Kenapa hari ini kenangan lalu terlalu menghambat hati ini. Subuh tadi ketika masak sambal sotong, terimbas kenangan kali pertama anak mak datang ke rumah. Ketika itu, mak baru saja keluar wad.
Mak keluar wad pada hari Sabtu, anak mak datang ziarah ke rumah sebelum balik ke Bangi. Tidak silap mak hari tu hari Rabu. Anak mak datang ke rumah bersama dengan abang dan kakak ipar.
Walaupun ketika itu mak baru sahaja 13 hari selepas pembedahan, mak berusaha masuk ke dapur untuk memasak. Mak masih lagi berjalan menggunakan 'step walker' . Perlahan-lahan dan berhati-hati mak berdiri di dapur. Plaster luka yang ditampal atas luka pembedahan masih belum dibuka. Ini kali pertama mak mahu menjamu anak mak makan nasi di rumah mak. Mak mahu anak mak makan makanan yang mak masak sendiri. Makan masakan air tangan mak.
Mak masak sambal sotong dan masak lomak ikan tenggiri. Masa makan, kerana ada orang lain, mak segan untuk sendukkan lauk ke dalam pinggan anak mak. Lagi pun, kedudukan mak ketika itu berada bertentangan anak mak, jadi tidak dapat untuk menyendukkan nasi tambah. Mak tak makan, jadi mak tengok anak mak makan. Suka mak lihat anak mak berselera makan walaupun malu-malu. Malu untuk tambah nasi dan malu untuk ambil lauk. Masa tu mak belum tahu yang anak mak mahu mak yang sendukkan nasi dan lauk-lauk.
Ada sotong dalam pinggan anak buah tu,dia tak usik, anak mak ambik sotong bersambal tu dan terus suap dalam mulut. Suka mak tengok anak mak menguyah sotong hingga kembung-kembung pipi. Tersenyum mak tengok masa tu.
Lepas makan, solat zohor. Lepas tu, lebih kurang jam 3.00 petang, baru anak mak bergerak ke Johor Bahru untuk beli tiket dan balik Bangi. Mak hadiahkan buku, karangan Imam Ghazali, Penenang Jiwa terjemahan kitab Mukashafah Al-Qulub. Buku tu mak baru beli,belum sempat mak baca. Baru ini, ayah beli buku tu semula untuk mak. Bila mak lihat buku, makin kuat kenangan dan ingatan pada anak mak. Memang Allah tidak izinkan untuk mak melupakan anak mak.
Mak tak tahu adakah buku itu masih anak mak baca atau entah terselit di bawah timbunan-timbunan skru dan playar. Moga dengan membaca buku itu boleh memberikan ketenangan jiwa melalui perubatan dan rawatan yang disarankan oleh Imam Al-Ghazali.
Mak juga ingat,mak berikan 2 helai kupiah. Mak suka tengok gambar yang anak mak baring letak kupiah tu atas badan.
Mak tahu anak mak hargai hadiah yang mak berikan. Hanya itu saja kenangan dari mak. Mak tak boleh buktikan sayang dan kasih mak pada anak mak, tapi anggaplah bila pakai kupiah tu, tangan mak yang membelai kepala anak mak. Peluklah kain serban, kain pelikat tu bila masih ingat pada mak.
Mak tak ada apa-apa untuk dipeluk hanya ada kenangan dalam diri mak. Kasih sayang mak yang memang tak bersempadan dan rindu mak yang tidak bertepi pada anak mak.
Sukar untuk mak melalui detik-detik ini walaupun zahirnya semua orang nampak mak biasa-biasa saja. Orang nampak mak boleh aktif berforum,berchatting tapi hakikat sebenar tak ada sesiapa yang lihat.
Nak tahu mak baik atau tidak, samada dapat berfikir dengan baik dan tenang, ialah lihat laman field of dream saja, sudah tidak terusik apa-apa. Mahu menulis tetapi emosi menguasai diri, payah untuk membina ayat-ayat. Dari situ sudah dapat meneka bagaimana keadaan diri dan perasaan mak. Mak tak mampu untuk mengungkap bait-bait ayat kerana jiwa yang sentiasa hiba dan berduka. Mak lebih suka menulis meluahkan rasa hati sebenar di sini.
Semoga anak mak bahagia,tenang dan selamat sejahtera walaupun dimana jua. Anak mak pilih cara begini, mak terima saja apa yang anak mak buat moga-moga dengan cara yang anak pilih ini membawa manafaat dan kebaikan untuk anak mak. Biarkan saja mak dalam berduka dan tangisan yang sukar untuk dihentikan. Kala sendirian hanya air mata saja teman mak.
Qudrat dan Iradat Allah menetapkan perjalanan silaturahim kita begini. Tidak mungkin putus tanpa izin NYA. Hanya terhubung melalui doa-doa sahaja.
Aku yag tetap sayang,
Kembara Samudera Qaseh.