CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 11 Januari 2011

Wasiat Buat Anak Mak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Memang manusia tak akan tahu apa yang berlaku sesaat pun masa didepannya. Kadang-kadang cantik kita merancang sesuatu perkara, tapi lain jadinya.

Hari ini tanpa diduga tiba-tiba pagi tadi sewaktu mak berhenti menulis laman blog Field Of Dream dan memasak di dapur, mak diserang angin medu sehingga sakit menyesak dada. Oleh kerana ketika dapat serangan tu , mak berada hampir dengan bilik air, perlahan-lahan mak berjalan ke bilik air dan berwuduk.


Sambil duduk, solat dhuha 2 rakaat, terus baring sambil zikir. Airmata ni mengalir lesu sambil menahan sakitnya. Datang Naimah menangis dan memeluk, "opah, jangan lah mati", "kakak sayang opah..."


Sekejap Naimah masuk bilik datang ke katil , sekejap Naimah keluar mendapatkan atoknya sambil berkata " atok, nanti opah mati, atok hantar kat kubor tau, opah sakit, kakak sayang opah." Terdengar mak akan kata-kata Naimah kepada atoknya.

Kemudian datang lagi, " opah, sapa nak jaga kakak?" "opah janganlah mati."


Sambil berbaring tu, teringat mak akan anak mak yang sorang ni. sambil menangis,mak taip sms, berupa wasiat. Sekiranya mak mati memang pesanan tu jadi wasiat. Usahalah untuk tunaikan. Sudah ramai perempuan yang anak mak suka tapi tak ada yang tulus untuk bernikah dengan anak mak. Hanya inilah satu-satunya perempuan yang tulus dan sedia untuk menjadi isteri anak mak. Anggapkan halangan ini sebagai ujian. Dan anggapkan ego anak mak itu juga ujian untuk mendidik hati agar sedia untuk memaafkan kesilapan.


Rezeki adalah urusan Allah. Anak mak mampu untuk menyara isteri dan anak-anak dengan kudrat yang anak mak ada tu. Berusahalah mengasihi dan menyayangi orang yang sayangkan anak mak dengan tulus.


Dalam kesakitan tu mak doa agar terbuka hati anak mak untuk berkasih sayang dan mohon Allah mempermudahkan urusan anak mak. Jangan lah meragui dirinya samada dia kuat dan tabah untuk hadapi ujian selepas berkahwin. Kalau saling sandar menyandar dan saling sokong menyokong, akan pasti teguh dan kuat juga.

Bila terdengar saja azan zohor, mak gagah diri untuk solat. Sebaik salam, terus baring semula dan senyap. Naimah datang semula, "opah dah mati ke?", "opah nganga kejap, kakak nak tengok mulut opah."


Selepas satu jam berlalu waktu zohor, barulah mak cuba untuk duduk bersandar. Suka Naimah tengokkan, terus Naimah keluar bilik dan terdengar dia ajak atoknya masuk bilik. " Atok, kejap tok, kejap tok, masuk bilik."

"Atok tengok tu, opah dah hidup." Suka Naimah tengok mak dah dapat duduk. "Opah dah tak mati."

Kemudian Naimah ke dapur ambik kan nasi. Lepas tu Naimah juga yang suapkan mak nasi berlaukkan ikan goreng dan tempe, hingga habis. Tersentuh hati mak melihat keprihatinan seorang anak kecik berusia 3 tahun melayan mak. Di ambilkan air minum, dan disuakan gelas tu ke mulut mak, sama seperti disuapkan nasi ke mulut mak.


Begitulah, jika kita tulus melayan mereka dari bayi, tak diduga baru usia 3 tahun sudah bijak melayan orang sakit. Bijak berkata-kata dan berusaha. Ayah pun kata, "bersungguh Naimah menjaga opah, takut sangat dia, kalau opah mati."


Mak kena usaha ceritakan pada Naimah tentang mati dan kematian lepas ni, agar dia faham dan bersedia menerima keadaan tu. Mak juga berharap anak mak bersedia saat tu. Setiap kali mak sakit, yang terbayang di depan mata ialah saat malaikat Izrail datang mencabut nyawa memisahkan roh dari jasad mak.


Petang tadi sebaik Mastura dan Anazahra tahu keadaan mak, terus mereka datang ziarah. Ketika mereka sampai , keadaan mak dah lega dan pulih sedikit dan boleh berbual-bual. Sebelum tu, sampai Naimah kata, "opah, cakaplah kuat sikit, kakak tak dengar la." Lepas kena serangan tu memang badan jadi lemah kerana berusaha menahan kesakitan. Menggunakan tenaga dalaman untuk menahan kesakitan.

Apakan daya, kita tak mampu melawan Takdirnya. Kalau belum mendapat keizinNya – ikhtiar dan tawakal hanyalah untuk berserah kepadaNya semata-mata. Yang menentukan cepat baik atau langsung tak boleh baik – adalah HakNya.





Catatan kasih,
Kembara Samudera Qaseh.

2 ulasan:

lembu berkata...

wasiat yg tak dpt dipenuhi....

Mak berkata...

Tunggu saja lah dah mati nanti...