CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Jumaat, 13 Ogos 2010

Yang Tidak Bernilai

Masih segar dalam ingatan dan akan aku awet ia terus segar sehingga berpisah roh dan jasadku.


Dua minggu berturut-turut, Allah mempermudahkan niat dan jalan bagiku. Aku sendiri tidak menduga, berlakunya pertemuan itu. Sebab itu aku amat yakin sekiranya sesuatu perkara itu dengan qudrat dan iradat Allah terjadi maka tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya. Dan jika sesuatu perkara itu terlalu ingin terjadi tetapi tidak dalam qudrat dan iradat Allah maka pasti tidak terjadi.



Maka begitulah juga sebuah persaudaraan itu. Bukan kehendak dan perencanaanku ianya terjalin atau terputus. Semua adalah atas qudrat dan iradat Allah. Dua dari sifat 20 Allah ini sangat utuh tertanam di dalam diriku. Aku amat yakin dan beriman dengannya.


Rumah itu dibina khas untuk seseorang. Kini ia kosong, sunyi dan sepi. Menjadi tempat untuk aku merenung segala nostalgia lalu. Kelukaan dan kepedihan. Terlalu pantas kejadian ini tanpa signal dan amaran. Drastik!


"... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah: 216)


Bila membaca ayat ini,maka aku kembali berserah kepada Maha Pencipta. Aku tidak mengetahui apa yang hikmatnya disebalik ini semua. Begitu pantas Allah memperlihatkan kekuasaannya.


Kenangan...

Menaiki tren dengan susah payah, menunggu giliran membeli tiket,menaiki jejantas untuk keseberang hampir membuat aku membatalkan sahaja niat di hati. Tetapi gerakkan hati yang dipermudahkan Allah, dan aku mengharapkan redhanya perjalanan itu. Tangga tu tinggi, mencunggap aku naik, kesempitan nafas. Setiap kali aku melangkah naik tangga ku ucap Maha Suci Allah,dan berhenti. Imran yang dah di atas berkata "ummi , cepatlah". Kadang Imran tunggu untuk pimpin. Sampai di atas, menapak perlahan keseberang rel dan turun tangga semula. Sekalilagi nafasku berada di hujung nyawa. Perlahan dan payah.


Apabila tren sampai, penuh penumpangnya, dan aku berdiri. Mana mungkin ada yang mahu memberikan ruang duduk kepada aku kalau kelihatannya sihat dan bugar. Mana mereka tahu yang kakiku ini penyokongnya besi yang ada limitnya untuk berdiri. Lama berdiri kaki ini akan kaku. Mana mereka tahu. Menitis air mata ini, tetapi kerana sebuah "persaudaraan" maka aku tabahkan hati. "Persaudaraan" ini perlu aku pulihkan walaupun dengan susah payah. Perjalanan yang tiada dan tidak pernah ada dalam perancangan ku. Semua ini adalah ilham dan kehendak Allah.


Bila tiba di destinasinya, sekali lagi air mata ku mengalir , 1.menangis kesyukuran kerana aku dapat tiba dengan selamat, (pasti sebentar lagi aku dapat bertemu dengan embunku) 2. melihat jalan keluar ke jalan raya berada di seberang rel. Ini bermakna, sekali lagi aku terpaksa mendaki dan turun tangga untuk ke seberang sana. Aku gagahkan diri, setapak, selangkah menaiki tangga. Sambil berpaut pada besi pemegang yang disediakan khas untuk orang-orang seperti aku yang memerlukannya.


Tiba di seberang,sebuah kerusi aku tuju, dan tanpa banyak ucap,aku duduk di situ. Kaki ini terasa kaku dan berat. Sudah terlalu berat untuk aku teruskan melangkah. Dan memang aku tidak akan melangkah lagi walaupun disuruh untuk meninggalkan kerusi itu. Ibarat kata jika ada hariamu di depan pun, aku tidak akan bangun lagi, aku rela sahaja di baham harimau dari melangkah pergi.


30 minit...menunggu untuk dijemput sedangkan perkhabaran lebih awal lagi. Tidak apa, perlu sabar dan menunggu apakah yang Allah akan tunjukkan pada ku.


Setelah tiba, dibawa kesebuah kedai dan minum air untuk menghilangkan kehausan kerana kelelahan mendaki tangga,menuruni tangga dan berdiri di dalam perjalanan. Hanya yang tidak aku duga, aku ditinggalkan di situ selama 2 jam bersama Imran. Mana aku duga, sejauh itu, sepayah itu perjalanannya (bagi aku payah sebab aku kurang upaya)hanya untuk ditinggalkan berdua dengan Imran, anakku yang setiap masa bersamaku.


