Buangkan lah rasa marah, antara kita tidak ada sebab terputusnya persaudaraan ini kerana persaudaraan kita adalah sebuah persaudaraan yang unik. Persaudaraan yang bukan memerlukan sebuah ikatan untuk dihalalkan. Walaupun bukan mahram, batas-batasnya tetap dipelihara kerana persaudaraan ini mengharap redha, rahmat dan kasih sayang Allah. Tidak ada sekelumit pun ada niat lain selain persaudaraan kerana Allah semata. Persaudaraan yang berasaskan berpesan-pesanlah dengan kesabaran dan berkasih sayang. Firman Allah dalam surah Al-Balad ayat 17;
سُوۡرَةُ البَلَد
ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡمَرۡحَمَةِ (١٧
Maksunya;
"Selain dari itu, dia menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang."(Al-Balad,17)
Persaudaraan yang diputuskan tanpa rela akan menyebabkan hati terluka. Jika sebenarnya kedua-dua tidak rela , maka kedua-dua hati itu hancur dan perasaaan hiba akan terus menyelubungi selamanya.
Mampukah untuk diteruskan hidup dalam keadaan duka yang memanjang? Pertemuan itu bukan dipinta,bukan dirancang. Ia terjadi atas qudrat dan iradat Allah. Akhirnya aku pasrah.
Bagaimana usahanya aku untuk merapatkan persaudaraan itu, jika tidak dalam izin dan redha Allah maka pasti tidak terjadi, dan jika bersungguhnya satu pihak memutuskan hubungan persaudaraan itu, tetapi Allah tidak izin dan redha, maka persaudaraan itu akan bersatu semula.
Wahai Tuhanku yang Maha Mengasihani, janji MU adalah benar, Perkataan MU adalah benar, maka sampaikan hajat dan permohonanku ini,aku tak mampu Ya Allah, untuk menerima keadaan ini. Satukan lah kembali kami, suburkan kasih sayangku di dalam hatinya.
Aku pohon redha MU di dalam persaudaraan ini. Limpahkan rahmat dan kasih sayang MU dalam persaudaraan kami. Aku tidak mengharapkan semata-mata izin MU sahaja Ya Allah tanpa redha kerana aku takut izin yang terjadi tetapi di dalam kemurkaan MU. Di bezakan antara izin dan redha di sini agar kita lebih faham dan jelas maksud antara izin dan redha.
Antara Izin dengan redha
Di dalam al-Quran Allah menggunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini. Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya.
Firman Allah: (maksudnya) “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).
Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.
Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah aZ-Zumar, ayat 7).
Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan. Dalam perjanjian Hudaibiyyah Nabi s.a.w dan Musyrikin Quraish Mekah, baginda ingin agar kepala perjanjian itu ditulis dengan Bismillah al-Rahman al-Rahim. Namun wakil Quraish, Suhail bin ‘Amr tidak bersetuju. Dia mahu supaya ditulis seperti kebiasaan Quraish dalam menulis perjanjian iaitu BismikaAllahumma (Dengan NamaMu Ya Allah).
Nabi s.a.w bersetuju dan mengizinkannya, walaupun hakikatnya baginda tidak redha demikian. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut: “Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut.
Ini bermakna tidak semestinya sesuatu perkara itu berlaku dengan izin Allah,Allah redha. Maka apa yang aku harapkan di dalam persaudaraan ini adalah redha Allah. Aku mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah dilimpahkan di dalam persaudaraan ini. Persaudaraan yang dilimpahi kasih sayang sesama manusia dan seagama.
Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh
0 ulasan:
Catat Ulasan