CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 28 Oktober 2010

Menagih Janji Tuhan

Maha Suci Engkau Ya Allah...

Sebelum ku tulis butir bicara, keampunan dari MU kuharapkan atas segala dosa-dosa silam dan maksiat yang telah aku lakukan samada sengaja atau tidak sengaja. Ku tahu Ya Allah, terlalu banyak kemungkaran yang telah aku lakukan selama ini. Maka aku bertaubat dan mohon ampun dari MU.


Aku kesali atas segala kemungkaran yang telah aku lakukan dan aku mneyesal kerana telah menzalimi diri sendiri pada suatu ketika dahulu dengan banyak melakukan kemungkaran samada dosa kecil atau dosa besar. Aku mohon ampun, Ya Allah. Aku tahu ENGKAU Maha Pengampun akan dosa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Wahai Tuhan ku Yang Maha Pemurah lagi Maha Berkuasa, Hanya kepada MU aku berserah, kembalikan Embun ku wahai Tuhan ku yang Maha Pengasih, aku rindu pada Embunku, wahai Tuhan ku yang Maha Penyayang.


Janji MU adalah benar, Perkataan MU adalah benar, Pertemuan dengan MU adalah benar, Syurga MU benar, Neraka MU benar, Nabi-Nabi MU benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan hari kiamat adalah benar.


Kepada MU aku menyerahkan diri, kepada MU aku beriman, atas MU aku bertawakkal, kepada MU aku akan kembali , bersama-sama MU aku menghadapi Musuh dan dihadapan MU aku akan di adili. Ya Allah limpahkan lah rahmat MU kepada Embunku walau dimana dia berada. Peliharalah keselamatan dan kesejahteraan dirinya di dalam redha , rahmat dan kasih sayang MU. Ya Allah, sungguh hatiku ini kasih akan dia. Semoga aku bertemu dia suatu hari nanti, samada ketika nyawaku masih ada atau hanya jasad yang ada setelah roh ku KAU angkat ke alam barzakh.



Embunku,
Jangan dibiarkan hati yang retak terus berkecai. Ubatilah agar cepat sembuh .




Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh.

Rabu, 27 Oktober 2010

Jangan Bertangguh Untuk Beramal

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 


Setiap manusia itu bertanggungjawab terhadap nikmat-nikmat yang diamanahkan kepadanya dan akan disoal di akhirat kelak.



Bagaimana kita telah memanfaatkan waktu-waktu yang telah berlalu, hanya kita yang dapat menjawabnya. Sheikh Ibnu ‘Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya:

“Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya.”


Memanfaatkan masa

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.

Allah berfirman yang bermaksud:


Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan:


“Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak.”

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata:

Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.


Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu ‘Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara :

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah.

Firman Allah SWT:

Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A’la: 16-17)

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: “Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula.”

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman:


Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda:


“Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan.”

Sabda Rasulullah SAW lagi:


“Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah.”

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut:

“Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum.”

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda:

“Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang.” 

Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA berkata:


“Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya.”

Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!








Embun mak,
Kemana menghilangkan diri?





Ingatan buat diriku,
Kembara Samudera Qaseh.

Selasa, 26 Oktober 2010

Bila Hati Retak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Ntah kenapa kali ini , terasa amat sayu dan ingin menyendiri. Berfikir dan terus berfikir,dimana pula salah dan silapnya.


Adakah kerana kata nasihat tempoh hari? Adakah kata pandangan itu membuat hati terasa? Adakah kerana tulisan tajam seperti sembilu?


Meneka yang tidak punya jawapan. Namun tetap aku tidak bersangka-sangka. Mungkin aku yang silap bicara lagi. Mungkin aku kurang peka terhadap perasaan embunku sendiri.


Ini bermakna aku masih belum dapat menyelami hingga ke dasar hati embunku. Aku tahu embunku ini jiwanya besar tetapi kalbunya terlalu halus. Rapuh dan amat mudah retak. Bila hatinya retak, maka aku yang terluka. Pasti aku yang terluka terkena serpihan hati nya yang retak.