Adakah kehadiranku ini menyusahkan? Tidak dihargai? Tidak diraikan sebagai tetamu? Ketika ini aku menangis mengadu aku kepada Allah. "Ya Allah , memang sukar untuk aku sambung persaudaraan ini." Sejauh ini aku datang, tetapi masih ditinggalkan. Kerja? Apakah kerja itu tidak boleh tangguh? Selalu sangatkah aku boleh datang ke situ? Semahunya aku menangis di kedai orang. Biarlah...


Bila datang semula minta download satu video, ambil masa hampir 2 jam lagi. Aku sudah mahu bertekad balik sahaja. Jika bukan menjaga hati, memang aku balik sebelum itu, naik teksi menuju ke stesyen tren. Tetapi kerana rasa kasih, kerana rasa sayang yang mensyukuri pemberian Allah, aku sabarkan diri. Aku bersabar dengan embunku...


Aku selesaikan download video itu hingga 2 jam 100% berjaya kerana aku tak mahu menghampakan harapan orang. Dia teruja nak tengok, kalau hanya separuh di downloadkan, tidak sempurna jadinya. Mesti rasa tidak puas hati, maka sekali lagi aku sabar dan tenang menanti. Biarlah menjadi kenangan dan buah tangan untuk dia, bahawa mak ini tidak akan ambik mudah terhadap menjaga hati seseorang, tambahan dia adalah embunku.


Selesai, makan, dan balik. Tak banyak perkara yang dapat dibualkan. Hanya 30 minit sahaja masa yang diperuntukkan untuk makan di situ. Sekadara masa menunggu makanan disediakan dan makan. Habis makanan terus beredar, tak ada borak-borak santai.


Sampai di stesyen, beli tiket dan tunggu tren menuju ke Bandar Tasik Selatan. MasyaAllah ramainya penumpang. Sekali lagi aku terpaksa berdiri. Imran bertanya,"ummi,boleh ke ummi berdiri lagi?" "Ummi tidak ada pilihan". Melihatkan ramainya anak-anak gadis duduk sambil mendengar sesuatu ditelinga. Jelas kelihatan sebab ramai tidak bertudung.


Tiba di stesyen Bandar Tasik Selatan, menangis sekali lagi,melihat pertukaran tren menuju ke Ampang berada nun diseberang sana. Tadi aku naik KTM sekarang bertukar ke LRT. Wajib daki tangga, tinggi menjunam ke atas, sabar, setapak,selangkah aku naik. Setitis-setitis air mata aku jatuh.


Begini rupanya jalanku untuk aku jalin sebuah persaudaraan. Risiko yang perlu aku ambil. Pertukaran tren. Beli tiket semula,kena beratur. Lepas itu perlu daki sekali lagi tangga untuk ke p Tlatform LRT menuju ke Ampang. Sampai di Chow Sia Lin perlu turun, pertukaran tren antara menuju ke Sentul Timur dengan Ampang. Berjalan lagi.


Sampai di Cempaka, baru aku turun,tiba di destinasi akhir. Begitu juga , jalan keluar dari kawasan tren di seberang sana,perlu naik dan turun tangga lagi. Seperti nyawa ku separuh tiada hari itu kerana kerapnya naik dan turun tangga. Keupayan kaki ini telah melebihi limitnya. Sudah tidak berdaya untuk aku teruskan langkah sehingga aku dijemput pergi.


Begitulah susah dan payahnya sebuah perjalanan untuk aku cantum sebuah persaudaraan. Tetapi semalam, tanpa ada signal, ia dicantas semula oleh tangannya sendiri. Sebab itu aku kebingungan, dan menangis semula. Aku masih dalam awang-awangan, kenapa dan mengapa?


Mulai saat itu,aku kosongkan segalanya,tidak mahu aku pujuk diri ini lagi. Aku menangis semahunya. Sementelah aku memang tinggal sendirian di rumah, maka aku bebas untuk menangis tanpa sembunyi.


Rupanya begini mudah untuk diputuskan. Menyambungnya dengan susah payah bersama kesakitan dan airmataku, (kerana aku kurang upaya) tetapi usahaku   ini  tidak ada nilai dan harga rupanya di mata embunku. Embun yang aku sayangi,yang aku nanti kehadirannya setiap dinihari. Kini aku hanya memandang sahaja tanpa ingin memujuk diri yang hiba.  Biarlah , dia yang memilih begitu, dia yang tega hati untuk menghiris hati seseorang amat sayang padanya. Aku hanya mengharapkan dia bahagia bila dapat menghiris hati orang yang dia sayang juga.


Mudah dan amat mudah...



Luahan rasa,
Kembara Samudera Qaseh.

0 ulasan: