CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 21 Julai 2010

Mencapai Bahagia


Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Nu’man bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:


Maksudnya: 'Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati'. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan.


Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan. Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.


Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata.


Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: 'Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.


Untuk mencapai bahagia di dalam hidup ini, bukan lah dengan satu jalan sahaja, tetapi ada banyak jalan.


Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut:


(a) Niat Yang Baik

Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang.



(b) Perbuatan Yang Baik

Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang tidak bermanafaat. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain.


Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam.


Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu’. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11.

Maksudnya: 'Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya'.
(al-Mukminun: 1-11)



Titipan kasih buat anak mak,
Kembara Samudera Qaseh.

0 ulasan: