CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 13 Julai 2010

Ni'matnya Persaudaraan

Persaudaraan di jalan Allah adalah ni’mat besar dan merupakan bekalan yang melimpah serta sentiasa baru. Allah Subhanahu wa Ta’ala menganugerahkan ni’mat ini kepada orang-orang beriman dan menyeru mereka untuk bersatu; tidak bercerai berai, seperti dalam firmanNya:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.(Surah Ali-’Imran: Ayat 103)

Ia merupakan ni’mat yang tidak dapat dibeli dengan wang atau kekayaan dunia, tetapi ia wujud dengan kurniaan dan kekuasaan Allah: Allah SubhanahuwaTa’ala berfirman:

dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(Surah Al-Anfal: Ayat 63)

Sesungguhnya ikatan ‘aqidah Islam adalah ikatan yang paling kuat secara mutlaq. Orang-orang yang hidup di bawah naungan cinta dan persaudaraan kerana Allah merasakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa yang tidak pernah dirasakan oleh orang-orang berkumpul kerana urusan dunia; perdagangan, hiburan atau keni’matan dunia lainnya.



Mengenangkan pentingnya hubungan persaudaraan kerana Allah sebaik sahaja tiba di Madinah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mempersaudarakan orang-orang Ansar dan orang-orang Muhajirin yang menjadi model teladan dalam hal kecintaan dan ithar (mengutamakan saudaranya lebih dari dirinya). Ini lah contoh teladan di dalam Islam betapa perlunya memelihara persaudaraan.


Selama berada di bumi ini, dalam perjalanan menuju Allah, setiap manusia tidak ada yang dapat merentasi jalan yang aman tanpa sebarang gangguan, ia akan menghadapi tentangan, fitnah dan syaitan dari jenis jin juga manusia yang selalu mengintainya. Ketika itu ia amat memerlukan orang yang dapat membimbingnya, menuntunnya, menerangi jalannya, dan mengingatkannya ketika ia lupa serta membantunya ketika ia ingat.


Ada ketikanya manusia menghadapi masa-masa futur, kelalaian, atau tertarik dengan pujukan-rayu syaitan. Jika ia bersendirian, keadaan seperti itu akan terus berlanjutan, hingga mungkin ia akan hanyut di dalam arus keindahan dunia yang palsu dan menipu. Sesungguhnya serigala itu hanya membaham kambing yang terpisah dari rombongannya. Sebaliknya, bila ia mempunyai sahabat-sahabat yang salih, maka mereka tidak akan membiarkannya sendirian dalam menghadapi syaitan; bila mereka tidak melihatnya di medan ‘amal kebajikan, maka mereka akan mencarinya, mengajaknya, mengingatkannya, dan membantunya untuk mengalahkan jeratan syaitan. Ini merupakan bekalan yang amat baik dalam perjalanan hidup di bumi ini.


Sesungguhnya sahabat yang salih itu jika kita memandangnya dapat mengingatkan kita pada Allah dan taat kepadaNya. Sebaliknya, melihat sahabat yang jahat dapat mengingatkan kita pada kemaksiatan dan perbuatan-perbuatan murka. Benarlah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bersabda:

Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau mendapatkan bau harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.(Hadith riwayat Abu Daud)


Orang mu’min itu adalah cermin bagi saudaranya. Setiap orang mesti memiliki kekurangan dan kecacatan, namun ramai di kalangan mereka yang tidak menyedari kekurangan dan ‘aibnya itu. Justeru, ia sangat memerlukan orang yang menunjukkan ‘aibnya dan membantunya untuk memperbaiki serta menghilangkan ‘aib tersebut. Tidak ada yang mampu me­laksanakan tugas itu, kecuali sahabat atau saudara yang mencintainya kerana Allah, tulus dalam persahabatan, lembut dalam pergaulan, bijak dalam memberikan nasihat, dan menunjukkan kekurangan. Ini juga merupakan sebaik-baik bekalan dalam perjalanan.


Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan nikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.(Surah Al-Nahl: Ayat 125)


Allah Subhanahu wa Ta’ala menyeru kita agar selalu tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaaan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.(Surah Al-Ma’idah: Ayat 2)


Alangkah indahnya persaudaraan yang terjadi di sebuah kampung atau sebuah daerah; mereka saling tolong menolong dalam berbagai kebaikan dan keta’atan, terutama dalam kebaikan yang banyak dilupakan oleh kaum Muslimin saat ini, misalnya; qiyamullail, salat berjama’ah di masjid, terutama salat Subuh dan ‘Isya’, menghadiri majlis-majlis Al-Qur’an, majlis ilmu dan majlis zikir, mengikuti rombongan da’wah yang menyeru ke jalan Ilahi, dan membantu orang-orang fakir serta yang memerlukannya.


Dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam baginda bersabda:

Ada seseorang yang mengunjungi saudaranya di luar kampungnya, lalu Allah mengutus malaikat untuk menyiasat halnya dalam perjalanannya Malaikat bertanya kepadanya; “Hendak ke manakah anda?” la menjawab: “Saya ingin mengunjungi saudara saya di kampung itu?” Malaikat bertanya lagi: “Apakah ada sesuatu ni’mat dunia (hutang) yang ingin engkau dapatkan?” la menjawab: “Tidak, tapi saya mencintainya kerana Allah.” Malaikat berkata: “Sesungguhnya saya adalah utusan Allah (untuk menyampaikan berita) bahawa Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu keranaNya “ (Hadith riwayat Muslim)

Muslim meriwayatkan dalam kitab “Al-Zikr”, bahawa, pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, keluar dari rumah dan bertemu dengan sahabat yang sedang berkumpul, lantas berkata:

“Untuk apa kamu duduk bersama-sama?” Mereka menjawab: “Kami duduk untuk berzikir kepada Allah dan memujinya atas ni’mat Islam yang diberikan kepada kami dan membimbing kami kepadanya.”Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Demi Allah, hanya itukah tujuan kamu duduk duduk bersama?” Mereka menjawab: “Demi Allah, tiada yang menyebabkan kami duduk kecuali sebab itu.” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tidak menyuruhmu bersumpah kerana curiga kepadamu, akan tetapi Jibril telah datang kepadaku dan memberi khabar bahawa Allah membangga-banggakan kamu dikalangan malaikat.”

Lantaran pentingnya persahabatan yang baik dan pengaruhnya yang baik bagi Islam dan kaum Muslimin, maka Islam sangat prihatin terhadap perkara berkenaan, menjaganya dari segala perkara yang dapat mengganggu persatuan dan keutuhannya, serta mengharamkan segala perkara yang dapat menimbulkan kebencian, permusuhan, dan pertikaian antara kaum muslimin, misalnya; penipuan, pengkhianatan, menjual dengan cara menipu, riba, minuman keras, judi, iri hati, saling membenci, menghina, berburuk sangka, mengintip-intip, memutus hubungan, dan sebagainya, seperti hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang berikut:

Janganlah kamu saling memutuskan hubungan, jangan saling berpaling muka, jangan saling membenci, danjadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim tidak boleh berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari.(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Embunku,
Walaupun persaudaraan antara kita ini tidak memungkinkan untuk duduk bersama-sama tetapi sekkurang-kurangnya kita akan rasa diberikan perhatian bila ada yang bertanya khabar, ada yang ambik tahu dan saling-ingat mengingati. Jarak bukan penghalang untuk ujudnya persaudaraan kerana Allah. Jarak bukan penghalang untuk kasih sayang itu terpaku kukuh di hati.


Di samping itu Allah juga menunjukkan cara terbaik untuk menghilangkan atau menyelesaikan perselisihan yang terjadi di kalangan kaum Muslimin. Kaum mu’min wajib turut serta berusaha mendamaikan dua saudaranya yang sedang berbalah:

Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.(Surah Al-Hujurat: Ayat 9)


Berbalahkah kita? atau hanya sekadar merajuk sehingga membawa diri dan memutuskan persaudaraan?


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(Surah Al-Hujurat: Ayat 10)


Persaudaraan dan persahabatan yang baik melahirkan persatuan dan perpaduan, kekuatan dan kebaikan bagi Islam dan kaum Muslimin. Apabila berpecah dan perselisihan terjadi, maka kegagalan, kelemahan, dan bahaya akan tercetus.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.(Surah Al-Anfal: Ayat 46)

Syaitan sangat murka melihat persaudaraan yang terjalin sesama manusia. Justeru itu, syaitan berusaha sekuat tenaga menimbulkan perpecahan di dalam persaudaraan. Syaitan sangat benci kepada persatuan dan kerjasama di antara manusia. Justeru, kita harus berwaspada dan jangan memberi kesempatan pada mereka untuk mewujudkan hal itu. Jangan sampai kita marah kerana kepentingan peribadi dan jangan mengatakan hal-hal yang menyakiti saudara kita, untuk memenuhi seruan Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mu’min dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.(Surah Al-Isra’: Ayat 53)

Alangkah bahagianya kita mendapat ni’mat Islam dan ni’mat persaudaraan kerana Allah. Alangkah tepatnya kalau kita memelihara ni’mat-ni’mat tersebut sekuat tenaga dan dengan cara dan jalan yang kita sanggup.

Wahai embunku, sewajarnya anak mempunyai sahabat yang salih, sebab ianya merupakan sebaik-baik pembantu dan bekal dalam perjalanan menuju ke akhirat.



Tulisan,
Kembara Samudera Qaseh.

0 ulasan: