CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Memaparkan catatan dengan label sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sirah. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

Apabila Menyambut Kelahiran Anak

Nasihat dan peringatan dari jauh, tanda kamu sekeluarga tidak pernah dilupakan.





بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




azankan sebaik dilahirkan biar pun masih berdarah
Keriangan sebagai ibu bapa apatah lagi beragama Islam ketika menerima kelahiran anak patut diiringi dengan ucapan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa.


Islam sebagai agama yang menggariskan panduan hidup yang sempurna patut dijadikan pedoman kepada semua penganutnya.


Adab-adab menyambut kelahiran bayi seharusnya menjadi amalan kepada semua ibu bapa yang menerima kelahiran zuriat. Menurut Ustaz Abu Hasan Al Ash’ari Zakaria,  terdapat beberapa panduan yang patut dilakukan oleh ibu bapa sebaik anak yang dikandung selamat lahir ke dunia.


Sebelum itu, Ustaz Abu Hasan  menyuruh pasangan suami isteri dan keluarganya mengamalkan bacaan doa Nabi Yunus, Surah Al-Anbiaq ayat 87 supaya mudah bersalin.

Antara adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).


2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika cucu baginda, Hassan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.

Banyakkan berdoa untuk kesejahteraan bayi
Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub pula menyamakan seruan azan/iqamat seperti bacaan talqin. Kelahiran bayi bermaksud bayi berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu bayi menangis ketika baru lahir ke dunia.


3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.


4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.


5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut tidak perlu dibersihkan seperti dilakukan sesetengah masyarat yang membersihkan uri dengan garam dan asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang. Selain itu dia juga mengingatkan ibu bapa agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.


6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.


bayi sedang ditahnik
7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.


8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing,lembu,kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.


rambut dicukur habis
9. Mencukur rambut anak yang baharu lahir. Mencukur semua rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu.


10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi perempuan.







Tanda ingatan,
Kembara Samudera Qaseh

Rabu, 17 November 2010

Dakwah Nabi ke Taif

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Tempat Nabi berhenti bermunajat di dirikan sebuah masjid.
Ia diberi nama Masjid Kuu', bermaksud masjid siku. 
Ia mengambil sempena dengan keadaan Nabi berteleku 
dengan sikunya dalam keadaan luka-luka.

 Pada tahun ke 10 kenabian, iaitu 3 tahun sebelum hijrah, Nabi saw menghadapi satu tentangan yang luar biasa hebatnya. Kaum Quraish memulaukan baginda. Dalam keadaan yang penuh tekanan ini, Nabi bersama Zaid Harithah telah memilih bandar tinggi Taif untuk medan dakwahnya.


Sesampainya di Taif, Nabi bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Taif. Salah seorang dari mereka tidak mahu campur urusan dakwah ini. Dia mengatakan, "jika engkau pendusta, aku tidak mahu layan pembohongan ini, tetapi jika kamu benar-benar Nabi, aku tidak mahu dilaknat". Dua orang lagi berhujah dengan Nabi. Mereka yang memang dari awal menolak dakwah ini terus menghina-hina dan memperbodohkan Nabi yang mulia ini. Akhirnya mereka berdua menghalau Nabi. "Keluar kamu dari negeri kami ini".




Nabi dibaling batu

Mereka mengheret Nabi keluar dari Bustan as-Thaqif (taman Thaqif). Penduduk yang sejak awal berkumpul di sekeliling Nabi menolak-nolak Nabi. Anak-anak muda yang lebih agresif membaling nabi dengan batu. Batu-batu itu melukai kepala, badan dan kaki Baginda.



Saidina Zaid menjerit-jerit menahan batu yang dilemparkan kepada mereka. Nabi yang cedera meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua.


Setelah jauh, Nabi bersandar di satu batu, baginda memegang badan Zaid, bertanyakan khabar keadaan Zaid. Zaid yang juga cedera lebih membimbangkan keadaan Nabi.


Darah mengalir dari badan Nabi. Ketika itu Nabi mengangkat tangan dan berdoa mengadu keadaanya pada Allah. Saidina Zaid r.a menceritakan bahawa dia melihat Nabi dengan keadaan yang sangat sedih.


Pada ketika itu, datanglah Malaikat kepada Nabi seraya berkata:-


"Wahai Muhammad, mintalah pada tuhanmu keizinan untuk aku mengambil bukit-bukit di Taif bagi menghempap mereka".


Nabi mengangkatkan tangannya sekali lagi. Baginda berdoa, tapi bukan berdoa untuk kehancuran penduduk Taif tetapi kebaikan untuk mereka.


"Ya Allah, hidayahkanlah kaumku ini, sesungguhnya mereka tidak mengetahui".




Doa Nabi

Darah mengalir dari badan Nabi. Ketika itu Nabi mengangkat tangan dan berdoa mengadu keadaanya pada Allah.


"Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azab Mu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"



Ketika berada di tempat itu, seorang Nasrani melintasi mereka. Nasrani ini sangat simpati dengan keadaan Nabi. Dia lalu singgah, mengambilkan air dan bertanyakan khabar mereka berdua. Peluang ini diambil oleh Nabi untuk menerangkan risalah Islam. Akhirnya, orang Nasrani ini memeluk Islam. Dialah satu-satunya orang yang berjaya diIslamkan oleh Nabi ketika di Taif.


Islamnya Nasrani ini memberi inspirasi kepada Nabi untuk mengIslamkan bumi Taif. Perancangan mengIslamkan Taif dan Mekah disusun dan dirancang oleh Nabi.


Sejarah menyaksikan Nabi berjaya mengIslamkan kota Mekah. Bandar Taif terus menjadi medan dakwah seterusnya. Nabi telah mengutuskan seorang sahabat bernama Abdullah Ibn Abbas ke Taif. Beliau berusaha bersungguh-sungguh berdakwah dan mendidik masyarakat Taif. Akhirnya, bumi Taif berjaya di Islamkan oleh Abdullah bin Abbas. Usaha mengIslamkan bumi Taif berjaya dilaksanakan 12 tahun setelah peristiwa penghalauan Nabi dari bumi ini. Abdulllah bin Abbas terus duduk di sini hinggalah kewafatannya.



Sirah ilmu,
Kembara Samudera Qaseh

Rabu, 10 November 2010

Wajah Yang DiMuliakan 1

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات
Nama Syaidina Ali di bulan
Singkapan sejarah ini bukan menandakan aku seorang Syiah, tetapi aku suka dengan kisah sejarahnya. Syaidina Ali merupakan suami kepada Syaidina Fatimah, menantu Rasullulah dan juga sepupu Rasullulah. Baginda bersama-sama berjuang menegakkan Islam di bumi.




Nabi s.a.w. bersabda,”Aku bagaikan matahari dan Ali bagaikan bulan”. Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla ingin menunjukkan kecintaan kepada hamba-Nya melalui kebesaran-Nya yang Agung.


Retakan Pada Ka’abah.
Sebelum di simen
Terdapat satu retakan pada salah satu penjuru Ka’abah yakni yang terletak di Rukun al Yamani. Pada tahun 30 sebelum hijrah Rasul, Fatimah binti Asad, ibu Imam Ali sewaktu melakukan tawaf di Ka’abah, telah merasa akan melahirkan bayi yang dikandungnya. Didalam keadaan tersebut beliau tidak dapat mencari tempat yang terlindung dari pandangan orang untuk beliau melahirkan anaknya.


Selepas di simen
Pada waktu itu, salah satu penjuru Ka’abah telah merekah dan terbuka, lalu beliau masuk ke dalamnya dan melahirkan puteranya di dalam Ka’abah. Sehingga hari ini pada tanggal 13 Rejab setiap tahun, penjuru ini akan merekah semula walaupun sesudah itu pihak berkuasa mencuba untuk menampal kesan rekahan tadi. Juga diberitakan akan keluar suatu bau yang harum dari rekahan tersebut.




Semoga Kita Mendapat Syafaat daripada Baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.w dan juga sepupunya Amirul Mukminin Ali ibn Abi Thalib a.s. Insya Allah. Assamu alaika ya Amirul Mukminin Ali ibni Abi Thalib, Warahmatullahi Wabarakatuh. Allahuma solli alaa Muhammad wa aali Muhammad, Wa Ajjil Farojahum.

Penjuru Rukun Yamani


Biodata  Amirul Mukminin Ali ibni Abi Thalib K.W.

Nama: Ali ibni Abi Thalib
Tarikh Lahir: 13 Rejab 23 Tahun Sebelum Hijrahnya Rasul s.a.w.
Tempat Lahir: Di dalam Ka’abah
Nama Ayahnya: Abu Thalib bin Abdul Muthalib
Nama ibunya:Fatimah binti Asad
Julukan: Abul Hasan
Gelaran: Al-Murthada,Assadullah,Haydar,Amirul Mukminin,Abu Turab,Karamallahu Wajhah
Tarikh Wafat: 21 Ramadhan Tahun 40 Hijrah
Tempat Wafat: Najaf,Iraq
Umur Wafat: 63 Tahun
Nama Pembunuh: Ibnu Muljam L.A



Membuka hijab Sejarah,
Kembara Samudera Qaseh.

Wajah Yang DiMuliakan 2

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Kubur Amirul Mukminin Ali ibni Abi Thalib K.W (Karamallahu Wajhah)






Makam Imam Ali a.s di Najaf



Di dalam kitab Muntakhab al Tawarikh disebutkan: Al Hajjaj bin Yusuf al Tsaqafi mengali ribuan kuburan di sekitar Kufah. Ia mencari jasad Imam Ali a.s.

Imam Ali berwasiat kepada putranya agar ia dikuburkan pada malam hari, bukan siang hari, dan dalam keadaan yang sembunyi dan tidak terang terangan. Mereka menyembunyikan dan merahsiakan dari khayalak ramai. Hal ini berlangsung sehingga kekhalifahan Harun al Rasyid.

Pada.. suatu hari, Harun al Rasyid pergi berburu ke lembah Najaf di pinggiran Kufah. Di sana terdapat belukar dan sarang binatang.

Abdullah bin Hazim berkata, “Ketika kami berjalan menuju tepi belukar itu, kami melihat seekor rusa betina. Kemudian kami melepaskan burung helang dan anjing untuk memburunya. Segera binatang pemburu itu mengejarnya. Tetapi rusa itu lari ke sebuah bukit dan berlindung di situ. Burung helang dan anjing pun kembali. Melihat peristiwa itu, al Rasyid merasa hairan.


Kemudian, rusa betina itu turun dari bukit. Burung helang dan anjng segera mengejarnya. Maka rusa itu pun kembali lagi ke atas bukit. Anjing dan burung helang tadi itu kembali lagi. Hal itu berlangsung terus menerus sebanyak tiga kali.

Lalu Harun al Rasyid berkata, “Pergilah ke kampung yang terdekat. Siapa saja yang kau temui di sana, bawalah ia ke sini.”

Maka kami bertemu dengan seorang tua dari Bani Asad dan membawanya ke tempat itu. Kepada orang tua itu, Harun al Rasyid bertanya, “Bukit apa ini?”


Orang itu menjawab, “Jika anda memberikan keamanan kepadaku, aku akan memberitahukan kepada anda”.

Al Rasyid berkata, “Engkau berada dalam jaminan Allah. Aku tidak akan menyakiti dan mencelakakanmu.”


Kemudian orang tua itu berkata, “Aku pernah datang ke sini bersama ayahku. Di sini kami berziarah dan bersolat. Kemudian aku bertanya kepada ayahku tentang tempat ini. Ayahku menjawab, “Ketika aku berziarah ke tempat ini bersama Imam Ja’afar as Shodiq a.s, beliau berkata, “Ini adalah kuburan moyangku, Ali ibn Abi Thalib a.s. Tidak lama lagi Allah akan menampakkannya.”


Harun al Rasyid turun dari kudanya, lalu meminta diambilkan air. Kemudian ia berwudhu dan solat di atas bukit itu. Ia pun mulai menangis. Setelah itu, ia memerintahkan agar dibangunkan kubah di atas kuburan tersebut. Sejak hari itu, bangunan itu terus menerus direnovasi. Sungguh, hari itu merupakan hari terindah yang keindahannya tak dapat diungkapkan lagi”.




Makam Imam Ali a.s di Najaf







Singkapan Sejarah yang terhijab,
Kembara Samudera Qaseh.