CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 24 Januari 2012

Anugerah Yang Disyukuri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Tarikh 23 Januari, tetap berada di dalam lipatan hati. Mesej pertama menyapa di Halaqahnet. Selepas mesej pertama disusuli mesej kedua , ketiga , keempat dan seterusnya.


Dari mesej pertama dan seterusnya di hari pertama 23 Januari aku mengenali, sudah dapat ku kesan bagaimana hatinya. Berjiwa besar tetapi lembut dan mudah basah. Mudah merajuk dan terpujuk.


Hari-hari berikutnya, aku mendengar suaranya, suara yang lunak untuk didengar oleh seorang  emak. Hanya dia saja yang memanggil aku mak. Panggilan ' mak'  itu amat  melunakkan hati ku. Sehinggalah kepada pertemuan pertama yang mencatatkan sejarah. Dalam keadaan susah payah, dengan tongkat sebatang, dengan dipimpin oleh gadisku, aku korbankan apa saja untuk aku penuhi impian nya. Namun manusia hanya bisa merancang, ketetapan yang terjadi adalah milik Allah. Dan 2 hari selepas itu, aku terus dimasukkan ke wad dan terlantar.


Dari pertemuan itu, telah tekad, dia ini anak yang telah tersurat untuk aku kasihi dan sayangi sampai hujung nyawaku. InsyaAllah aku korbankan apa saja untuk dia. Aku lakukan setulus hati apa juga untuk dia kerana qudrat dan iradat Allah mengurniakan rasa kasih dan sayang kepadanya di dalam hati ini.


Disusuli pertemuan kedua, dia yang tulus dan rela mengorbankan masa, tenaga dan apa saja untuk aku yang terlantar tidak berupaya melakukan apa jua. Disinilah kenangan yang tidak mungkin aku lupakan sampai hujung nyawa. Dia yang rela mencemarkan apa saja yang tidak pernah dia lakukan kepada sesiapa, tetapi dengan mak ini, dia buat juga. Kerana apa? Sudah pasti kerana dalam hatinya ada kasih dan sayang. Dari mana datangnya sayang itu, jika bukan Allah yang menghendakinya. Bagaimana mudah untuk dia sayangi seorang perempuan tua baru 3 minggu dikenali? Inilah yang dikatakan ANUGERAH.


Tetapi pengalaman-pengalaman yang dilalui bersama telah menjadikan hatinya kering dan kontang. Takdir menetapkannya begitu. Ujian dan dugaan yang tidak pernah berhenti dari bertandang dan pergi.


Kesan yang ditinggalkan amat menyakitkan dan memedihkan. Bukan aku yang menyebabkan tetapi kerana aku yang memulakan disetiap ujian itu datang.


Begitulah ketetapan yang telah tersurat antara aku dan embunku. Embun yang tidak pernah sedetik aku lupakan. Embun yang sentiasa aku sebut dan panggil dinihari.


Embun yang amat suka makan daging kambing. Suka makan ikan. Sebab itu dalam peti dingin beku sentiasa ada daging kambing segar. Aku sentiasa simpan daging kambing supaya bila-bila embun aku sudi datang, mudah untuk aku sediakan hidangan yang digemarinya.


Aku tidak pernah lupa apa yang dia suka, apa yang dia buat. Walaupun kini dia kata mahu hidup dalam dunia kecilnya, dan aku menghormati kehendaknya, namun dalam banyak perkara aku tetap rindu padanya.


Saban hari aku memanggil dia, menyebut namanya, menitip bisikan rindu melalui angin lalu. Sampai bila? Selagi roh dan jasad masih bersatu dan bernyawa.


Biarlah aku dilupakan , disisih dari hidupnya, namun kerana kasih sayang itu adalah anugerah dari Allah yang dicampak di dalam hati ini, maka aku syukuri dan aku redha dengan apa yang dia lakukan ini.


Aku menangis saban hari setiap kali wajahnya melintas dalam ingatan. Bila lihat tshirt hitam, bila masak ikan kembung, buat air asam, mesti kenangan lalu akan mengimbas dalam fikiran.


Sepanjang 2 tahun ini, banyak kenangan dilalui, sudah pasti kenangan-kenangan yang sayu dan pilu.


Dan aku yakin, embunku juga sebenar sayang dan rindu pada aku. Jika tidak, tak mungkin aku tetap begini, merasa dia sentiasa ada walaupun jauh di mata.


Catatan Rindu,
Kembara Samudera Qaseh