Seperti jika pinggan retak , akan ada bahagian yang sompek, bila tangan terkena serpihan yang sompek itu, tangan mesti luka dan berdarah.


Begitulah analoginya bila hati embunku retak, yang terluka dan berdarah adalah hatiku sendiri. Dari dulu aku memang menjaga hatinya yang rapuh agar jangan mudah retak. Mungkin kali ini dalam aku berhati-hati ketika berbicara, aku tersenggul tanpa sedar dan sengaja.


Bagaimana untuk aku memulihkan semula? Mahu menampal hatinya retak itu? Nak guna plaster atau seloptep atau binding tape? Guna gam UHU atau gam tepung kanji? Alangkah bagus jika ada gam gajah berkualiti untuk mencantum hatinya yang telah retak itu.


Pada MU Ya Allah,aku pasrah dan berserah. Segala yang berlaku ini adalah dengan qudrat dan iradat MU juga. Senggolan atau gurisan dari sembilu tangan ku hanya sebab dan asbab retaknya hati itu. Semua yang terjadi adalah dengan izin MU juga.


Ya Allah, aku tidak pernah putus rahmat daripada kasih sayang MU, aku tetap mengharap akan ada sinar dan cahaya di dalam ukhuwwah antara aku dan embunku ini. Semoga ada redha, rahmat dan kasih sayang MU antara aku dan embunku ini.



Embunku,
Jangan buat begini kepada orang yang amat sayang kepadamu. Yang amat kasih padamu. Jika dia salah,nyatakan silapnya dan maafkan ia, jangan mendiamkan diri begini.








Luahan hati,
Kembara Samudera Qaseh.

Embunku Seperti Samudera

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Begitulah anak mak, ada pasang surutnya. Ibarat laut yang luas terbentang di hadapan mata, laut yang ada kalanya bergelora, adakalanya tenang sepoi bahasa.

Bayu yang sentiasa bertukar arah, ada bayu darat,angin bertiup dari darat menuju ke laut, dan ada bayu laut, angin yang bertiup dari laut menuju ke darat.


Itu belum lagi siklon, taufan, tsunami dan hurricane. Semua ini datang tanpa di duga dan dijangka.


Dalam tenang, damai memadu kasih di layar samudera, tiba-tiba datang ribut melanda tanpa signal atau pun amaran.


Maka jadi mak ini orang yang terpinga, terkesima dan terfana. Bila mana anak mak terkunci segala bicara dan membisu seribu kata.


Itulah dunia rasa antara anak dengan mak. Walaupun begitu, lautan kasih sayang tidak pernah bertepi, rindu tidak pernah bersempadan.


Biarlah Jurang Mariana terbentang di depan mata,tetap mak berusaha untuk belayar bersama kemana jua.


Satu wasiat mak, bila dengar jasad dan roh mak berpisah, ciumlah pipi mak buat bekal semangat meneruskan kehidupan ini.



Salam sayang dari mak,
Kembara Samudera Qaseh.

Isnin, 25 Oktober 2010

Penawar Hati Buat Embun Mak

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Wahai embun mak, mak tahu apa yang embun mak rasakan. Kesunyian, kesepian dan jiwa kosong kerana tak ada feeling apa-apa sekarang ini. Banyak yang bermain didalam fikiran embun mak, tetapi tak ada jawapan semua persoalan itu.

Bersabarlah embun mak. Hanya ungkapan sabar sahaja yang akan meneguhkan iman kita.


Kalau embun mak resah, gelisah, pergilah mana-mana masjid di Selangor tu, dan duduk beriktikaf seketika.

Niat iktikaf kerana Allah dan masuk masjid. Duduk diam-diam sambil merenung diri,samada masa lampau atau masa depan. Bermonologlah dengan Allah untuk mencari jawapan terhadap apa-apa persoalan.


Beriktikaf di masjid tidak semesti mengaji quran atau sentiasa bersolat. Duduk bertafakur sambil muhasabah diri juga ada ganjarannya. Hanya ketika masuk masjid, terus niat "sahaja aku beriktikaf kerana Allah Ta'ala", dan solat sunat tahyatul masjid. Lepas itu duduk lah mana - mana di dalam masjid yang bukan laluan orang,kerana tentu sekali ingin menyendiri.


Tanyalah ...

Kenapa aku sering di uji oleh MU dengan ujian yang begini berat dirasakan oleh hatiku. Aku selalu gagal di dalam usaha dan ikhtiar yang dilakukan mengikut syariat MU.

Aku selalu mentaati perintah MU, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ENGKAU larang, tapi hidup ku tetap begini, susah dan makin hari makin susah. Samada susah untuk bekerja dengan tekun, susah untuk mendapatkan jodoh dan hati ku selalu rasa bosan dengan hidup.


Sedangkan aku melihat mereka yang tidak mentaati MU, tidak bersolat, mengabaikan solat , melakukan maksiat boleh hidup bahagia. Mereka memiliki keluarga, memiliki wang ringgit, harta benda dan kasih sayang. Tetapi aku tidak memiliki itu semua. Kenapa Wahai Tuhan, ujian ku begini?


Embun mak tahukah ...

Apa itu istidraj?
Apa itu berkat?
Apa itu Rahmat?


Apa yang di katakan istidraj?

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.


Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk melalaikan dia, menjauhkan dia dari rasa syukur dan akhirnya menghancurkannya.


Rasullulah s. a. w. bersabda : "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)


Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.


Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagiaan di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.


Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa?


Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah, Sombongnya mereka, takburnya mereka.


Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.


Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul'Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.


Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.


Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.


Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.


Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?


Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.



Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.


Rahmat Allah bukan hanya pada melimpahnya harta benda atau wang ringgit, besarnya rumah, tingginya kedudukan atau banyaknya makanan. Tetapi, hati yang tenteram, jiwa tenang, fikiran tidak kusut, sihat tubuh badan dan bahagia kehidupan juga merupakan rahmat yang tidak nampak.


BERKAT
Apa pula yang dikatakan keberkatan hidup?
Hidup yang dihiasi dengan keberkatan akan mengundang ketenangan dan kebahagiaan dalam diri.


HIDUP YANG TIDAK DIBERKATI
Ya, rupanya banyak sekali orang yang tidak dapat menerima dan merasakan berkat Allah yang begitu luar biasa yang diberikan kepada kita sepanjang hari. Laksana matahari yang setiap hari menyinari kita di siang hari demikianlah kasih Allah. Banyak sekali penyebab mengapa berkat Allah itu kita TIDAK dapat terima dengan baik. Berikut adalah contoh penyebabnya:


1. Kurangnya iman dan kepercayaan kepada Allah. Kadang di saat kita telah memiliki segalanya dengan melimpah, kita jadi kehilangan arah dan melupakan Allah. Atau karena desakan dan tekanan kehidupan ini mengakibatkan iman kita terdesak dan mengecil, bahkan kita sama sekali kehilangan kepercayaan.


2. Dosa. Dosa dapat membuat kita jauh dari Allah. Terutama jika kita merasakan banyaknya dosa (telah melakukan samada banyak dosa ekcik atau terbuat dosa besar) kita justru meninggalkan Allah. Sepatutnya kita memohon ampun dan menyesali dosa kita sehingga kita dapat merasakan berkat Allah lagi.


3. Perasaan negatif seperti dendam, sakit hati, benci. Seringkali kita dikuasai oleh rasa dendam, sakit hati, benci, dll, sehingga hati kita tertutup oleh kasih sayang kurniaan Allah.


4. Keterikatan pada hal duniawi. Seringkali kekuatiran duniawi dan juga keperluan duniawi membuat kita terikat sehingga kita melupakan keperluan roh kita akan kasih Allah. Misalnya kita begitu kuatir tentang keadaan kewangan kita, atau keperluan-keperluan duniawi kita yang lain.


5. Keterikatan pada roh jahat atau roh orang mati. Tidak jarang orang terikat dengan roh jahat atau roh mati sejak masih dalam kandungan, bayi atau masa kecil kita. Kebanyakan bahkan berupa warisan dari nenek moyang. Tetapi banyak juga orang yang bersekutu dengan roh jahat dan roh orang mati saat dia dewasa, bahkan sengaja berguru dan mencari ilmunya. Allah tentu saja tidak suka dan akibatnya adalah bahwa Allah tidak dapat memberikan berkat-Nya lagi.


6. Keluarga yang retak. Keluarga yang retak itu seperti mangkok yang retak. Ketika mangkok tersebut diisi dengan sayur atau air, maka isinya akan merembes keluar. Demikian juga dengan keluarga, keluarga yang retak tidak dapat menampung berkat dari Allah dengan baik karena berkat itu akan merembes dan terbuang sia-sia. Mungkin kita akan tetap banyak memperoleh rezeki, tetapi rezeki itu akan habis dengan sia-sia.


Itulah sedikit contoh mengapa kita tidak dapat menerima berkat Allah dengan baik, bahkan tidak menerimanya sama sekali. Sebagian karena kita tidak menyadari karena mungkin sudah didikan sejak kecil. Tetapi ada juga yang memang menolak Allah dengan menghambakan diri pada roh jahat.


Bagaimana mengatasi hilangnya berkat Allah tersebut sehingga kita dapat menerima berkat Allah yang melimpah?


Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?

Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.

Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen.” Katanya.

Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.

Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belumpun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Diapun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.


Jika pertunjukkan amal itu sesuatu yang dilakukan mengikut syariat,tidak mengapa, tetapi selalunya yang dikatakan pertunjukkan amal itu ialah pertunjukkan di taman-taman hiburan untuk mengutip derma yang mungkin untuk membantu mangsa banjir. Tujuan baik tetapi, caranya haram, maka ini yang dikatakan "matlamat tidak menghalalkan cara".


Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata,

RedhaMu yang selalu kami rindukan, Dan marahMu yang sangat kami takuti, Tuhan … Lebih baik kami hidup miskin … … asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan … … di dalam marahMu.


Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada target atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!

Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.


Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahu A’lam.


Apa yang tersirat dalam hati mak untuk mak sampaikan pada embun mak. Inilah jawapan kepada persoalan yang sering embun mak tanyakan itu.





Titisan air mata,
Kembara Samudera Qaseh.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Apa hubungan Menutup Aurat dengan solat?



Adakah mentaati perintah Allah perlukan keikhlasan?


Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).



Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.


Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).


Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.


Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.


Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.


Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.


Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.


Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.


Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.


Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya.


Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.


Namun apabila kita terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan kita menunaikan solat, ia sebenarnya menunjukkan solat kita juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit".


Tidak boleh juga kata tak mahu solat sebab kalau solat hipokrit saja sedangkan samada orang itu ikhlas atau tidak,mahu atau tidak,ada mood atau tidak, mentaati perintah Allah wajib dibuat walaupun kita kata "aku buat tak ikhlas" atau "aku buat kerana dipaksa".


Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.


Buktikan kepada diri bahawa jagaan solat adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah kita akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk akhlaknya.


Justeru, kita perlu keluar dari jenis individu yang kita sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Jika tidak, kita membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, kita sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :


Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.


Semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH jika menganggap ‘berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh.


Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha.


Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..


Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

Sabtu, 16 Oktober 2010

Kasihku Pada Embunku



Bagaimana ingin ku zahirkan betapa aku sangat sayang dan kasih kepada embunku? Kasih sayang kepadanya melebehi anak kandung sendiri.



Ya Allah , jadikan lah kasih sayangku ini kepada dia sebagai satu ibadah. Izinkan dia merasai nikmat kasih sayang seorang ibu yang satu agama dengan dia. Kasih ku padanya hingga ke akhirat.



Ya Allah aku,mohon redha, rahmat dan kasih sayang MU melimpahi ke atas kami dan kami sentiasa berada di jalan MU yang lurus.






Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 15 Oktober 2010

Antara anak kucing dengan Anak Manusia

Jiran ku banyak pelihara kucing. Ada satu hari tu,kucing siam betina bernama Penyek telah lama hilang dari rumahnya. Penyek ini adalah kucing dia beli buat teman kucing jantan bernama Puten.


Tapi Puten tak suka Penyek dan Penyek juga tak suka Puten. Penyek cari teman lelaki dengan kucing jalanan. Penyek subur dan lahirkan banyak anak. Ada yang nama Gorilla, Batman, Along dan Kakak.


Anak-anak Penyek juga kahwin dengan kucing jalanan dan cepat membiak. Ada Aswad,Gendon, Hanan,Kelabu, Tompok dan Syifa'.


Oleh kerana Penyek tak mahu pada Puten, maka Puten tak ada zuriat. Lama-lama Puten meninggal kerana menagih kasih Penyek. Penyek langsung tak mahu layan Puten.



Suatu hari Penyek hilang. Hilang entah kemana tanpa diketahui. Penyek hilang meninggalkan anak dan cucu yang sekian banyaknya. Mulanya jiran aku sangka Penyek mati.


Semalam ketika aku balik dari hospital, aku lihat dalam pagar bawah porche ada Penyek. Cepat-cepat aku masuk dan usap bulu Penyek. Panggil nama dia. Dia diam sahaja,menunujukkan benar itu Penyek. Penyek nampak tua dan gemuk. Tak tahu dari mana Penyek datang dan kemana dia menghilang selama ini.


Terus aku telefon tuan Penyek bagitahu Penyek dah balik rumah. Masa aku telefon tuan Penyek ada di Jusco. Bila dia dengar saja Penyek dah balik, macam nak meraung dia dalam telefon dan bergegas balik rumah. Dia minta jaga Penyek sementara dia sampai, takut Penyek pergi lain tempat.


Bila sampai saja,terus dipeluknya Penyek dan dia macam tak percaya yang Penyek hilang,boleh muncul semula. Memang dah 3 malam katanya dia mimpikan Penyek. Terus di bawa balik Penyek ke rumahnya untuk dimandi dan dibersihkan.


Aku yang melihat gaya dia, teresak pilu dan hiba. Dia dengan anak kucing,aku dengan anak manusia. Begitulah juga perasaan aku dengan anak-anak angkatku. Betapa aku sayang anak angkat ku. Aku ada ramai anak angkat, namun berapa orang yang masih ingatkan aku dan sudi bertanya khabar aku.


Penyek yang dipelihara oleh tuannya, diberi makan dan kasih sayang, pun masih ingat untuk balik semula ke rumah. Kehilangan Penyek selama 2 bulan mungkin Penyek dikurung orang saja. Sebab Penyek balik dalam keadaan sihat dan gemok.


Ya, aku tahu, kini anak-anak angkat ku telah berjaya di dalam pelajaran dan bekerja dengan kerjaya yang bagus-bagus. Mereka sibuk. Tidak seperti masa belajar dahulu yang mana sibuk sekali pun, tetap ada masa untuk menelefon setiap hari atau 2,3 hari sekali. Bukan mahal mana pun, masa itu gunakan telefon awam lagi, guna duit syillling. 20 sen sekali buat panggilan, dapat dengar suara, tanya khabar pun dah cukup. Masa itu sama-sama rindu.


Kini semua itu tinggal kenangan. Yang  masih  setia  ingat  pada  aku hanyalah embunku.  Dengan embunku ini,   banyak kisah hiba yang terpahat di dalam memori.  Kisah hiba ini  yang banyak membuatkan aku bermonolog dengan Tuhanku.

Embun mak, mak pegang janji embun,   akan sentiasa  ingat mak dan tanya  khabar mak walaupun sibuk mana sekali pun.  Mak sentiasa rindu  pada   anak-anak mak.


Bila aku lihat anak kucing yang beruntung mendapat kasih seorang ibu  manusia  aku teringatkan embunku.  Jika jiranku begitu kasih kepada kucingnya,  aku juga  amat kasih kepada embun ku  ini. Kasih yang amat-amat kasih.


Embun yang bukan aku kutip  dari rumput  di tepi jalan  atau aku tadah dihujung daun, tetapi embun yang turun dari angkasa, anugerah  Yang Maha  Esa, hadirnya pun selalu dinihari jua.






Cipta  Rasa,
Kembara Samudera Qaseh