ini adalah didalam genggaman Allah.


4. Jika telah maqbul doanya bukan bererti doanya berkuasa untuk mengubah sesuatu Taqdir pada dirinya ; samada memberi manfaat atau menolak mudarat. Sebaliknya semua itu semata-mata Kurnia Allah Yang Maha Pemurah yang telah pun tertulis di Luh Mahfuz.


5. Kita sama2 perlu insafi perbicangan ini bukan bermaksud untuk melemahkan seseorang daripada berdoa. Sebaliknya seseorang semestinya lebih kuat lagi berdoa selepas ini kerana dia mengetahui bahawa Allah sedang memberikan kebaikan kepada dirinya untuk berdoa dan benar2 berharap bahawa Allah akan maqbulkan doa nya.



Semoga kita semua termasuk golongan yang selamat, Ahlus-Sunnah Wal Jamaah yang dijamin oleh Nabi sebagai golongan yang selamat.


Wallahu A'lam


Rujukan utama :
1. Fathur-Rabbani Wa Faidhur-Rahmaniy
1. Adab As-Suluk wa-at-Tawassul Ila Manzilal Muluk
2. Al-Hikam Ibnu Atho'illah
3. Ihya Ulumuddin
4. Tafsir Ibnu Kathir

Sumber artikel dari  MurahRezeki.com







Perkongsian
Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 21 September 2010

Taqdir,Usaha dan Ikhtiar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Kenapa aku masukkan tulisan saudara aku di dalam laman blog ini. Tujuan aku sebenarnya untuk bacaan sendiri agar aku tidak terpesong akidah dek hal-hal  berkaitan usaha, ikhtiar dan doa. Seterusnya aku juga ingin berkongsi kepada pelayar misteri yang setia mengikuti perkembangan penulisan   atau  ada  juga pelayar  yang  kadang-kadang terjumpa secara tidak langsung laman blog ini.


Aku bersyukur memiliki saudara yang sering suka berkongsi ilmu agar hati kita sentiasa bersih dan dapat berjalan menuju Allah di jalan yang lurus. Artikel dibawah ini,aku copy dari laman blog   saudaraku itu. Laman asal artikel  ini  yang ditulis  oleh saudaraku, MurahRezeki.com





SALAH MEMAHAMI TAQDIR DAN USAHA IKHTIAR - MEMBAWA KESESATAN!

Muqaddimah

Salah satu batas pemisah diantara Aqidah Ahlus-Sunnah Wal Jamaah dengan Aqidah-Aqidah yang sesat Jabariyyah, Mu'tazilah dll adalah berhubung dengan Taqdir atau Qadha dan Qadar - ketentuan Allah yang azali.


Walaupun golongan Mu'tazilah dan Jabariyyah telah pupus, namun awas, kerana 'nama' tersebut hanyalah perlambangan. Hakikatnya yang menjadikan mereka sesat adalah pegangan hati iaitu i'tiqad mereka berhubung keTuhanan khususnya didalam perbicaraan ini darihal Qadha dan Qadar. Unsur yang menjadikan mereka sesat adalah sifat mereka.


Dengan demikian sesiapa saja memiliki sifat2 dan i'tiqad mereka, maka tidak syak lagi akan menyimpang dari kebenaran Ahlus Sunnah dan terjatuh kepada kesesatan. Wal Iyazbillah!


Setiap Muslim wajib menghalusi perkara ini agar selamat dunia akhirat. Perhatikanlah baik2, ianya cuma satu garisan halus yang memisahkan Aqidah2 ini.


Pegangan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah darihal Taqdir dan usaha ikhtiar :
Sebagai permulaan mari kita melihat beberapa dasar pegangan Ahlus-Sunnah berdasarkan Kalamullah, Hadis Nabi dan perkataan2 Ulama.


Pertama : Allah menetapkan pada azali (sebelum kejadian makhluk) di Luh Mahfuz, segala sesuatu perkara berkenaan makhluknya dari awal sampai akhir.


Firman Allah :
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Maksudnya: “dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata”. [Yasin: 12]


Berkata Ibnu Kathir,
(Kami catitkan satu persatu didalam kitab yang jelas nyata) bermaksud segala sesuatu tentang makhluknNya sudah pun tercatit di Luh Mahfuz. Al-Imam Al-Mubin bermaksud sumber segala catitan. Ini lah pendapat Mujahid, Qatadah dan Abdur-Rahman bin Zayd bin Aslam.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“كتب الله مقادير الخلائق قبل أن يخلق السموات والأرض بخمسين ألف سنة وعرشه على الماء”

Maksudnya: “Allah Ta'ala telah menulis taqdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. [Muslim].


Firman Allah Ta’ala :

إِنَّ اللَّهَ بَـلِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْراً

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[At-Talaq (65) : 3 ]


Ke 2 : Allah Ta'ala memperlakukan segala segala sesuatu menurut ukuran ketentuan dan kemahuanNya ; dari Ilmu, Kudrat dan IradatNya. Tiada siapa pun boleh mempersoalkan ketentuan dan perlakuannya.

Firman Allah:

وَمَا تَشَآءُونَ إِلاَّ أَن يَشَآءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَـلَمِينَ

Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. [At-Takwir (81) : 29]

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Allah menentukan pemberian RahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[Aal-e-Imran (3) : 74 ]


Ke 3 : Hanya Allah Ta'ala yang berkuasa memberi manfaat dan menolak mudarat. Makhluk tidak sedikitpun berkuasa untuk menentukan sesuatu, hanyasanya segala perlaksanaan adalah diatas Kudrat dan IradatNya.

Ibnu 'Abbas رضي الله عه berkata: "Sesungguhnya aku berada di belakang Nabi صلى الله عليه وسلم pada suatu hari dan Baginda bersabda:

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajar kamu beberapa kalimah (pesanan), iaitu peliharalah Allah (pelihara hak-Nya), nescaya Allah akan memelihara kamu. Peliharalah ALllah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya), nescaya engkau akan mendapati Dia akan membantumu. Jika kamu hendak meminta sesuatu, mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan daripada sesuatu, pohonlah perlindungan daripada Allah. Ketahuilah jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepadamu. Jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkanmu dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau. Telah terangkat kalam-kalam dan telah kering dakwat..”(Sahih Tirmizi)

Ketika Nabi صلى الله عليه وسلم berdoa,
“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-MU.” Seterusnya para sahabat bertanya: Adakah hati itu boleh dibolak-balikkan? Lalu Baginda menjawab: Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-NYA.” -


ke 4 : Manusia diberi aqal dan usaha ikhtiar untuk berusaha bersungguh-sungguh kepada kebaikan dan keimanan.
Firman Allah:

بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
"bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Baqarah, 2:12)


Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

“Bersungguh-sungguhlah terhadap apa yang memanfaatkan kamu. Mohonlah bantuan Allah dan janganlah merasa lemah.” (Muslim)


Ke 5 : Allah Ta'ala akan menguji hamba2Nya siapa diantaranya yang terbaik perbuatannya.

Firman Allah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَـهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّـبِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَـرَكُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. [Muhammad (47 ; 31 ]


Ke 6: Allah Ta'ala akan mempermudahkan orang2 yang benar2 beriman kepada Nya.

Sayyidina Umar رضي الله عه bertanya Nabi صلى الله عليه وسلم :

"Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan adakah ia sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda: Sesungguhnya segala sesuatu telah pun ditetapkan pada setiap perkara. Lalu dibalas oleh Umar: Kalau begitu, adakah kita harus menyerah sahaja? Baginda bersabda: Beramallah wahai anak al-Khattab. Segala sesuatu itu sudah dipermudahkan. Sesiapa yang tergolong di kalangan ahli kebaikan (syurga), maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan sesiapa yang tergolong dalam ahli seksa, maka dia dijadikan beramal jahat untuk ke neraka."-( Imam Ahmad)
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

“Tiada satu jiwa daripada kamu kecuali Allah mengetahui tempatnya di dalam Syurga atau Neraka.” Mereka berkata ‘Waha Rasulullah, jadi kenapa kami perlu beramal? Bukankah lebih baik kami berserah sahaja?’ Jawab Baginda ‘Tidak, sebaliknya beramallah kerana setiap satu dimudahkan untuk apa yang dia dicipta untuknya.’ Kemudian Baginda membaca firman Allah Ta’ala (al-Lail 92:5-10): {Adapun orang yang memberi dan bertaqwa serta mempercayai Syurga maka Kami akan mudahkan untuknya Syurga. Adapun orang yang mendustai dan berpaling serta tidak mempercayai Syurga maka Kami akan mudahkan untuknya keburukan}. (Bukhari)


Dalam satu riwayat lain;
Orang bertanya kepada Rasulullah . ‘Apakah pandangan kamu terhadap ubat yang kami gunakan untuk sembuhkan sakit dan jampi yang kami bacakan, adakah ini akan menolak ketentuan Allah?’ Baginda menjawab ‘Itu semua adalah dalam ketentuan Allah.’
(At-Tarmizi, Ibnu Majah)


Rumusan2 penting:


1. Allah Ta’ala mengatur segala sesuatu menurut KehendakNya serta ukuran yang telah ditentukan bagi mahkluknya.

2. Manusia tidak berhak bercampur dalam urusan taqdir Ilahi.

3. Semua yang telah ditetapkan di azali akan terlaksana pada masa, tempat dan anasirnya - tidak terdahulu dan tidak tekemudian walau sesaat.

4. Segala usaha dan ikhtiar makhluq tidak dapat mengubah Qadha dan Qadar Ilahi. Apabila seseorang berdoa atau berusaha ikhtiar, kemudian Allah Ta'ala memberikan kebaikan atau ni'mat menurut permintaan hamba tersebut, maka hal yang demikian sudah pun tertulis pada azali. iaitu Allah Ta'ala telah mentaqdirkannya untuk berdoa dan Dia mempermudahkan atau menjadikan seseorang berusaha ikhtiar ke arah tersebut.

5. Manusia hanya diperintah melaksanakan perintah Allah sekuat kemampuannya.

6. Pilihan Allah adalah pilihan terbaik bagi hamba2Nya. Maka setiap orang beriman diperintah bersangka baik dengan Tuhannya.

7. Setiap manusia akan diuji dengan berbagai penderitaan dan kesusahan untuk melihat siapa yang benar2 beriman dan berserah diri kepada Allah.

8. Sesungguhnya manusia tiada daya dan upaya sedkitpun kecuali apa-apa yang dianugerahkan oleh Allah!

9. Manusia dilarang menyerahkan kepada Allah Ta'ala semata2 tanpa berusaha dengan alasan semuanya sudah ditetapkan, kerana tiada siapa tahu apa yang ditentukan baginya. Bahkan perbuatan ini berlawanan dengan perintah Allah supaya manusia bersungguh pada JalanNya.

10. Sesiapa yang diberikan kurnia Allah pada kebaikan, wajib dia mengakui segala kejayaannya adalah anugerah Allah padanya bukan sebab usaha ikhtiarnya, bukan sebab doanya atau kepandaiannya lalu bersyukur kepada Allah. Sebaliknya mereka2 yang menemui kegagalan hendaklah mengakui kelemahan dan kekurangan dirinya. Dia hendaklah tetap sabar serta membaiki dirinya.

11. Hamba2 Allah yang berjaya adalah mereka yang melepasi semua ujian Allah Ta’ala serta mendapat keredhaan Allah Ta’ala.



Wallahu A'lam


Rujukan utama :


1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Futuhul Ghaib
3. Al-Hikam Ibnu Atho' Illah
4. Ihya Ulumuddin

  Sumber  asal artikel  http://kerjayahalal.blogspot.com




Perkongsian,
Kembara Samudera Qaseh