CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Memaparkan catatan dengan label kasih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kasih. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Januari 2013

Apabila Menyambut Kelahiran Anak

Nasihat dan peringatan dari jauh, tanda kamu sekeluarga tidak pernah dilupakan.





بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




azankan sebaik dilahirkan biar pun masih berdarah
Keriangan sebagai ibu bapa apatah lagi beragama Islam ketika menerima kelahiran anak patut diiringi dengan ucapan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa.


Islam sebagai agama yang menggariskan panduan hidup yang sempurna patut dijadikan pedoman kepada semua penganutnya.


Adab-adab menyambut kelahiran bayi seharusnya menjadi amalan kepada semua ibu bapa yang menerima kelahiran zuriat. Menurut Ustaz Abu Hasan Al Ash’ari Zakaria,  terdapat beberapa panduan yang patut dilakukan oleh ibu bapa sebaik anak yang dikandung selamat lahir ke dunia.


Sebelum itu, Ustaz Abu Hasan  menyuruh pasangan suami isteri dan keluarganya mengamalkan bacaan doa Nabi Yunus, Surah Al-Anbiaq ayat 87 supaya mudah bersalin.

Antara adab-adab yang disunatkan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).


2. Mengikut hadis sahih daripada Abu Daud dan Tarmizi, sunat untuk diazankan di telinga bayi sebab ia dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika cucu baginda, Hassan lahir. Imam Ibnu Qayyium memberitahu azan dilakukan supaya kalimat seruan tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang didengar oleh bayi.

Banyakkan berdoa untuk kesejahteraan bayi
Sementara Sheikh Muhammad Ali Qutub pula menyamakan seruan azan/iqamat seperti bacaan talqin. Kelahiran bayi bermaksud bayi berpindah dari alam rahim ke alam dunia, seruan azan mengingatkan bayi tentang tanggungjawabnya di dunia. Sebab itu bayi menangis ketika baru lahir ke dunia.


3. Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.


4. Sunat memberi ucapan tahniah kepada ibu bapa yang baharu sahaja mendapat anak. Ia ada disebut dalam kitab Imam An-Nawawi. Tujuannya untuk menghulurkan rasa kegembiraan kepada seluruh ahli keluarga yang memperoleh cahaya mata baharu selain mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim di antara mereka. Disarankan mereka yang berkunjung melawat bayi turut menghulurkan buah tangan seperti hadiah, wang dan sebagainya kepada ibu bapa tersebut.


5. Tanam uri dengan segera kerana ia adalah benda kotor dan najis. Menurut Ustaz Abu Hasan, uri tersebut tidak perlu dibersihkan seperti dilakukan sesetengah masyarat yang membersihkan uri dengan garam dan asam gelugor. Sebaiknya bungkus terus dan segera ditanam. Elok ditanam di tanah yang keras dengan mencangkul dalam tanah untuk mengelakkan daripada dikorek dan dimakan binatang. Selain itu dia juga mengingatkan ibu bapa agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.


6. Sunat menamakan anak yang baharu lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak. Nabi menyuruh ibu bapa memberi nama anak pada hari ke-7 atau secepat yang boleh.


bayi sedang ditahnik
7. Sunat melakukkan tahnik atau belah mulut bayi baharu lahir. Tahnik ialah mengunyah buah kurma dan diletakkan sedikit rasanya di dalam mulut bayi. Tahnik bertujuan memohon kepada Allah SWT supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya daripada menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.


8. Sunat membuat aqiqah yang bermaksud penyembelihan binatang ternakan seperti kambing,lembu,kerbau atau unta dan lebih afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Hadis Abu Daud ada menyebut aqiqah dilakukan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT supaya mendekatkan anak kepada Allah. Daging sembelihan hendaklah disedekahkan kepada orang sekeliling supaya mereka tahu tentang kelahiran anak anda. Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak. Sunah Rasulullah menyuruh aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.


rambut dicukur habis
9. Mencukur rambut anak yang baharu lahir. Mencukur semua rambut bayi pada hari ke tujuh adalah sunat. Ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil sebagai manusia dan hamba di sisi Allah selain menggalakkan pertumbuhan rambut baharu yang lebih sihat. Selalunya majlis kenduri diadakan untuk menyambut kelahiran bayi. Sesiapa sahaja boleh menggunting rambut baik tetapi lebih baik jika dilakukan orang yang soleh dan keluarga terdekat. Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak tidak dibenarkan kerana amalan ini diambil daripada budaya Hindu.


10. Mengkhatankan anak. Hadis daripada Al-Baihaqi menyebut Rasulullah bukan hanya menyembelih kambing tetapi turut mengkhatankan bayi baharu lahir pada hari ketujuh. Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi perempuan.







Tanda ingatan,
Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 11 September 2012

Pengharapan Hanya KepadaNYA

 
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Indahnya kasih sayang
Melihat kebesaran ALLAh Ta’ala pada setiap ciptaan-Nya boleh menyingkap rahsia kelemahan dan kekerdilan diri di sisi Tuan Punya Dunia. Apabila seseorang itu berfikir akan kekerdilannya, hakikat penciptaan dirinya sebagai manusia yang ALLAh Ta’ala benarkan singgah sementara di dunia, maka secara semulajadinya akan timbul di benaknya untuk melihat saudara-saudara seakidah atau pun sedarah turut merasai perkara yang sama agar dapat sama-sama berpimpin tangan menuju-Nya.





Kasih sayang tidak untuk dijual beli tetapi dihargai. Apabila ia telah lekat dihati tidak ada kuasa yang mampu memadamkan melainkan dengan kehendak dan kekuasaan Allah jua.

