CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 16 Ogos 2010

Catatan lucu Seorang Ibu




Mungkin sesuatu yang lucu kedengaran apabila mengaqiqahkan seorang anak yang telah akil baligh. Tetapi ada maksud tersirat di situ yang perlukan suatu penjelasan. Rasanya jika tidak ditulis di sini dan diluahkan sampai bila pun tidak ada siapa yang tahu apa yang ada di dalam hati seorang ibu kenapa dia berbuat begitu. Kenapa ibu  mengaqiqahkan anaknya yang telah aqil baligh.





Kita sorot semula apa itu aqiqah dan hikmahnya.


Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)


Falsafah 'aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kpd yg lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum).


Untuk mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan untuk mengadakan acara kesyukuran. Menyembelihkan kambing bagi anak lelaki, 2 ekor dan seekor bagi anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan ketika anak berumur 7 hari. Aqiqah amat penting, menurut keterangan ulama, hukumnya adalah "Sunat Muakkad". Dengan aqiqah akan menjadikan anak dapat memberi pembelaan (syafaat) kepada orang tuanya pada hari qiamat.


Hikmah aqiqah.

a. Sebagai bukti dari perasaan gembira, kerana diberi kekuatan oleh Allah untuk menjalankan syariat Islam serta dianugerah anak, serta mempunyai harapan agar anak tersebut akan mengabdikan dirinya kepada Allah.

b. Membiasakan berkorban bagi orang tua, demi kepentingan anak yang baru lahir.

c. Melepaskan penghalang pada bayi dalam memberikan syafaat kepada orang tua mereka kelak.

d. melindungi daripada syaitan sehingga setiap anggota tubuh aqiqah berguna untuk menebus seluruh anggota tubuh bayi.

e. Pada waktu memotong aqiqah juga hendaklah diucapkan seperti pada waktu memotong korban iaitu membaca Bismillah.

f. Lebih utama memasak aqiqah itu dan tidak diberikan dalam keadaan mentah. Untuk memudahkan para fakir miskin untuk menikmatinya dan ini lebih terpuji.

g. Umur binatang aqiqah yang disembelih adalah sesuai dengan yang diperintahkan, sihat dan tidak cacat.

h. Tidak sah apabila dilaksanakan secara bersama-sama oleh beberapa orang dengan seekor kambing.

i. Sebaik aqiqah itu berbentuk kambing, walaupun ada juga yang menyembelih seekor unta, lembu atau kerbau.

j. Diutamakan memotong aqiqah atas nama bayi. Rasulullah SAW bersabda, "Sembelihlah atas namanya". Ertinya diniatkan atas nama bayi dengan mengucapkan nama Allah. ( wahai anakku ketika ayahmu menyembelih sendiri lembu ini pada 4 Jun 2010, ayahmu sebut nama penuh mu itu dengan rasa kasih sayang.)

k. Penyembelihan terbaik dilakukan sesudah matahari terbit.

l. Sesuatu yang terpuji pada pemotong aqiqah adalah sama terpuji pada pemotong qorban iaitu, dagingnya disedekahkan. Yang baik ialah dibahagi 3 iaitu sebahagian dimasak sendiri, sebahagian dihadiahkan dan sebahagian lagi disedekahkan.

m. Tidak diperkenankan menjual kulit aqiqah atau dijadikan bayaran penyembelihan. Harus disedekahkan atau diambil untuk keperluan orang yang mengadakan aqiqah.

n. Bagi seseorang yang mengetahui bahawa orang tuanya belum melakukan aqiqah untuknya, maka dianjurkan untuknya melakukan aqiqah, seperti Nabi telah melakukan aqiqah untuk dirinya setelah diangkat menjadi Rasul. (mengambil kisah Rasullulah pun beraqiqah setelah dewasa, maka ibu ini mengaqiqahkan anaknya yang dewasa ini. Rasullulah mengaqiqahkan diri sendiri setelah diangkat menjadi Rasul, maka ibu ini tahu anak ini belum beraqiqah  atau mengaqiqahkan diri sendiri, maka ibu ini terpanggil untuk mengaqiqah anaknya yang telah Islam).



Apa yang ingin ibu ini luahkan tentang hikmah aqiqah itu. Kenapa ibu ini buatkan aqiqah untuk anak angkatnya yang telah aqil baligh.

Bagi ibu ini,dia baru dikurniakan oleh Allah seorang anak. Walaupun anak itu telah dewasa, tetapi ibu itu mengira dari tarikh dia menemui anak itu dan disayangi sebagai seorang anak. Seperti anak-anak kandungnya yang lain, diberikan nama dan diaqiqahkan (tidak ada pun antara anak-anak kandungnya sendiri yang dapat diaqiqahkan pada hari ke 7 dilahirkan kerana keadaan ekonomi)begitu juga dengan anak angkatnya ini. Cuma anak angkat ini ditemuinya telah pun mempunyai nama.


Merasakan gembira dan tanda syukur dikurniakan anak, maka ibu ini menganggap ia seperti anaknya yang baru dilahirkan. Dikiranya, dari tarikh ditemui hanya kira-kira 4 bulan,maka ibu ini bertindak membuat aqiqah untuk si anak. Bacalah hikmat aqiqah di atas, itulah perasaan si ibu ini terhadap anaknya.


Ibu ini benar-benar menganggap anak angkatnya ini walaupun telah dewasa tetapi merasakan seperti anak yang baru dia lahirkan. Gembira walaupun telah banyak duka-duka dilalui bersama anak ini. Ibu ini tidak kisah hatinya disakiti, tercalar dan dilukai dengan tindakan diri anaknya yang kadang - kala seperti luar kawalan. Ibu ini tetap bersyukur dengan kurniaan Allah kerana pertemuan dengan anak ini bukan dirancang atau di cari.


Itulah sebenarnya kenapa ibu ini melakukan aqiqah kepada anak ini. Semua hikmah di atas itu. Gembira, tanda syukur, mohon perlindungan Allah dari syaitan, agar dapat syafaat Rasul, dan semua yang di atas tu.


Sedarkah anak tu bahawa ibunya sangat sayang pada dia. Inilah salah satu tanda sayangnya ibu kepada anaknya. Dan tanda hak ibu bapa kepada anaknya, dengan mengaqiqahkan anaknya.  Ibu nak berikan nafkah, anak tu dah besar , dah pandai cari sendiri, nak dididik anak tu tak mahu sebab katanya dia dah belajar . Apa lagi ibu tu nak buat bagi menunaikan hak ibu kepada anaknya? Nak dikahwinkan , memang ibu itu dari awal lagi sentiasa berusaha untuk mencarikan jodoh. Ibu ini tak kenal malu, putus asa atau harapan. Selain doa , usaha tetap dilakukan hanyanya Allah belum menyampaikan hajat dan impian ibu ini untuk mengahwinkan anaknya.


Sebelum ini , ibu ini ada ramai juga anak angkat dari saudara baru. Mana-mana yang perempuan telah dikahwin, yang lelaki sedang berusaha untuk mencarikan jodoh, namun tidak seorang pun antara mereka ibu ini pernah membuat aqiqah kepada mereka. Tidak pernah terlintas dihati untuk mengaqiqahkan mereka.

Semoga suatu saat, hajat ibu yang satu ini, kelangsungan dari kasih sayang kepada anaknya ini kerana Allah dapat ditunaikan dengan qudrat dan iradat Allah.



Catatan,
Kembara Samudera Qaseh.

Ahad, 15 Ogos 2010

Masih Adakah Peluang Itu?


Tidaklah diciptakan lelaki dan wanita itu melainkan untuk berkasih sayang. Berkasih sayang bukan lah dalam bentuk yang dangkal,cetek  atau cangkat. Luas, dalam dan terhampar erti kash sayang itu.


Kasih sayang suami isteri,kasih sayang cucu nenek,kasih sayang ibu anak, kasih sayang abang adik dan kasih sayang sesama saudara se agama.


Bila di sebut saudara seagama, adakah tidak terjalin rasa dan kasih sayang jika berlaianan agama. Tetap hadir juga mungkin dalam bentuk hubungan kasih ayah mak anak, abang kakak adik. Ada ikatan persaudaraan kerana kekeluargaan, jiran tetangga dan kemanusiaan.


Apa yang ingin ditulis ialah hubungan kasih sayang yang bukan dari ikatan kekeluargaan. Ada ujud kasih sayang hanya semata-mata kemanusiaan dan agama. Jika bukan kerana agama dan kemanusiaan,sudah lama kasih sayang itu dicampak buang dek kerana banyaknya ujian dan dugaan.


Tidak mungkin mahu diteruskan sebuah hubungan persaudaraan itu jika bukan kasih sayang kerana Allah semata-mata. Bukan kerana harta, bukan kerana nafsu, bukan kerana kuasa dan bukan kerana rupa. Apa lagi yang boleh mengikat kasih sayang manusia selain di atas ini?



Tetapi kerana ia adalah anugerah, iradat dan kudrat Allah kasih sayang itu ujud dan bertahan. Bertahan selagi mana di dalam redha dan rahmat Allah. sekiranya qudrat dan iradat Allah ia terputus, pasti ada jalannya Allah menutup hati-hati itu dari berkasih sayang.


Maka dalam berhadapan keadaan ini hanya sabar sahaja jalannya. Sabar menghadapi karenahnya, sabar dalam mendidiknya.


Mendidik?


Apa yang dapat dididik,jika dia memang telah terdidik.


Nak didik?


Bercakap terlebih pun tak boleh apatah lagi nak mendidik.


Nanti dikatakan cakap pandai, tunjuk pandai.


Makanya...


Berdiam sahaja agar hubungan itu terus berjalan.


Sampai bila?



Wallahu'Alam Bissawob.


Sebenarnya hati ini amat ingin untuk berbual, berbicara, bercerita bukan yang largha...


Namun adakah peluang itu terbuka dan dibuka?



Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Embun ku Di hujung Daun




Embunku dihujung daun,
tergantung indah,
bak mutiara,
tak ada karung,
tak ada sarung,
tak ada tali,
Namun jatuh tidak sekali.


embun ku dihujung daun,
bersinar bak permata,
licin berkilauan,
tak ada punca,
namun bercahaya,
 terbitnya hanya didinihari sahaja.



Embunku,
aku tunggu kehadiranmu,
di setiap waktu dinihari,
kerana aku sayang padamu.










Catatan puisi,
Kembara Samudera Qaseh.

Tak ada tali tetapi ada ikatan


Ingin ku sorot kembali sebuah pertemuan yang terjadi. Bagaimana untuk kesungguhan ku memikul suatu amanah.


31 Januari 2010, aku tidak lupa tarikh ini. Kerana pada tarikh ini hanyalah 4 hari sebelum aku menjalani pembedahan penggantian tulang sendi pada kaki kiri.


Dengan susah dan payah, kerana di rumah sendiri pun cuma 1 tingkat atas, setelah pembedahan tulang sendi kaki kanan pada Mei 2008, terlalu jarang aku mendaki tangga. Aku amat menjaga had dan limit keupayaan kaki ini melangkah. Sendi besi yang diganti ke dalam tulang ini bukannya boleh dilasakkan.


Keupayaan untuk bergerak sangat terhad. Aku jaga had penggunaannya agar dapat bertahan lama. Sendi besi mekanikal ini ibarat absober sebuah kereta, ada ketikanya haus dan perlu ditukar semula. Berlainan dengan sendi kita semula jadi.


Kerosakkan tulang 'Severe deparmental Knee Osteoartritis ' tahap 4 amat menakutkan. Rawatannya hanya pembedahan dengan menggantikan tulang dengan implant stainless steel. Sangat limited dan perlu berhati-hati menggunakan dalam menjalani kehidupan harian. Aktiviti pergerakkan perlu dikawal.


Namun pada hari itu, kerana telah lahir rasa kasih yang mula terbentuk di hati walaupun baru 7 hari mengenali, aku gagah daki tangga untuk pergi kesebuah rumah di tingkat 5. Walaupun teragak-agak, desakan hati yang kuat, aku berjaya untuk sampai ke atas dengan dipimpin oleh anakku Nazihah. Setiap kali aku melangkah, kalimah Maha Suci Allah tidak sunyi dari mulutku. Nazihah pun tidak duga yang aku berjaya untuk sampai ke atas.


Padahal ketika itu aku telah dicutikan sejak Julai 2009 oleh doktor  pakar orthopedik  dari melakukan banyak pergerakkan kaki kerana keadaan kerosakkan tulang kaki kiri sudah terlalu parah dam kesakitan yang dirasai hanya Allah yang mengetahui. Sebelum daki tangga tu, aku telah bersedia menelan tablet "pain killer" . Selesai urusan hari itu,walaupun hasilnya tidak berjaya, semuanya telah tertulis di dalam Loh Mahfuz.


Baliknya aku hari itu,di dalam kereta lagi sudah berdenyut-denyut kesakitan. Sakit yang tiada tara. Sebab itu, 2 hari selepas itu, aku dimasukkan secara emergency ke wad dan 2 hari selepasnya aku jalani pembedahan.


Begitulah dalam apa jua pun, hanya kerana kasih sayang, aku sanggup lakukan apa sahaja buat embun ku walaupun pada tarikh itu aku baru kenali dia selama 7 hari. Itulah kasih dan sayang yang dicampakkan oleh Allah di hati ini. Bukan aku yang pinta atau aku yang cari. kasih sayang ini bukan aku kutip di tepi jalan atau tepi lombong. Sebab itu aku jaga kasih ini, walaupun sebenarnya aku mahu menjaga orangnya juga  agar sentiasa di sisi aku.


Mana mungkin, dia juga punya mulut, punya kaki dan punya jari untuk melakukan apa sahaja menurut kata hatinya. Walaupun tidak ada tali yang mengikat antara aku dengan dia, tetapi ikatan tidak maujud ini kukuh disanubariku dan dihatinya. Dan kerana itu dia terasa seperti terjerat di dalam jala dan tidak berupaya bebas, padahal tidak ada jala atau pukat maujud yang membelenggu dia.  Semuanya adalah didalam qudrat dan iradat Allah.


Ibarat bumi, tak ada tiang, tak ada tali tapi terapung indah sekali di alam semester ini. Bagaimana bulan boleh setia mengelilingi bumi? Bumi setia beredar di dalam orbitnya?


Apakah jawapannya?


Tarikan graviti!


Apakah antara hatiku dengan hati embunku ada juga tarikan graviti?


Wallahu'Alam Bissawob.



Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 13 Ogos 2010

Yang Tidak Bernilai

Masih segar dalam ingatan dan akan aku awet ia terus segar sehingga berpisah roh dan jasadku.


Dua minggu berturut-turut, Allah mempermudahkan niat dan jalan bagiku. Aku sendiri tidak menduga, berlakunya pertemuan itu. Sebab itu aku amat yakin sekiranya sesuatu perkara itu dengan qudrat dan iradat Allah terjadi maka tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Dan jika sesuatu perkara itu terlalu ingin terjadi tetapi tidak dalam qudrat dan iradat Allah maka pasti tidak terjadi.



Maka begitulah juga sebuah persaudaraan itu. Bukan kehendak dan perencanaanku ianya terjalin atau terputus. Semua adalah atas qudrat dan iradat Allah. Dua dari sifat 20 Allah ini sangat utuh tertanam di dalam diriku. Aku amat yakin dan beriman dengannya.


Rumah itu dibina khas untuk seseorang. Kini ia kosong, sunyi dan sepi. Menjadi tempat untuk aku merenung segala nostalgia lalu. Kelukaan dan kepedihan. Terlalu pantas kejadian ini tanpa signal dan amaran. Drastik!


"... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah: 216)


Bila membaca ayat ini,maka aku kembali berserah kepada Maha Pencipta. Aku tidak mengetahui apa yang hikmatnya disebalik ini semua. Begitu pantas Allah memperlihatkan kekuasaannya.


Kenangan...

Menaiki tren dengan susah payah, menunggu giliran membeli tiket,menaiki jejantas untuk keseberang hampir membuat aku membatalkan sahaja niat di hati. Tetapi gerakkan hati yang dipermudahkan Allah, dan aku mengharapkan redhanya perjalanan itu. Tangga tu tinggi, mencunggap aku naik, kesempitan nafas. Setiap kali aku melangkah naik tangga ku ucap Maha Suci Allah,dan berhenti. Imran yang dah di atas berkata "ummi , cepatlah". Kadang Imran tunggu untuk pimpin. Sampai di atas, menapak perlahan keseberang rel dan turun tangga semula. Sekalilagi nafasku berada di hujung nyawa. Perlahan dan payah.


Apabila tren sampai, penuh penumpangnya, dan aku berdiri. Mana mungkin ada yang mahu memberikan ruang duduk kepada aku kalau kelihatannya sihat dan bugar. Mana mereka tahu yang kakiku ini penyokongnya besi yang ada limitnya untuk berdiri. Lama berdiri kaki ini akan kaku. Mana mereka tahu. Menitis air mata ini, tetapi kerana sebuah "persaudaraan" maka aku tabahkan hati. "Persaudaraan" ini perlu aku pulihkan walaupun dengan susah payah. Perjalanan yang tiada dan tidak pernah ada dalam perancangan ku. Semua ini adalah ilham dan kehendak Allah.


Bila tiba di destinasinya, sekali lagi air mata ku mengalir , 1.menangis kesyukuran kerana aku dapat tiba dengan selamat, (pasti sebentar lagi aku dapat bertemu dengan embunku) 2. melihat jalan keluar ke jalan raya berada di seberang rel. Ini bermakna, sekali lagi aku terpaksa mendaki dan turun tangga untuk ke seberang sana. Aku gagahkan diri, setapak, selangkah menaiki tangga. Sambil berpaut pada besi pemegang yang disediakan khas untuk orang-orang seperti aku yang memerlukannya.


Tiba di seberang,sebuah kerusi aku tuju, dan tanpa banyak ucap,aku duduk di situ. Kaki ini terasa kaku dan berat. Sudah terlalu berat untuk aku teruskan melangkah. Dan memang aku tidak akan melangkah lagi walaupun disuruh untuk meninggalkan kerusi itu. Ibarat kata jika ada hariamu di depan pun, aku tidak akan bangun lagi, aku rela sahaja di baham harimau dari melangkah pergi.


30 minit...menunggu untuk dijemput sedangkan perkhabaran lebih awal lagi. Tidak apa, perlu sabar dan menunggu apakah yang Allah akan tunjukkan pada ku.


Setelah tiba, dibawa kesebuah kedai dan minum air untuk menghilangkan kehausan kerana kelelahan mendaki tangga,menuruni tangga dan berdiri di dalam perjalanan. Hanya yang tidak aku duga, aku ditinggalkan di situ selama 2 jam bersama Imran. Mana aku duga, sejauh itu, sepayah itu perjalanannya (bagi aku payah sebab aku kurang upaya)hanya untuk ditinggalkan berdua dengan Imran, anakku yang setiap masa bersamaku.


Adakah kehadiranku ini menyusahkan? Tidak dihargai? Tidak diraikan sebagai tetamu? Ketika ini aku menangis mengadu aku kepada Allah. "Ya Allah , memang sukar untuk aku sambung persaudaraan ini." Sejauh ini aku datang, tetapi masih ditinggalkan. Kerja? Apakah kerja itu tidak boleh tangguh? Selalu sangatkah aku boleh datang ke situ? Semahunya aku menangis di kedai orang. Biarlah...


Bila datang semula minta download satu video, ambil masa hampir 2 jam lagi. Aku sudah mahu bertekad balik sahaja. Jika bukan menjaga hati, memang aku balik sebelum itu, naik teksi menuju ke stesyen tren. Tetapi kerana rasa kasih, kerana rasa sayang yang mensyukuri pemberian Allah, aku sabarkan diri. Aku bersabar dengan embunku...


Aku selesaikan download video itu hingga 2 jam 100% berjaya kerana aku tak mahu menghampakan harapan orang. Dia teruja nak tengok, kalau hanya separuh di downloadkan, tidak sempurna jadinya. Mesti rasa tidak puas hati, maka sekali lagi aku sabar dan tenang menanti. Biarlah menjadi kenangan dan buah tangan untuk dia, bahawa mak ini tidak akan ambik mudah terhadap menjaga hati seseorang, tambahan dia adalah embunku.


Selesai, makan, dan balik. Tak banyak perkara yang dapat dibualkan. Hanya 30 minit sahaja masa yang diperuntukkan untuk makan di situ. Sekadara masa menunggu makanan disediakan dan makan. Habis makanan terus beredar, tak ada borak-borak santai.


Sampai di stesyen, beli tiket dan tunggu tren menuju ke Bandar Tasik Selatan. MasyaAllah ramainya penumpang. Sekali lagi aku terpaksa berdiri. Imran bertanya,"ummi,boleh ke ummi berdiri lagi?" "Ummi tidak ada pilihan". Melihatkan ramainya anak-anak gadis duduk sambil mendengar sesuatu ditelinga. Jelas kelihatan sebab ramai tidak bertudung.


Tiba di stesyen Bandar Tasik Selatan, menangis sekali lagi,melihat pertukaran tren menuju ke Ampang berada nun diseberang sana. Tadi aku naik KTM sekarang bertukar ke LRT. Wajib daki tangga, tinggi menjunam ke atas, sabar, setapak,selangkah aku naik. Setitis-setitis air mata aku jatuh.


Begini rupanya jalanku untuk aku jalin sebuah persaudaraan. Risiko yang perlu aku ambil. Pertukaran tren. Beli tiket semula,kena beratur. Lepas itu perlu daki sekali lagi tangga untuk ke p Tlatform LRT menuju ke Ampang. Sampai di Chow Sia Lin perlu turun, pertukaran tren antara menuju ke Sentul Timur dengan Ampang. Berjalan lagi.


Sampai di Cempaka, baru aku turun,tiba di destinasi akhir. Begitu juga , jalan keluar dari kawasan tren di seberang sana,perlu naik dan turun tangga lagi. Seperti nyawa ku separuh tiada hari itu kerana kerapnya naik dan turun tangga. Keupayan kaki ini telah melebihi limitnya. Sudah tidak berdaya untuk aku teruskan langkah sehingga aku dijemput pergi.


Begitulah susah dan payahnya sebuah perjalanan untuk aku cantum sebuah persaudaraan. Tetapi semalam, tanpa ada signal, ia dicantas semula oleh tangannya sendiri. Sebab itu aku kebingungan, dan menangis semula. Aku masih dalam awang-awangan, kenapa dan mengapa?


Mulai saat itu,aku kosongkan segalanya,tidak mahu aku pujuk diri ini lagi. Aku menangis semahunya. Sementelah aku memang tinggal sendirian di rumah, maka aku bebas untuk menangis tanpa sembunyi.


Rupanya begini mudah untuk diputuskan. Menyambungnya dengan susah payah bersama kesakitan dan airmataku, (kerana aku kurang upaya) tetapi usahaku   ini  tidak ada nilai dan harga rupanya di mata embunku. Embun yang aku sayangi,yang aku nanti kehadirannya setiap dinihari. Kini aku hanya memandang sahaja tanpa ingin memujuk diri yang hiba.  Biarlah , dia yang memilih begitu, dia yang tega hati untuk menghiris hati seseorang amat sayang padanya. Aku hanya mengharapkan dia bahagia bila dapat menghiris hati orang yang dia sayang juga.


Mudah dan amat mudah...



Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh.

Khamis, 12 Ogos 2010

Kiranya Mutiara Putus lagi Talinya

Telah lama laman ini tidak dibuka. Kiranya mutiara putus lagi dari talinya, jatuh berderai-derai ke bumi yang fana.


Masih lagi terpingga, terkesima,bingung dan ternganga. Menyoal diri di mana salah dan silapnya lagi kali ini.


Setelah senyuman aku perolehi, aku tidak  berqidam untuk menangis semula.  Maka itulah padahnya.


Sesungguhnya memang manusia itu mudah lupa. Lupa pada diri dan lupa pada peristiwa. Kiranya Allah hanya membuka ruang ceria itu seketika sahaja. Tanpa diduga,aku tersentap semula.


Seperti diragut nyawa ini. Seperti pelepah kelapa tua jadinya tangkai jantung ini. Dan aku pasrah dan berserah, tidak lagi mahu mengenang apa yang ada di depan. Aku cuma berharap yang peristiwa lalu tetap indah dalam kenangan.


"...Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri." (al-Zumar: 38)


Kali ini tidak mungkin lagi surut air mata ini dan tidak mahu lagi hati ini aku pujuk. Biarlah begini hingga berpisah roh dan jasad.




Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh