CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Isnin, 10 September 2012

Sebuah Sketsa Menjelang Pernikahan

 
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Tergerak jari jemari untuk menaip sesuatu di laman ini setelah nekad aku untuk menamatkan penulisan terakhir 'Untuk Sekian Kalinya'. Aku tidak mampu untuk melupakan walau sedetik embunku. Tiap dinihari embunku tetap kuhadirkan dalam munajatku.


Ramadhan yang berlalu, ketika musafir di rantauan, adalah waktu yang baik untuk fokus dalam berdoa. Dan tetap aku terus berdoa, moga Allah mengindahkan silaturahim antara aku dengan embunku. Kasih aku sebesar alam semesta yang tidak bersempadan.


Bagaimana mungkin untuk dilupakan, masih tergiang-giang suaranya pada suatu hari di telefon, 

"mak, saya nak kahwin"

"dengan siapa?"

"dengan orang la"

"bersungguh ke ni? tak mahu seperti yang lalu, bermusim-musim"

"dah jumpa, dah tengok, dia ajak kahwin"

"on ym, kita sembang sama-sama, mak tanya sendiri"

Maka dari perbualan di telefon beralih ke yahoo masengger secara conference.

"betul awak nak kahwin dengan anak saya"

"betul makcik, saya nak kahwin dengan anak makcik"

"awak dah tengok anak makcik?"

"dah"

"dah tahu dia kerja apa?"

"dah"

"betul-betul nak kahwin ni?"

"ya"


"mak dah tahu?"

"dah"

"bagi nombor telefon mak, saya nak berkenalan dengan mak awak dulu"

Selepas dari itu, esoknya mak berhubung melalui telefon , berbual-bual untuk mengenali dengan lebih dekat keluarga gadis itu.

Seminggu selepas itu, mak bertandang ke rumah gadis itu untuk lebih mesra. Dalam masa yang sama berbincang sedikit sebanyak mengenai perancangan masa depan anak mak dengan gadis itu.

Jelas gadis itu dan keluarganya bersungguh dan ikhlas menerima anak mak sebagai ahli keluarga. Ibu mana yang tidak gembira bila hajat anaknya ingin berkahwin hampir tercapai.


Hasil kerja tangan seorang ibu
Untuk majlis pertunangan, mak menyediakan cincin sebentuk, jubah putih , buku dan sebakul buah. Mak pergi ke Larkin Plaza bertemankan bibik Harti dan bibik Eka. Bersolat zohor di Masjid baru di Plaza Larkin. Selepas tu berjalan ke kedai hujung untuk membeli cincin. Mudah mak membelinya kerana tahu ukuran saiz cincin. Ketika itu harga emas sedang naik, RM 188 untuk 1 g. Nak buat macamana, mahal pun tetap kena beli cincin.


Pada hari pernikahan,  Mak pergi dengan 2 buah kereta pada 17 Mac 2012. Kawan ayah, Haji Saadon dan Isteri, Aqbar dan isteri serta bibik harti dan bibik Eka. Tak ramai yang boleh temankan dalam rombongan meminang dan  bertunang pada hari tu.

Sebenarnya pada hari yang sama, Bunga Angsana aku mengadakaan majlis walimah sambut menantu di Dewan Kolej Perdana. Aku teragak samada mahu pergi atau tidak kerana trjadi sedikit kekhilafan. Akhrnya aku tidak hadir majlis walimah sambut menantu Bunga Angsanaku. Padahal kasih sayang aku pada embun dan Bunga Angsana sama banyak, sama ruang. 2 insan yang amat aku sayang walaupun tidak lahir dari raahimku. Aku memang amat sayang kepada kedua-dua insan ini.


Di hari ini, ketetapan tarikh pernikahan diumumkan. Perancangan dibincangkan untuk majlis pernikahan.


Bersungguh mak menguruskan segala-gala hal berkaitan pernikahan yang berlandaskan syariat namun tidak meninggalkan adat. Tanpa ditemani oleh sesiapa mak pergi membeli barang-barang hadiah untuk pernikahan. Mak dapat keizinan dari ayah untuk uruskan pernikahan ini walaupun seorang diri. Sedikitpun tidak terasa kepenatan mencari barang-barang hadiah pernikahan untuk pengantin perempuan kerana hati mak sangat gembira anak mak dah nak bernikah. Padahal kaki dah sangat lenguh kerana banyak berdiri dan berjalan ke hulu hilir dalam Mydin.


14 April 2012 pun tiba. Subuh lagi mak dah bangun untuk menyediakan sarapan. Teringat mak, anak mak nak makan ikan goreng pelaling. Sehari sebelum tu mak ke Pasar mencari ikan segar pelaling. Mak takut lepas ni mak tak punya kesempatan lagi untuk menyediakan makanan kesukaan anak mak. Buat sambal belacan, budu untuk cecah ikan goreng pelaling. Berselera sekali makannya walaupun sebentar lagi akan berhadapan saat gementar.



Pagi-pagi selepas solat subuh, anak mak sorang saja yang bersarapan nasi putih dengan ikan goreng pelaling. Air teh seteko. Orang lain semuanya bersiap-siap berpakaian.


Hasil kerja tangan penuh kasih sayang
Selesai makan, baru anak mak berpakaian. Memakai baju kurung teluk belanga warna putih. Sampin songket tenun Terengganu. Dengan 7 dulang hadiah untuk diberikan kepada bakal isteri. Semua hadiah-hadiah dalam dulang hantaran itu mak yang gubah dan sediakan walaupun ringkas. Masuk dalam kotak dan ikat riben dan dihiasi dengan kuntuman bunga mawar putih.


Dari rumah mak ada  10 buah kereta yang berpenumpang paling kurang 4 orang dalam sebuah mengiringi anak mak ke Masjid Jamek Pasir Gudang. Kawan-kawan anak mak dari Bangi pulak seramai 18 orang. Jumlah peserta dalam rombongan mengiringi majlis pernikahan anak mak ialah hampir 60 orang. Ramai sungguh yang ingin turut serta meraikan Majlis bersejarah anak mak ini.


Mak naik kereta anak mak dengan Imran. Macam naik formula 1 di litar Pasir Gudang. Sungguh laju memecut di lebuh raya Pasir Gudang -Johor Bahru sehingga tersasar ke pelabuhan. Mak banyak pejam mata dari celik kerana ngeri dan cemas duduk dalam kereta yang dipandu laju cilok mencilok antara kereta. Tak mungkin mak dapat lupakan waktu begitu dalam hidup mak.

Akhirnya tiba juga kami di Masjid Jamek Pasir Gudang. Kawan-kawan anak mak dari Bangi pun baru tiba. Selagi anak mak tak nampak kawannya, gelabah tak tentu hala. Sebelum tu kat rumah tak ada pun gelabah gitu. Nampak rilex je. Rupanya, makin dekat saat nak bernikah, barulah gelabah semacam. Langsung mak tidak berjauhan dengan anak mak untuk memberikan sokongan dalaman.


Dah siap bersampin, anak mak ambik wudhuk. Masuk dalam masjid. Solat tahyatul masjid di lakukan sebelum mak bersimpuh menghadap wajah ke arah pak Imam (jurunikah). Rupanya hari tu ada 3 pasangan yang akan bernikah serentak.

Dalam hati mak tak putus-putus berharap agar pernikahan ini dipermudahkan dan mendapat rahmat dari Allah Ta'ala. Saat mak dengar perkataan sah, dari para saksi, air mata mak mengalir laju hingga mak  tersengguk-sengguk menahan sedu sedan. Terus mak lakukan sujud syukur kerana anak mak sudah selamat diijab kabulkan.


Bersambung...





Catatan Samudera Qaseh,
Kembara Samudera Qaseh

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apalah nak dikenang barang yang lama

berhentila berharap

belajar melupa dari mengingati

sesungguhnya sungguh sukar mengingati setiap detik akan orang yang kita sayang walhal tidak pernah diingat kita walau sedetik

apa nak digunungkan kasihnya manusia, kasih sama manusia leburnya jua tak kira masa, tak kira janji

apa diharap benda yang bukan gapaian

pergilah nak pergi

hidup kita pun satu perjalanan

perjalanan mesti terus walau wajib berhenti

banyak benda diluar kawalan

tiada pilihan melainkan sabar ngan redha

-sayatidakpunyabloguntukmeluahrasa-

Samudera Qaseh berkata...

Tidak mungkin dan bukan mudah untuk melupakan apatah lagi membuang.

Ia telah kukuh terpahat dalam sanubari.

Hanya dengan qudrat dan iradat Allah akan merubah biarpun batu itu lebih keras dari kursani.

Berharap akan terus berharap kepada Allah Yang Maha Esa, kerana hadirnya pun atas qudrat dan iradat Allah.

Bukan sesiapa yang mampu mengatur perjalanan hidup ini melain Allah Ta'ala.