Berbulan melalui percubaan, sedetik pun tidak mampu untuk menghakis apatah lagi memadam nama yang telah terukir dalam hati. Bahkan, wajah itu lebih kerap hadir ketika munajat didinihari.

Biarlah dibenci, aku rela untuk menanti kerana pergantunggan dan pengharapan aku hanya kepada Allah Ta'ala. Aku juga memohon hanya kepada Allah Ta'ala. Namun sekali sekala usaha dan ikhtiar menyapa melalui bingkisan maya perlu ada . Allah melihat usaha manusia bukan alasan.

Jika aku boleh bersabar menanti dan berharap bunga angsana aku kembali , 9 tahun aku berharap dan berdoa bukanlah masa yang singkat, tetapi aku tahu Allah tetap memandang kepada usaha.

Ini baru 3 bulan, aku akan tetap berharap dan menunggu sehingga nyawa dan jasad terpisah. Aku tetap menunggu selagi roh belum diangkat ke hadirat Allah Ta'ala.



“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAh) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAh…” – aali ‘Imran : 190

ALLAh berfirman lagi,

“..Perhatikan dan fikirkanlah tentang apa yang ada di langit dan bumi (daripada segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan ALLAh dan kekuasaan-Nya).” – Yunus : 101

Maka selagi alam ini aku mampu menghirup udaranya, aku mampu melihat matahari dan bulan, aku akan terus berharap dan menanti akan kehadirannya. Walaupun sebenarnya embunku sentiasa hidup dalam jiwa ragaku.

"Wahai Tuhan Yang Maha Agung, aku bermohon kepadaMU, Dibawah naugan panji Nabi Muhammad SAW di Mahsyar nanti, kumpulkanlah aku bersama-sama ibu bapaku, adik beradiku, suamiku, anak menantu dan embunku di dalam rahmatMU."


Catatan Kasih,
Kembara Samudera Qaseh

Isnin, 10 September 2012

Sebuah Sketsa Menjelang Pernikahan

 
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Tergerak jari jemari untuk menaip sesuatu di laman ini setelah nekad aku untuk menamatkan penulisan terakhir 'Untuk Sekian Kalinya'. Aku tidak mampu untuk melupakan walau sedetik embunku. Tiap dinihari embunku tetap kuhadirkan dalam munajatku.


Ramadhan yang berlalu, ketika musafir di rantauan, adalah waktu yang baik untuk fokus dalam berdoa. Dan tetap aku terus berdoa, moga Allah mengindahkan silaturahim antara aku dengan embunku. Kasih aku sebesar alam semesta yang tidak bersempadan.


Bagaimana mungkin untuk dilupakan, masih tergiang-giang suaranya pada suatu hari di telefon, 

"mak, saya nak kahwin"

"dengan siapa?"

"dengan orang la"

"bersungguh ke ni? tak mahu seperti yang lalu, bermusim-musim"

"dah jumpa, dah tengok, dia ajak kahwin"

"on ym, kita sembang sama-sama, mak tanya sendiri"

Maka dari perbualan di telefon beralih ke yahoo masengger secara conference.

"betul awak nak kahwin dengan anak saya"

"betul makcik, saya nak kahwin dengan anak makcik"

"awak dah tengok anak makcik?"

"dah"

"dah tahu dia kerja apa?"

"dah"

"betul-betul nak kahwin ni?"

"ya"


"mak dah tahu?"

"dah"

"bagi nombor telefon mak, saya nak berkenalan dengan mak awak dulu"

Selepas dari itu, esoknya mak berhubung melalui telefon , berbual-bual untuk mengenali dengan lebih dekat keluarga gadis itu.

Seminggu selepas itu, mak bertandang ke rumah gadis itu untuk lebih mesra. Dalam masa yang sama berbincang sedikit sebanyak mengenai perancangan masa depan anak mak dengan gadis itu.

Jelas gadis itu dan keluarganya bersungguh dan ikhlas menerima anak mak sebagai ahli keluarga. Ibu mana yang tidak gembira bila hajat anaknya ingin berkahwin hampir tercapai.


Hasil kerja tangan seorang ibu
Untuk majlis pertunangan, mak menyediakan cincin sebentuk, jubah putih , buku dan sebakul buah. Mak pergi ke Larkin Plaza bertemankan bibik Harti dan bibik Eka. Bersolat zohor di Masjid baru di Plaza Larkin. Selepas tu berjalan ke kedai hujung untuk membeli cincin. Mudah mak membelinya kerana tahu ukuran saiz cincin. Ketika itu harga emas sedang naik, RM 188 untuk 1 g. Nak buat macamana, mahal pun tetap kena beli cincin.


Pada hari pernikahan,  Mak pergi dengan 2 buah kereta pada 17 Mac 2012. Kawan ayah, Haji Saadon dan Isteri, Aqbar dan isteri serta bibik harti dan bibik Eka. Tak ramai yang boleh temankan dalam rombongan meminang dan  bertunang pada hari tu.

Sebenarnya pada hari yang sama, Bunga Angsana aku mengadakaan majlis walimah sambut menantu di Dewan Kolej Perdana. Aku teragak samada mahu pergi atau tidak kerana trjadi sedikit kekhilafan. Akhrnya aku tidak hadir majlis walimah sambut menantu Bunga Angsanaku. Padahal kasih sayang aku pada embun dan Bunga Angsana sama banyak, sama ruang. 2 insan yang amat aku sayang walaupun tidak lahir dari raahimku. Aku memang amat sayang kepada kedua-dua insan ini.


Di hari ini, ketetapan tarikh pernikahan diumumkan. Perancangan dibincangkan untuk majlis pernikahan.


Bersungguh mak menguruskan segala-gala hal berkaitan pernikahan yang berlandaskan syariat namun tidak meninggalkan adat. Tanpa ditemani oleh sesiapa mak pergi membeli barang-barang hadiah untuk pernikahan. Mak dapat keizinan dari ayah untuk uruskan pernikahan ini walaupun seorang diri. Sedikitpun tidak terasa kepenatan mencari barang-barang hadiah pernikahan untuk pengantin perempuan kerana hati mak sangat gembira anak mak dah nak bernikah. Padahal kaki dah sangat lenguh kerana banyak berdiri dan berjalan ke hulu hilir dalam Mydin.


14 April 2012 pun tiba. Subuh lagi mak dah bangun untuk menyediakan sarapan. Teringat mak, anak mak nak makan ikan goreng pelaling. Sehari sebelum tu mak ke Pasar mencari ikan segar pelaling. Mak takut lepas ni mak tak punya kesempatan lagi untuk menyediakan makanan kesukaan anak mak. Buat sambal belacan, budu untuk cecah ikan goreng pelaling. Berselera sekali makannya walaupun sebentar lagi akan berhadapan saat gementar.



Pagi-pagi selepas solat subuh, anak mak sorang saja yang bersarapan nasi putih dengan ikan goreng pelaling. Air teh seteko. Orang lain semuanya bersiap-siap berpakaian.


Hasil kerja tangan penuh kasih sayang
Selesai makan, baru anak mak berpakaian. Memakai baju kurung teluk belanga warna putih. Sampin songket tenun Terengganu. Dengan 7 dulang hadiah untuk diberikan kepada bakal isteri. Semua hadiah-hadiah dalam dulang hantaran itu mak yang gubah dan sediakan walaupun ringkas. Masuk dalam kotak dan ikat riben dan dihiasi dengan kuntuman bunga mawar putih.


Dari rumah mak ada  10 buah kereta yang berpenumpang paling kurang 4 orang dalam sebuah mengiringi anak mak ke Masjid Jamek Pasir Gudang. Kawan-kawan anak mak dari Bangi pulak seramai 18 orang. Jumlah peserta dalam rombongan mengiringi majlis pernikahan anak mak ialah hampir 60 orang. Ramai sungguh yang ingin turut serta meraikan Majlis bersejarah anak mak ini.


Mak naik kereta anak mak dengan Imran. Macam naik formula 1 di litar Pasir Gudang. Sungguh laju memecut di lebuh raya Pasir Gudang -Johor Bahru sehingga tersasar ke pelabuhan. Mak banyak pejam mata dari celik kerana ngeri dan cemas duduk dalam kereta yang dipandu laju cilok mencilok antara kereta. Tak mungkin mak dapat lupakan waktu begitu dalam hidup mak.

Akhirnya tiba juga kami di Masjid Jamek Pasir Gudang. Kawan-kawan anak mak dari Bangi pun baru tiba. Selagi anak mak tak nampak kawannya, gelabah tak tentu hala. Sebelum tu kat rumah tak ada pun gelabah gitu. Nampak rilex je. Rupanya, makin dekat saat nak bernikah, barulah gelabah semacam. Langsung mak tidak berjauhan dengan anak mak untuk memberikan sokongan dalaman.


Dah siap bersampin, anak mak ambik wudhuk. Masuk dalam masjid. Solat tahyatul masjid di lakukan sebelum mak bersimpuh menghadap wajah ke arah pak Imam (jurunikah). Rupanya hari tu ada 3 pasangan yang akan bernikah serentak.

Dalam hati mak tak putus-putus berharap agar pernikahan ini dipermudahkan dan mendapat rahmat dari Allah Ta'ala. Saat mak dengar perkataan sah, dari para saksi, air mata mak mengalir laju hingga mak  tersengguk-sengguk menahan sedu sedan. Terus mak lakukan sujud syukur kerana anak mak sudah selamat diijab kabulkan.


Bersambung...





Catatan Samudera Qaseh,
Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 15 Mei 2012

Untuk Sekian Kalinya


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Untuk sekian kalinya, aku dibuang lagi. Inilah takdir dalam perjalanan hidup. Apabila kita diperlukan, kita akan dipungut, apabila tidak memberi apa - apa manafaat, dilempar begitu saja.

Selama ini walaupun aku lebih banyak mendiamkan diri, bukan bermakna aku tidak ambil tahu. Aku menghindar dari bertanya khabar atau peduli akan apa yang dilalui dalam kehidupan seharian kerana aku bukan jenis suka mencampuri urusan kehidupan seseorang.

Dalam aku begitu pun, masih lagi aku ini dianggap dan disangka yang bukan-bukan dan diputuskan segala hubungan.

Aku fikirkan sudah berubah, sudah matang apabila segala keinginan agama telah dipenuhi. Rupanya aku tetap dilempar juga sesuka hati.

Apapun, aku amat bersyukur, segala ikrar dan janji telah aku tunaikan. Maha Suci Allah, amanah yang sebentar KAU  titipkan pada aku, telah aku laksanakan. Tanggungjawab seorang ibu kepada buah hatinya telah dipenuhi.

Ketika selesai terdengar lafaz sah oleh para saksi, air mata aku mengalir tanpa henti. Rasa syukur aku panjatkan kepada Allah kerana ikrar dan janji telah dapat aku tunaikan. Terus aku bersujud tanda betapa bersyukur dengan nikmat kurniaanNYA. Nikmat aku mampu melaksanakan tanggungjawab seorang ibu untuk menyempurnakan sebahagian agama anaknya.

Aku tunggu sehingga selesai segala urusan. Sebelumnya aku pakaikan sampin. Sama seperti seorang anak kecik, minta dipakaikan sampin ketika hari raya. Aku rasai peluang itu seketika di saat tidak aku duga. Aku pakai sarung tangan hitam agar terpelihara sentuhan auratku tanpa sengaja.

Ketika majlis beradap, aku berpeluang duduk bersebelahan. Masih aku mahu mengopekkan kulit udang. Aku masih merebut peluang untuk bersama-sama walaupun telah ada orang yang dikasihi disebelahnya.

Dalam ribut, petir berdentum dan kilat memancar, aku redah hujan yang lebat untuk pulang. Tidak ada pertanyaan, "mak balik dengan siapa? Tadi datang dengan saya.  Macamana mak nak balik dalam hujan lebat begini?" Begitu pun keadaannya, aku merasai satu kenikmatan yang tidak dapat digambarkan apabila janji dan ikrar dapat aku tunaikan.

Dia tidak tahu dan memang tidak lagi ambil tahu, bagaimana dalam keadaan ribut itu aku melaluinya. Susah atau sukar tidak lagi dipedulikan kerana dia telah mendapat sesuatu nikmat lain dari Tuhan.

Esoknya, aku masih lagi sudi untuk menyediakan kopi. Aku masih lagi sudi untuk buat apa saja kerana kasih aku tidak ada tandingannya.

Seminggu berlalu, aku pujuk mahramku untuk ke sana. Mahramku yang masih keletihan kerana baru melalui suatu perjalanan yang jauh, memahami keinginan seorang ibu. Keinginan seorang ibu yang masih mahu bersama anaknya untuk meraikan saat indah dalam hidupnya. Mungkin untuk kali terakhir.

Subuh lagi aku bangun, menyediakan apa yang patut untuk bermusafir. Seawal jam 7.00 pagi telah pun  memulakan perjalanan agar dapat tiba pada waktu yang ditetapkan. Buat pertama kali aku diizinkan masuk ke ruang syurganya. Ada ruang ceria dan bahagia. Aku bersyukur atas nikmat yang dilimpahkan oleh Allah Ta'ala. Masih lagi ada ruang anak mahu bermanja, minta dipakaikan sampin sekali lagi. Aku tunaikan permintaannya di depan mahramku.

Diraikan lagi sekali dalam majlis beradap. Tetap aku ingin bersama disaat sinar cahaya melimpah atasnya. masih sempat sebelum berpisah , aku bisikan suara hatiku secara langsung kepadanya. Jika selama ini melalui tulisan atau alat telekomunikasi, bisikan kali ini adalah secara nyata dan dia jelas mendengarnya, itulah kata hatiku kepadanya. Rasa kasih seorang ibu yang tidak ada belah baginya.


Dan aku pernah menyuarakan satu permintaan untuk dia tunaikan, janjinya sebaik selepas ijab dan kabul. Aku tunggu JANJI ITU  hingga hujung nyawaku.

Wahai insan mulia, segala kesalahan, kesilapan dan keegooan mu, telah aku ampunkan, telah aku maafkan. Moga tidak ada lagi sebarang hutang atau tuntutan di Mahsyar nanti antara kita, namun aku tetap berharap kita akan dikumpulkan bersama-sama di bawah naungan panji Nabi Muhammad S.A.W.  Kasih ini bukan semata-mata di dunia sahaja namun aku berharap membawa hingga ke akhirat.


Luahan nurani,
Kembara Samudera Qaseh

Sabtu, 28 April 2012

Janji

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

 Janji, adakah perlu ditunaikan?

Masa mengungkap janji amat mudah, tapi bila tiba masanya, amat payah untuk melaksanakan. Dan aku tidak sekali-kali akan menuntut janji itu. Aku takut jika janji yang aku tuntut, banyak yang terungkit. Oh... tidak sekali.

Kini aku hanya berharap agar Allah pelihara hatiku yang berada di dalam genggamanNYA agar memelihara ikhlas ku. Jangan Allah uji keikhlasan ku.

Perkara telah berlalu, biarlah berlalu kerana kasih sayang tu bukan untuk diukur atau ditukar ganti.Tidak ada timbangan atau sukatan boleh mengukur kasihsayang aku.

Aku bersyukur kerana aku telah buktikan kasih sayangku sebelum aku mati.

Memang itu ikrar aku selama ni didalam diri aku. Tidak akan aku meninggalkan embunku berseorangan ketika aku pergi menghadap ilahi.

 Hmm... tak mampu untuk meneruskan bait-bait ini kerana perut dah sakit...bisa dan pedih.

Aku yang sayang, 
Kembara Samudera Qaseh

Khamis, 26 April 2012

Telah Berlalu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Segalanya aku telah lepaskan dengan lapang dada. Tidak ada lagi rasa ralat atau terkilan lagi selepas ini jika aku pergi menghadap ilahi.

Aku redha dengan segala takdir yang telah Allah tetapkan buat aku. Dan jika dulu, aku banyak menjaga hati, kini aku dapat laksanakan segala tanggungjawab tanpa perlu mengambil kira hati siapa pun lagi.

Segala apa yang Allah anugerahkan aku terima dengan penuh kasih sayang.Aku mahu apa yang telah aku lakukan dalam pandangan Allah sahaja. Tidak sekali aku ungkit atau mengimbas semula.

Walaupun kisah lalu ada pelajaran, tapi aku tidak kesal kerana aku lakukan hanya kerana perkara itu Allah redha. Aku akan terus berbuat sebanyak-banyak kebaikkan dan kebajikan selagi nyawa dan jasad belum berpisah.

Moga Allah memberikan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam perjalanan meraih iman dan taqwa.

 Aku yang sayang,
Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 24 Januari 2012

Anugerah Yang Disyukuri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Tarikh 23 Januari, tetap berada di dalam lipatan hati. Mesej pertama menyapa di Halaqahnet. Selepas mesej pertama disusuli mesej kedua , ketiga , keempat dan seterusnya.


Dari mesej pertama dan seterusnya di hari pertama 23 Januari aku mengenali, sudah dapat ku kesan bagaimana hatinya. Berjiwa besar tetapi lembut dan mudah basah. Mudah merajuk dan terpujuk.


Hari-hari berikutnya, aku mendengar suaranya, suara yang lunak untuk didengar oleh seorang  emak. Hanya dia saja yang memanggil aku mak. Panggilan ' mak'  itu amat  melunakkan hati ku. Sehinggalah kepada pertemuan pertama yang mencatatkan sejarah. Dalam keadaan susah payah, dengan tongkat sebatang, dengan dipimpin oleh gadisku, aku korbankan apa saja untuk aku penuhi impian nya. Namun manusia hanya bisa merancang, ketetapan yang terjadi adalah milik Allah. Dan 2 hari selepas itu, aku terus dimasukkan ke wad dan terlantar.


Dari pertemuan itu, telah tekad, dia ini anak yang telah tersurat untuk aku kasihi dan sayangi sampai hujung nyawaku. InsyaAllah aku korbankan apa saja untuk dia. Aku lakukan setulus hati apa juga untuk dia kerana qudrat dan iradat Allah mengurniakan rasa kasih dan sayang kepadanya di dalam hati ini.


Disusuli pertemuan kedua, dia yang tulus dan rela mengorbankan masa, tenaga dan apa saja untuk aku yang terlantar tidak berupaya melakukan apa jua. Disinilah kenangan yang tidak mungkin aku lupakan sampai hujung nyawa. Dia yang rela mencemarkan apa saja yang tidak pernah dia lakukan kepada sesiapa, tetapi dengan mak ini, dia buat juga. Kerana apa? Sudah pasti kerana dalam hatinya ada kasih dan sayang. Dari mana datangnya sayang itu, jika bukan Allah yang menghendakinya. Bagaimana mudah untuk dia sayangi seorang perempuan tua baru 3 minggu dikenali? Inilah yang dikatakan ANUGERAH.


Tetapi pengalaman-pengalaman yang dilalui bersama telah menjadikan hatinya kering dan kontang. Takdir menetapkannya begitu. Ujian dan dugaan yang tidak pernah berhenti dari bertandang dan pergi.


Kesan yang ditinggalkan amat menyakitkan dan memedihkan. Bukan aku yang menyebabkan tetapi kerana aku yang memulakan disetiap ujian itu datang.


Begitulah ketetapan yang telah tersurat antara aku dan embunku. Embun yang tidak pernah sedetik aku lupakan. Embun yang sentiasa aku sebut dan panggil dinihari.


Embun yang amat suka makan daging kambing. Suka makan ikan. Sebab itu dalam peti dingin beku sentiasa ada daging kambing segar. Aku sentiasa simpan daging kambing supaya bila-bila embun aku sudi datang, mudah untuk aku sediakan hidangan yang digemarinya.


Aku tidak pernah lupa apa yang dia suka, apa yang dia buat. Walaupun kini dia kata mahu hidup dalam dunia kecilnya, dan aku menghormati kehendaknya, namun dalam banyak perkara aku tetap rindu padanya.


Saban hari aku memanggil dia, menyebut namanya, menitip bisikan rindu melalui angin lalu. Sampai bila? Selagi roh dan jasad masih bersatu dan bernyawa.


Biarlah aku dilupakan , disisih dari hidupnya, namun kerana kasih sayang itu adalah anugerah dari Allah yang dicampak di dalam hati ini, maka aku syukuri dan aku redha dengan apa yang dia lakukan ini.


Aku menangis saban hari setiap kali wajahnya melintas dalam ingatan. Bila lihat tshirt hitam, bila masak ikan kembung, buat air asam, mesti kenangan lalu akan mengimbas dalam fikiran.


Sepanjang 2 tahun ini, banyak kenangan dilalui, sudah pasti kenangan-kenangan yang sayu dan pilu.


Dan aku yakin, embunku juga sebenar sayang dan rindu pada aku. Jika tidak, tak mungkin aku tetap begini, merasa dia sentiasa ada walaupun jauh di mata.


Catatan Rindu,
Kembara Samudera Qaseh

Rabu, 28 Disember 2011

Antara 2 Rasa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Antara 2 rasa,sayu dan terharu saling menghimpun. Sayu bila rindu bertandang untuk mendengar khabar berita embunku. Terharu apabila masih diizinkan melawat bandar impian walaupun sekadar di alam maya.

Kalaulah engkau tahu wahai embun, betapa payahnya untuk mengawal hati ini dari hanyut dalam duka yang dalam.

Tidak mengapa, ada hikmah yang tersembunyi kenapa Allah takdirkan ini terjadi. Untuk menguji sejauh mana kasih dan sedalam mana sayang yang terpahat dijiwa ini kepada embunnya.

Kalam hikmah yang aku simpan untuk direnung maksud tersirat:

"sungguh pelik manusia yg resah dgn masalahnya,tetapi dgn mendengar pembohongan,mereka menjadi tenang."





Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 27 Disember 2011

Jika Engkau Tahu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Jika embun ku tahu, betapa aku ini sentiasa mengingatinya, betapa payah untuk membuang dia dari ingatan ini, tidak akan tega dia melakukan begini.








Ikan seluang jauh melaut,
Sampai muara hanyut tenggelam,
Kasih dan luka selalu berparut,
Namun subur tetap tersiram.


Anak raja pulang ke Goa,
Singgah di Ruyung melihat tempua,
Apa daya selain berdoa,
Moga suatu masa bertemu jua.


Hati-hati memarut kelapa,
Jangan sampai terparut jari,
Walau tiada khabar berita,
Kasihku meranum di sanubari.



Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 23 Disember 2011

Kembara Samudera Qaseh

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kasih itu memang tiada pernah surut. Bukan seperti air laut yang ada pasang surut atau seperti iklim yang bermusim-musim.

Kasih itu seperti udara , seperti oksigen yang sentiasa ada. Jika oksigen tak ada, maka telah terpisahlah jasad dan roh.

Saban hari aku melawat, seperti kata orang tua-tua , tak nampak orangnya, nampak bumbung rumah pun jadilah. begitulah yang aku lakukan. Walaupun hanya dalam bandar impian.

Biarlah kasih itu tersemat jauh di sanubari aku sahaja, asalkan aku bukan lagi jadi orang yang menganggu ketenteraman hati insan yang aku sayangi. Aku bukan sebahagian dari hidupnya tapi dia menjadi penghuni separuh ruang dalam hati aku.


Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama dia dan dipeliharaan iman dan diri walau dimana berada.



Kembara Samudera Qaseh

Khamis, 22 Disember 2011

Rocío, Te Amo


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Mak tak pernah jemu untuk berdoa mohon Allah sampaikan bisikan hati ini ke dalam hati mu, wahai anak. Moga suatu saat kau akan kembali semula ke dalam pangkuan mak ini.

Mak yang sentiasa rindu dan kasih kepadamu. Kasih mak bukan setakat di bibir sahaja, tetapi jauh di sanubari. Kasih mak bukan igauan buruk untuk mu tetapi kerana kehendak Allah.

Mak mengasihi mu kerana qudrat dan iradat Allah yang begitu.



Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 16 Disember 2011

Sedetik Kenangan Seindah Haruman


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Embun, bagaimana kamu ya, bagaimana khabarmu, bagaimana keadaanmu?

Semoga Allah memelihara belahan jiwaku ini di dalam kasih sayangNYA Yang Maha Agung.

Hiduplah engkau dalam dunia kecilmu, semoga suatu hari nanti ia akan ada penghujungnya.

Setiap kenangan itu menjadi haruman buatku untuk dikenang. Inilah takdir yang telah Allah suratkan buat aku, mengasihi hambaNYA tanpa syarat.





Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 13 Disember 2011

Bicara Kasih 10

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات




Jika kasih telah subur, mana mungkin untuk dikuburkan tanpa nisan. Jauh mana pun kaki melangkah, bersembunyi di dalam keranda mana pun, hati tetap mengingati dan mengungkap bicara sendirian kerana ia tahu Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.


Ya Allah jika kasih ini tulus kerana MU, maka pelihara embunku walaupun di mana dia berada. Selamat sejahterakan dia di dalam rahmat MU.Pelihara imannya agar dapat kami berkumpul bersama-sama para nabi, para rasul, orang yang soleh dan orang-orang yang benar.




Kembara Samudera Qaseh

Ahad, 11 Disember 2011

Di Mana Hujungnya?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Apa yang lebih duka, menangis di dalam hati lebih sakit, kerana ia ditahan daripada dizahirkan. Tanggungannya lebih pahit kerana tidak mampu diluahkan.

Saban waktu, seperti melihat embun di depan mata, makin cuba dijauhkan, makin dekat dan melekat dijiwa.

Kenapa mudah benar dimakam kasih sayang itu? Dipusara tanpa nisan?

Dari dulu-dulu, (sejak awal pertemuan)  memang tidak mampu aku menghadapi keadaan begini. Walaupun ada juga ketika aku tidak bertanya khabar, tapi aku tetap menjenguk secara diam. Aku tetap ambik tahu dalam senyap.

Kini, aku telah   dia pusarakan tanpa nisan, itu yang sangat sakit, pedih dan terluka. Hanya di sini sahaja tempat untuk aku meluahkan segala yang tersirat dalam hati. Di sini saja, aku boleh melampiaskan kegundahan hati aku tanpa perlu bicara.

Aku perlu meluahkan apa yang terbenam di hati melalui jari-jari di sini kerana ia telah karam dalam banjir airmata.



Kembara Samudera Qaseh

Mana Cahaya, Mana Warna?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Rupanya aku sudah dihumban ke dalam pusara. Jiwa ragaku tanpa jasad telah dimakamkan bersama air mata.


Hilang segala warna dan cahaya. Yang ada cuma kata-kata yang bergema dalam sanubari, diminda merayu kepada Allah mohon dikasihani agar tali kasih yang terhijab itu tidak pudar apatah lagi putus.


Maha Suci Engkau Ya Allah, Yang Memiliki Segala-galanya, Engkau yang merencana perkara ini terjadi, maka jadikan aku ini hambaMU yang redha dengan setiap apa yang berlaku.


Sampaikan Ya Allah , segala bisikan kasih dalam hatiku ini kepada orang yang memenuhi jiwa ragaku dengan kasih sayangMU.Biarpun telah dimakamkan, kasih ini tidak malap dan pudar.





Kembara Samudera Qaseh

Bicara Kasih 9


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Apakah semudah itu untuk melerai simpulan kasih?

Apakah bahagia dihati bila simpulan yang telah terbuhul cuba direntap dan diputuskan?

Kasih sayang ini bukan tali yang wujud. Kasih sayang ini adalah ikatan rohani yang terhijab oleh mata tapi dirasai dijiwa dan sanubari.

Kasih sayang ini bukan dibuat-buat atau diadakan sendiri oleh manusia.

Merentap dengan paksa hanya akan merobek daging-daging pejal menjadi luka dan berdarah, dan apabila berdarah, darah itu akan terus mengalir tanpa henti hingga nyawa berpisah dari jasad.

Mat : lpas ni takkan jumpa lg
Mat : takkan sama sekali
Mat : dimana2
Mat : insyaAllah

Sanggupkah begitu? Membiarkan jasad seperti daun kering dan berguguran? Dan akhirnya jasad terdampar lesu sedangkan kasih tetap segar dan mekar?



Kembara Samudera Qaseh

Isnin, 28 Februari 2011

Bicara Kasih 8

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Walaupun kita akan berpisah,
Kerana masa cukup bilangan,
ku harap engkau tidak gelisah,
dan tidak merasa kehilangan.


lepaslah daku pergi melangkah,
mohon daku doa restumu,
maaf kan daku mana yang salah,
dilain masa bertemu.


selamat tinggal teman dahulu,
juga handai serta sahabat,
semoga rakan damai selalu
luka ku bawa tarohan.


biarlah segala kegelisahan,
bersama ratap tangis semua,
menambah indahnya perpisahan,
dan mesranya masa bersua.


Andai terdengar hamba tak pulang,
hilang lenyap tidak kembali,
jenguk pusara taburkan kembang
walaupun setahun hanya sekali.


Embun mak, suatu saat, jika tiada lagi coretan di sini, ketahuilah bahawa mak telah pergi jauh.


Mungkin dalam sepi begini memberi ruang untuk embun mak membuat persediaan seperti mana mak juga membuat persediaan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.


Cuma mak berharap dihujung perjalanan,kita tetap dapat bersatu di bawah satu payung naungan Nabi Muhammad SAW. Bersama duduk di atas dipan-dipan dan meminum air dari telaga khautsar.


Embun mak, jadilah anak soleh, pelihara iman dan akhlak walau dimana pun. Penuhi piala hati dengan rasa kasih sayang dan cinta kepada Allah dan RasulNYA.





Mak yang tetap sayang,
Kembara Samudera Qaseh.

Khamis, 24 Februari 2011

Bicara Kasih 7

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Maha Suci ENGKAU Ya Allah...

Berilah aku kekuatan untuk meneruskan sisa hidup yang berbaki entah berapa hari lagi. Ku mohon pada MU, sebelum aku KAU jemput, hadiahkan seorang wanita yang baik kepada anakku ini. Untuk dijadikan teman berbicara, teman bermesra dan teman untuk dia berkasih sayang.


Setiap kali dada ini sakit dicengkam kuat tangkai jantungnya dan dilepaskan semula agar reda sakitnya, setiap kali itu jugalah air mata hadir dipenjuru mata. Dan hadir juga wajah sayu anakku ini. Tak ada kata lain yang ku bisikkan , dan hanya telinga ku saja yang mendengarnya," Ya Allah, jangan KAU ambil nyawaku  ketika ini, sebelum KAU hadirkan seorang perempuan yang baik disisinya." Dan air mata ini akan terus mengalir laju menuruni pipi. Aku tak tega untuk pergi meninggalkan dia keseorangan.


Jika ada yang menawarkan emas segunung, mutiara selautan pun tidak akan aku tukar ganti dengan kasih dan sayang aku dengan iman yang ada di dalam hatinya. Sekebal mana pun kubu dan benteng untuk memisahkan kasih sayang aku kepadanya tidak berjaya membuang rasa kasih dari hati ini. Aku rela bermandi duka sambil bertasbih kepada MU memohon kesejahteraan untuk dirinya.



Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk aku berdiri di bumi yang nyata. Ambillah semuanya yang jadi temanku tapi jangan KAU biarkan aku terpisah dengannya. Bantulah aku untuk mentarbiyah dirinya menjadi anak soleh. Matlamat kasih sayangku padanya cuma satu sahaja, mendidik dia menjadi anak soleh. Anak yang mentaati MU dan RasulMU.


Maha Suci ALLAH...



Aku yang telah senja,
Kembara Samudera Qaseh.

Isnin, 21 Februari 2011

Bicara Kasih 6

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Musim berganti menggamit memori
Membuai seuntai kenangan


Bagaimana mungkin untuk diimbas semula kenangan lalu dan diulang semula agar harmoni itu bisa dilalui bersama.


Kita adalah seperti sebuah keluarga, ada gurau bicara , saling memberi dan menerima tetapi kini mak hanya mampu melihat ibarat berada bukan dalam alam dunia.


Mungkin dirasakan mak telah mati. Telah tak bernyawa, kerana mak kini ibarat seperti roh yang kembali melihat orang disayangi di dunia nyata.


Agaknya memang benar aku telah mati kerana tak ada apa fungsinya kini. Ya, aku tahu aku hanya boleh melihat tapi tak boleh menyentuh apatah lagi mendakapnya.


Embun, kalau dinihari pun kau sudah tak sudi untuk menitis di telapak tangan ini, bila lagi mungkin akan kau muncul? Adakah mak bukan siapa-siapa lagi?


Maha suci Engkau Ya Allah, aku serahkan segala urusan ku ini kepada MU. Tak ada tali yang mengikat kasih dan sayang ini, hanya keagungan MU yang aku harapkan. Simbahi putera ku ini dengan limpahan rahmat dan kasih sayang MU keatas dirinya ketika sebelum, semasa dan sesudah kematiannya.


Ya Allah berikan kepada puteraku ini keampunan terhadap segala dosa-dosanya samada dia sedari atau tidak sedari, sengaja atau tidak sengaja atau dosa yang hanya ENGKAU mengetahui.


Ingatlah embun mak, Allah itu Maha Pengampun. Allah sangat cinta pada hamba yang taat kepada NYA dan RasulNYA. Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.


Allah SWT melarang kita berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang pernah kita lakukan.


Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)


Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat kita dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.


Embun mak, ini saja buah tangan mak untuk dijadikan panduan. Berhati-hatilah embun mak melangkah. Jangan izinkan teman mu kini membiarkan kau jatuh tersungkur lagi. Mungkin musafir embun mak kali ini penuh ranjau dan duri juga. Mak cuma boleh memerhati tanpa izin untuk mencampuri atau berbicara. Mak tunggu izin embun mak, untuk mak bersuara.




Aku yang sentiasa kasih,
Kembara Samudera Qaseh.

Ahad, 20 Februari 2011

Bicara Kasih 5

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Musim berganti menggamit memori
Membuai seuntai kenangan


Kadang-kadang mahu rasa menyepi, menjauh, jauh dari segala perkara. Namun kerana sayang, kerana kasih segala rasa yang ada dibuang jauh.  Mak tak mampu  untuk lama mendiamkan diri. Mak tetap mahu menyapa. Dah berapa  lama mak diamkan diri samada jari atau lisan ini.


Air mata dah puas mengalir membasahi pipi, puas meraung dalam hati, namun kerana kasih dan sayang, segala duka dilempar jauh di sisi langit sana. Mengharap akan ada sinar mentari mengeluarkan sinar gemilangnya.


Rindu, memang serindunya. Ibu mana yang tak rindu anak. Ibu mana yang tidak kasih anaknya. Tapi bila anak terasa, meluahkan rasanya hati, hati ini meraung hiba lagi.

20 Februari 2011
[08:25:35 AM] embun: wa ada dua mak
[08:25:55 AM] embun: tp wa melawan juga bila tak adil
[08:26:10 AM] embun: bila wa dibelakangkan


Embun mak, bagaimana keadilan yang embun mak tuntut dari mak? Tidak secubit pun mak berbeza kasih antara embun dengan anak kandung mak. Tapi kalau antara anak-anak angkat lain, embun mak yang paling beruntung sebab nama embun sentiasa berada dalam hati mak. Mak tak pernah sedetik melupakan nama embun mak. Wajah embun mak selalu saja terpapar diruang mata mak. Macam ada skrin putih yang paparkan depan mak.


Dalam mak jaga, ketika mak mahu lena, terbangun dari tidor, ketika mak masak, tak ada nama lain yang mak sebut dalam doa melainkan mengharap Allah beri kesejahteraan pada embun mak.


Tiap kali mak ingat, pasti air mata mak tumpah. Mak tanya diri mak, kenapa embun mak rasa mak tak adil? Mak belakangkan embun mak. Apa bendanya yang mak tak sedar?
Mak fikir dan tertanya dalam hati, apa yang mak tak adil, apa yang mak belakangkan embun mak?


Kalau embun mak masih sudi berkongsi dengan mak, bagitahu lah, biarpun pahit, tetap mak terima agar tidak ada rasa tak puas hati dalam hati embun mak. Mak tak mahu ia jadi dendam. Mak minta maaf jika mak salah memberikan. Bukan mak beri sesuatu tanpa usul periksa. Bukan apa yang kita telah lalui tu sesuatu yang pakai terjah saja.


KIta sudah perhalusi, kita sama-sama selidiki. Tapi kalau ketika itu Allah hijabkan dari pengetahuan kita, dan hanya buka selepas tu, apa yang mampu kita lakukan. Semampu mak, mak tak mahu perkara lalu berulang lagi. Mak dah tak sanggup lihat hati embun mak dilukai. Mak dah tak sanggup embun mak terasa dihina lagi. Mak tak mahu ada dendam dalam hati embun mak. Mak dah rasa bagaimana sakitnya bila didendami hingga begitu sekali.


[09:00:44 AM] embun: lainlah kalau aku mmg marah
[09:00:52 AM] embun: mmg aku tak maafkan
[09:01:05 AM] embun: sbb aku mmg suka dendam sampai jd nanah


Mak tahu embun mak seorang yang pemaaf. Orang tak minta maaf pun embun mak dah maafkan. Itu adalah sifat terpuji.


[08:59:41 AM] jamilaripin: bro!! aku minta maaf pasai hari tu
[08:59:57 AM] embun: takdak hal la bro
[09:00:19 AM] jamilaripin: hari tu aku bd mood la
[09:00:32 AM] jamilaripin: terima kasih hndra
[09:00:35 AM] embun: tak minta maaf pun aku maafkan...sbb aku tak marah


Harap dengan mak pun gitu juga. Mak takut, ntah bila-bila mak mati, tak sempat minta maaf atas segala salah silap mak yang tak mak sedari kerana sifat kelemahan mak yang selalu lalai dan lupa. Harap embun mak sudi maaf dan doakan mak.


Jangan lupa solat jenazah untuk mak. Kalau mampu sampai sebelum jenazah mak dikuburkan, cium pipi mak. Walaupun mak dah mati, roh mak masih ada melihat apa embun mak buat. Dah pasti roh mak masih berada di mana-mana ruang berhampiran jasad mak untuk melihat orang-orang yang mak sayang sebelum jasad mak ditanam dan roh mak dibawa ketempat lain.


Mak ada sesuatu untuk embun mak. Tak tahu bila akan embun mak terima. Mak masukkan barang tu dalam kotak dan tulis nama embun mak. Kalau mak tak sempat beri masa mak hidup, embun mak mintalah pada waris mak. Kotak tu mak simpan dalam almari, mak balut kotak dengan kertas minyak.


Hari ni mak dah puas nangis...tak tahu bila nak berenti air mata ni. Mak tak sanggup lihat hati embun mak dilukai dan dikecewakan lagi. Berserahlah pada Allah, moga diberikan yang terbaik buat embun mak.



Aku yang sangat kasih,
Kembara Samudera Qaseh.