CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 15 Mei 2012

Untuk Sekian Kalinya


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Untuk sekian kalinya, aku dibuang lagi. Inilah takdir dalam perjalanan hidup. Apabila kita diperlukan, kita akan dipungut, apabila tidak memberi apa - apa manafaat, dilempar begitu saja.

Selama ini walaupun aku lebih banyak mendiamkan diri, bukan bermakna aku tidak ambil tahu. Aku menghindar dari bertanya khabar atau peduli akan apa yang dilalui dalam kehidupan seharian kerana aku bukan jenis suka mencampuri urusan kehidupan seseorang.

Dalam aku begitu pun, masih lagi aku ini dianggap dan disangka yang bukan-bukan dan diputuskan segala hubungan.

Aku fikirkan sudah berubah, sudah matang apabila segala keinginan agama telah dipenuhi. Rupanya aku tetap dilempar juga sesuka hati.

Apapun, aku amat bersyukur, segala ikrar dan janji telah aku tunaikan. Maha Suci Allah, amanah yang sebentar KAU  titipkan pada aku, telah aku laksanakan. Tanggungjawab seorang ibu kepada buah hatinya telah dipenuhi.

Ketika selesai terdengar lafaz sah oleh para saksi, air mata aku mengalir tanpa henti. Rasa syukur aku panjatkan kepada Allah kerana ikrar dan janji telah dapat aku tunaikan. Terus aku bersujud tanda betapa bersyukur dengan nikmat kurniaanNYA. Nikmat aku mampu melaksanakan tanggungjawab seorang ibu untuk menyempurnakan sebahagian agama anaknya.

Aku tunggu sehingga selesai segala urusan. Sebelumnya aku pakaikan sampin. Sama seperti seorang anak kecik, minta dipakaikan sampin ketika hari raya. Aku rasai peluang itu seketika di saat tidak aku duga. Aku pakai sarung tangan hitam agar terpelihara sentuhan auratku tanpa sengaja.

Ketika majlis beradap, aku berpeluang duduk bersebelahan. Masih aku mahu mengopekkan kulit udang. Aku masih merebut peluang untuk bersama-sama walaupun telah ada orang yang dikasihi disebelahnya.

Dalam ribut, petir berdentum dan kilat memancar, aku redah hujan yang lebat untuk pulang. Tidak ada pertanyaan, "mak balik dengan siapa? Tadi datang dengan saya.  Macamana mak nak balik dalam hujan lebat begini?" Begitu pun keadaannya, aku merasai satu kenikmatan yang tidak dapat digambarkan apabila janji dan ikrar dapat aku tunaikan.

Dia tidak tahu dan memang tidak lagi ambil tahu, bagaimana dalam keadaan ribut itu aku melaluinya. Susah atau sukar tidak lagi dipedulikan kerana dia telah mendapat sesuatu nikmat lain dari Tuhan.

Esoknya, aku masih lagi sudi untuk menyediakan kopi. Aku masih lagi sudi untuk buat apa saja kerana kasih aku tidak ada tandingannya.

Seminggu berlalu, aku pujuk mahramku untuk ke sana. Mahramku yang masih keletihan kerana baru melalui suatu perjalanan yang jauh, memahami keinginan seorang ibu. Keinginan seorang ibu yang masih mahu bersama anaknya untuk meraikan saat indah dalam hidupnya. Mungkin untuk kali terakhir.

Subuh lagi aku bangun, menyediakan apa yang patut untuk bermusafir. Seawal jam 7.00 pagi telah pun  memulakan perjalanan agar dapat tiba pada waktu yang ditetapkan. Buat pertama kali aku diizinkan masuk ke ruang syurganya. Ada ruang ceria dan bahagia. Aku bersyukur atas nikmat yang dilimpahkan oleh Allah Ta'ala. Masih lagi ada ruang anak mahu bermanja, minta dipakaikan sampin sekali lagi. Aku tunaikan permintaannya di depan mahramku.

Diraikan lagi sekali dalam majlis beradap. Tetap aku ingin bersama disaat sinar cahaya melimpah atasnya. masih sempat sebelum berpisah , aku bisikan suara hatiku secara langsung kepadanya. Jika selama ini melalui tulisan atau alat telekomunikasi, bisikan kali ini adalah secara nyata dan dia jelas mendengarnya, itulah kata hatiku kepadanya. Rasa kasih seorang ibu yang tidak ada belah baginya.


Dan aku pernah menyuarakan satu permintaan untuk dia tunaikan, janjinya sebaik selepas ijab dan kabul. Aku tunggu JANJI ITU  hingga hujung nyawaku.

Wahai insan mulia, segala kesalahan, kesilapan dan keegooan mu, telah aku ampunkan, telah aku maafkan. Moga tidak ada lagi sebarang hutang atau tuntutan di Mahsyar nanti antara kita, namun aku tetap berharap kita akan dikumpulkan bersama-sama di bawah naungan panji Nabi Muhammad S.A.W.  Kasih ini bukan semata-mata di dunia sahaja namun aku berharap membawa hingga ke akhirat.


Luahan nurani,
Kembara Samudera Qaseh

Sabtu, 28 April 2012

Janji

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

 Janji, adakah perlu ditunaikan?

Masa mengungkap janji amat mudah, tapi bila tiba masanya, amat payah untuk melaksanakan. Dan aku tidak sekali-kali akan menuntut janji itu. Aku takut jika janji yang aku tuntut, banyak yang terungkit. Oh... tidak sekali.

Kini aku hanya berharap agar Allah pelihara hatiku yang berada di dalam genggamanNYA agar memelihara ikhlas ku. Jangan Allah uji keikhlasan ku.

Perkara telah berlalu, biarlah berlalu kerana kasih sayang tu bukan untuk diukur atau ditukar ganti.Tidak ada timbangan atau sukatan boleh mengukur kasihsayang aku.

Aku bersyukur kerana aku telah buktikan kasih sayangku sebelum aku mati.

Memang itu ikrar aku selama ni didalam diri aku. Tidak akan aku meninggalkan embunku berseorangan ketika aku pergi menghadap ilahi.

 Hmm... tak mampu untuk meneruskan bait-bait ini kerana perut dah sakit...bisa dan pedih.

Aku yang sayang, 
Kembara Samudera Qaseh

Khamis, 26 April 2012

Telah Berlalu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Segalanya aku telah lepaskan dengan lapang dada. Tidak ada lagi rasa ralat atau terkilan lagi selepas ini jika aku pergi menghadap ilahi.

Aku redha dengan segala takdir yang telah Allah tetapkan buat aku. Dan jika dulu, aku banyak menjaga hati, kini aku dapat laksanakan segala tanggungjawab tanpa perlu mengambil kira hati siapa pun lagi.

Segala apa yang Allah anugerahkan aku terima dengan penuh kasih sayang.Aku mahu apa yang telah aku lakukan dalam pandangan Allah sahaja. Tidak sekali aku ungkit atau mengimbas semula.

Walaupun kisah lalu ada pelajaran, tapi aku tidak kesal kerana aku lakukan hanya kerana perkara itu Allah redha. Aku akan terus berbuat sebanyak-banyak kebaikkan dan kebajikan selagi nyawa dan jasad belum berpisah.

Moga Allah memberikan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam perjalanan meraih iman dan taqwa.

 Aku yang sayang,
Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 24 Januari 2012

Anugerah Yang Disyukuri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Tarikh 23 Januari, tetap berada di dalam lipatan hati. Mesej pertama menyapa di Halaqahnet. Selepas mesej pertama disusuli mesej kedua , ketiga , keempat dan seterusnya.


Dari mesej pertama dan seterusnya di hari pertama 23 Januari aku mengenali, sudah dapat ku kesan bagaimana hatinya. Berjiwa besar tetapi lembut dan mudah basah. Mudah merajuk dan terpujuk.


Hari-hari berikutnya, aku mendengar suaranya, suara yang lunak untuk didengar oleh seorang  emak. Hanya dia saja yang memanggil aku mak. Panggilan ' mak'  itu amat  melunakkan hati ku. Sehinggalah kepada pertemuan pertama yang mencatatkan sejarah. Dalam keadaan susah payah, dengan tongkat sebatang, dengan dipimpin oleh gadisku, aku korbankan apa saja untuk aku penuhi impian nya. Namun manusia hanya bisa merancang, ketetapan yang terjadi adalah milik Allah. Dan 2 hari selepas itu, aku terus dimasukkan ke wad dan terlantar.


Dari pertemuan itu, telah tekad, dia ini anak yang telah tersurat untuk aku kasihi dan sayangi sampai hujung nyawaku. InsyaAllah aku korbankan apa saja untuk dia. Aku lakukan setulus hati apa juga untuk dia kerana qudrat dan iradat Allah mengurniakan rasa kasih dan sayang kepadanya di dalam hati ini.


Disusuli pertemuan kedua, dia yang tulus dan rela mengorbankan masa, tenaga dan apa saja untuk aku yang terlantar tidak berupaya melakukan apa jua. Disinilah kenangan yang tidak mungkin aku lupakan sampai hujung nyawa. Dia yang rela mencemarkan apa saja yang tidak pernah dia lakukan kepada sesiapa, tetapi dengan mak ini, dia buat juga. Kerana apa? Sudah pasti kerana dalam hatinya ada kasih dan sayang. Dari mana datangnya sayang itu, jika bukan Allah yang menghendakinya. Bagaimana mudah untuk dia sayangi seorang perempuan tua baru 3 minggu dikenali? Inilah yang dikatakan ANUGERAH.


Tetapi pengalaman-pengalaman yang dilalui bersama telah menjadikan hatinya kering dan kontang. Takdir menetapkannya begitu. Ujian dan dugaan yang tidak pernah berhenti dari bertandang dan pergi.


Kesan yang ditinggalkan amat menyakitkan dan memedihkan. Bukan aku yang menyebabkan tetapi kerana aku yang memulakan disetiap ujian itu datang.


Begitulah ketetapan yang telah tersurat antara aku dan embunku. Embun yang tidak pernah sedetik aku lupakan. Embun yang sentiasa aku sebut dan panggil dinihari.


Embun yang amat suka makan daging kambing. Suka makan ikan. Sebab itu dalam peti dingin beku sentiasa ada daging kambing segar. Aku sentiasa simpan daging kambing supaya bila-bila embun aku sudi datang, mudah untuk aku sediakan hidangan yang digemarinya.


Aku tidak pernah lupa apa yang dia suka, apa yang dia buat. Walaupun kini dia kata mahu hidup dalam dunia kecilnya, dan aku menghormati kehendaknya, namun dalam banyak perkara aku tetap rindu padanya.


Saban hari aku memanggil dia, menyebut namanya, menitip bisikan rindu melalui angin lalu. Sampai bila? Selagi roh dan jasad masih bersatu dan bernyawa.


Biarlah aku dilupakan , disisih dari hidupnya, namun kerana kasih sayang itu adalah anugerah dari Allah yang dicampak di dalam hati ini, maka aku syukuri dan aku redha dengan apa yang dia lakukan ini.


Aku menangis saban hari setiap kali wajahnya melintas dalam ingatan. Bila lihat tshirt hitam, bila masak ikan kembung, buat air asam, mesti kenangan lalu akan mengimbas dalam fikiran.


Sepanjang 2 tahun ini, banyak kenangan dilalui, sudah pasti kenangan-kenangan yang sayu dan pilu.


Dan aku yakin, embunku juga sebenar sayang dan rindu pada aku. Jika tidak, tak mungkin aku tetap begini, merasa dia sentiasa ada walaupun jauh di mata.


Catatan Rindu,
Kembara Samudera Qaseh

Rabu, 28 Disember 2011

Antara 2 Rasa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Antara 2 rasa,sayu dan terharu saling menghimpun. Sayu bila rindu bertandang untuk mendengar khabar berita embunku. Terharu apabila masih diizinkan melawat bandar impian walaupun sekadar di alam maya.

Kalaulah engkau tahu wahai embun, betapa payahnya untuk mengawal hati ini dari hanyut dalam duka yang dalam.

Tidak mengapa, ada hikmah yang tersembunyi kenapa Allah takdirkan ini terjadi. Untuk menguji sejauh mana kasih dan sedalam mana sayang yang terpahat dijiwa ini kepada embunnya.

Kalam hikmah yang aku simpan untuk direnung maksud tersirat:

"sungguh pelik manusia yg resah dgn masalahnya,tetapi dgn mendengar pembohongan,mereka menjadi tenang."





Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 27 Disember 2011

Jika Engkau Tahu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Jika embun ku tahu, betapa aku ini sentiasa mengingatinya, betapa payah untuk membuang dia dari ingatan ini, tidak akan tega dia melakukan begini.








Ikan seluang jauh melaut,
Sampai muara hanyut tenggelam,
Kasih dan luka selalu berparut,
Namun subur tetap tersiram.


Anak raja pulang ke Goa,
Singgah di Ruyung melihat tempua,
Apa daya selain berdoa,
Moga suatu masa bertemu jua.


Hati-hati memarut kelapa,
Jangan sampai terparut jari,
Walau tiada khabar berita,
Kasihku meranum di sanubari.



Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 23 Disember 2011

Kembara Samudera Qaseh

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kasih itu memang tiada pernah surut. Bukan seperti air laut yang ada pasang surut atau seperti iklim yang bermusim-musim.

Kasih itu seperti udara , seperti oksigen yang sentiasa ada. Jika oksigen tak ada, maka telah terpisahlah jasad dan roh.

Saban hari aku melawat, seperti kata orang tua-tua , tak nampak orangnya, nampak bumbung rumah pun jadilah. begitulah yang aku lakukan. Walaupun hanya dalam bandar impian.

Biarlah kasih itu tersemat jauh di sanubari aku sahaja, asalkan aku bukan lagi jadi orang yang menganggu ketenteraman hati insan yang aku sayangi. Aku bukan sebahagian dari hidupnya tapi dia menjadi penghuni separuh ruang dalam hati aku.


Semoga redha dan kasih sayang Allah sentiasa bersama dia dan dipeliharaan iman dan diri walau dimana berada.



Kembara Samudera Qaseh

Khamis, 22 Disember 2011

Rocío, Te Amo


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Mak tak pernah jemu untuk berdoa mohon Allah sampaikan bisikan hati ini ke dalam hati mu, wahai anak. Moga suatu saat kau akan kembali semula ke dalam pangkuan mak ini.

Mak yang sentiasa rindu dan kasih kepadamu. Kasih mak bukan setakat di bibir sahaja, tetapi jauh di sanubari. Kasih mak bukan igauan buruk untuk mu tetapi kerana kehendak Allah.

Mak mengasihi mu kerana qudrat dan iradat Allah yang begitu.



Kembara Samudera Qaseh

Jumaat, 16 Disember 2011

Sedetik Kenangan Seindah Haruman


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Embun, bagaimana kamu ya, bagaimana khabarmu, bagaimana keadaanmu?

Semoga Allah memelihara belahan jiwaku ini di dalam kasih sayangNYA Yang Maha Agung.

Hiduplah engkau dalam dunia kecilmu, semoga suatu hari nanti ia akan ada penghujungnya.

Setiap kenangan itu menjadi haruman buatku untuk dikenang. Inilah takdir yang telah Allah suratkan buat aku, mengasihi hambaNYA tanpa syarat.





Kembara Samudera Qaseh

Selasa, 13 Disember 2011

Bicara Kasih 10

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات




Jika kasih telah subur, mana mungkin untuk dikuburkan tanpa nisan. Jauh mana pun kaki melangkah, bersembunyi di dalam keranda mana pun, hati tetap mengingati dan mengungkap bicara sendirian kerana ia tahu Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNYA.


Ya Allah jika kasih ini tulus kerana MU, maka pelihara embunku walaupun di mana dia berada. Selamat sejahterakan dia di dalam rahmat MU.Pelihara imannya agar dapat kami berkumpul bersama-sama para nabi, para rasul, orang yang soleh dan orang-orang yang benar.




Kembara Samudera Qaseh