بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Pembuka tirai 2011, ingin mak lakarkan kembali sebuah bicara antara mak dengan anak mak. Pernah suatu ketika, kita berbual tentang alam, betapa dengan kebesaran dan keagungan Allah, terbukanya hidayah buat anak mak.
Hanya dengan melihat langit, melihat serangga , melihat tumbuh tumbuhan telah menerbitkan rasa ta'ajub dengan kebesaran dan keagungan Allah.
Lipan dengan bilangan beratus kaki, pepatung, lalat, semut, belalang,lipas dan sebagainya mempunyai sifat yang sama dan berbeza antara satu sama lain.
Selain itu melihat keindahan alam, melihat langit yang terbentang luas, bintang yang mengerdip di malam hari, susunan buruj bintang-bintang menerbitkan rasa ta'ajub di dalam hati.
Tambahan pula apabila hati resah gelisah, dengan melihat langit , boleh menenangkan hati. Ini memang betul. Ada satu petua orang tua-tua yang mengatakan bahawa jika hati kita runsing atau fikiran kita sempit, maka lihatlah langit. Insya-Allah, hati yang runsing akan mendapat ketenangan. Fikiran yang sempit akan menjadi lapang.
Ya, seolah-olah langit yang sangat luas dan tidak bertepi itu mampu memberi satu rasa ketenangan di dalam jiwa kita. Tetapi harus kita ingat, yang memberi ketenangan itu bukan langit tetapi Allah. Langit hanya menjadi sebab sahaja bagi Allah untuk memberi ketenangan kepada manusia yang melihatnya.
Di dunia ini ada dua bentuk penciptaan Allah. Pertama, penciptaan yang dibuat oleh Allah secara langsung. Kedua, ciptaan yang dibuat oleh Allah secara tidak langsung. Apa penciptaan Allah yang secara langsung? Apa pula ciptaan secara tidak langsung?
Ciptaan langsung daripada Allah antaranya, hutan, bukit-bukau, gunung-ganang, awan gemawan, sungai, laut dan lain-lain termasuklah langit. Semua itu adalah ciptaan yang dibuat oleh Allah tanpa campur-tangan manusia. Istilah yang selalu digunakan ialah ‘alam semulajadi’. Tetapi hati-hati ya, alam ini bukan terjadi dengan sendirinya tetapi Allah yang menjadikannya. Semula jadi itu maksudnya Allah telah ciptakan sejak awal lagi, Ada antaranya sebelum penciptaan manusia.
Manakala ciptaan secara tidak langsung pula ialah seperti bangunan, kenderaan, perabot, talipon dan lain-lain. Semua ciptaan ini dibuat oleh manusia. Dengan akal fikiran, tenaga fizikal dan keupayaan imiginasi, manusia mencipta pelbagai alat teknologi. Tetapi ingat, manusia itu dicipta Allah. Akal, jiwa dan seluruh anggotanya adalah pemberian daripada Allah jua. Manusia tidak akan dapat mencipta atau membuat sesuatu tanpa kurniaan Allah. Itulah maksudnya ciptaan tidak langsung dari Allah.
Rupa-rupanya hati kita akan menjadi tenang apabila kita memandang sesuatu ciptaan yang langsung daripada Allah. Cuba bandingkan bagaimana rasa hati kita bila melihat bukit-bukau, laut, sungai ataupun tasik dengan melihat bangunan pencakar langit? Yang mana hati kita lebih tenang. Tentulah melihat tasik, sungai dan bukit bukan? Sebab itu selalunya orang beriadah atau berkelah di tepi-tepi tasik, sungai atau bukit. Begitu juga kalau mahu bercuti, selalunya memilih lokasi yang dekat dengan alam semulajadi.
Kalau hati tenang ketika melihat langit bukan kerana langit itu yang memberi ketenangan, tetapi kerana langit itu ‘dekat’ dengan Allah yang menciptanya. Hati kita akan jadi tenang bila dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah. Kalau begitupun hati kita tenang, apalagi kalau hati kita dekat terus dengan Allah melalui zikrullah dan ibadah. Tentulah akan lebih tenang. Benarlah firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang.”
Pernah mendengar bahawa alam ini sentiasa bertambah luas dari hari ke hari, dari semasa ke semasa. Inilah yang disebut oleh ahli Sains – ‘universe is expanding’ – maksudnya dunia sentiasa berkembang dari segi keluasannya. Ia umpama belon yang terus ditiup setiap hari. Keluasan jagat raya ini tidak statik dan terhenti tetapi sentiasa dinamik dan berkembang.
Begitulah kuasa Allah yang Al Wasi’ (ertinya melapangkan atau meluaskan). Allah bukan sahaja Maha meluaskan rezki, pengampunan dan rahmat-Nya tetapi Allah juga Maha meluaskan alam ciptaan-Nya. Jadi, apa kata selepas atau semasa membaca tulisan ini , jengukkan kepala ke luar tingkap. Pandanglah langit. Lalu ingatlah Allah yang bersifat Al Wasi’ (Maha Meluaskan). Insya-Allah hati akan menjadi lebih tenang, malah ilmu, rezki dan lain-lain lagi pun akan menjadi bertambah luas! Amin.
Perkongsian,
Kembara Samudera Qaseh.
0 ulasan:
Catat Ulasan