CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 15 Mei 2012

Untuk Sekian Kalinya


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Untuk sekian kalinya, aku dibuang lagi. Inilah takdir dalam perjalanan hidup. Apabila kita diperlukan, kita akan dipungut, apabila tidak memberi apa - apa manafaat, dilempar begitu saja.

Selama ini walaupun aku lebih banyak mendiamkan diri, bukan bermakna aku tidak ambil tahu. Aku menghindar dari bertanya khabar atau peduli akan apa yang dilalui dalam kehidupan seharian kerana aku bukan jenis suka mencampuri urusan kehidupan seseorang.

Dalam aku begitu pun, masih lagi aku ini dianggap dan disangka yang bukan-bukan dan diputuskan segala hubungan.

Aku fikirkan sudah berubah, sudah matang apabila segala keinginan agama telah dipenuhi. Rupanya aku tetap dilempar juga sesuka hati.

Apapun, aku amat bersyukur, segala ikrar dan janji telah aku tunaikan. Maha Suci Allah, amanah yang sebentar KAU  titipkan pada aku, telah aku laksanakan. Tanggungjawab seorang ibu kepada buah hatinya telah dipenuhi.

Ketika selesai terdengar lafaz sah oleh para saksi, air mata aku mengalir tanpa henti. Rasa syukur aku panjatkan kepada Allah kerana ikrar dan janji telah dapat aku tunaikan. Terus aku bersujud tanda betapa bersyukur dengan nikmat kurniaanNYA. Nikmat aku mampu melaksanakan tanggungjawab seorang ibu untuk menyempurnakan sebahagian agama anaknya.

Aku tunggu sehingga selesai segala urusan. Sebelumnya aku pakaikan sampin. Sama seperti seorang anak kecik, minta dipakaikan sampin ketika hari raya. Aku rasai peluang itu seketika di saat tidak aku duga. Aku pakai sarung tangan hitam agar terpelihara sentuhan auratku tanpa sengaja.

Ketika majlis beradap, aku berpeluang duduk bersebelahan. Masih aku mahu mengopekkan kulit udang. Aku masih merebut peluang untuk bersama-sama walaupun telah ada orang yang dikasihi disebelahnya.

Dalam ribut, petir berdentum dan kilat memancar, aku redah hujan yang lebat untuk pulang. Tidak ada pertanyaan, "mak balik dengan siapa? Tadi datang dengan saya.  Macamana mak nak balik dalam hujan lebat begini?" Begitu pun keadaannya, aku merasai satu kenikmatan yang tidak dapat digambarkan apabila janji dan ikrar dapat aku tunaikan.

Dia tidak tahu dan memang tidak lagi ambil tahu, bagaimana dalam keadaan ribut itu aku melaluinya. Susah atau sukar tidak lagi dipedulikan kerana dia telah mendapat sesuatu nikmat lain dari Tuhan.

Esoknya, aku masih lagi sudi untuk menyediakan kopi. Aku masih lagi sudi untuk buat apa saja kerana kasih aku tidak ada tandingannya.

Seminggu berlalu, aku pujuk mahramku untuk ke sana. Mahramku yang masih keletihan kerana baru melalui suatu perjalanan yang jauh, memahami keinginan seorang ibu. Keinginan seorang ibu yang masih mahu bersama anaknya untuk meraikan saat indah dalam hidupnya. Mungkin untuk kali terakhir.

Subuh lagi aku bangun, menyediakan apa yang patut untuk bermusafir. Seawal jam 7.00 pagi telah pun  memulakan perjalanan agar dapat tiba pada waktu yang ditetapkan. Buat pertama kali aku diizinkan masuk ke ruang syurganya. Ada ruang ceria dan bahagia. Aku bersyukur atas nikmat yang dilimpahkan oleh Allah Ta'ala. Masih lagi ada ruang anak mahu bermanja, minta dipakaikan sampin sekali lagi. Aku tunaikan permintaannya di depan mahramku.

Diraikan lagi sekali dalam majlis beradap. Tetap aku ingin bersama disaat sinar cahaya melimpah atasnya. masih sempat sebelum berpisah , aku bisikan suara hatiku secara langsung kepadanya. Jika selama ini melalui tulisan atau alat telekomunikasi, bisikan kali ini adalah secara nyata dan dia jelas mendengarnya, itulah kata hatiku kepadanya. Rasa kasih seorang ibu yang tidak ada belah baginya.


Dan aku pernah menyuarakan satu permintaan untuk dia tunaikan, janjinya sebaik selepas ijab dan kabul. Aku tunggu JANJI ITU  hingga hujung nyawaku.

Wahai insan mulia, segala kesalahan, kesilapan dan keegooan mu, telah aku ampunkan, telah aku maafkan. Moga tidak ada lagi sebarang hutang atau tuntutan di Mahsyar nanti antara kita, namun aku tetap berharap kita akan dikumpulkan bersama-sama di bawah naungan panji Nabi Muhammad S.A.W.  Kasih ini bukan semata-mata di dunia sahaja namun aku berharap membawa hingga ke akhirat.


Luahan nurani,
Kembara Samudera Qaseh